mutakhir

Mayat wanita terapung berhampiran bot nelayan

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Bayan Lepas: Mayat wanita dipercayai warga emas ditemukan di dalam longkang di Medan Pantai Jerjak di sini, hari ini.

Mayat dipercayai berusia lewat 60-an itu ditemukan terapung berhampiran bot nelayan dalam keadaan berpakaian lengkap.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru, Mohamad Hirman Mat Rodzi berkata, pihaknya menerima panggilan dari polis berhubung penemuan itu pada 11.45 pagi.

"Pasukan penyelamat kemudian membantu mengangkat mayat wanita berkenaan yang memakai kemeja T dan seluar berwarna hitam serta kasut sukan," katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, hari ini.

Mohamad Hirman berkata, tiada pengenalan diri ditemukan bersama mangsa.

"Mayat wanita itu terlebih dahulu ditemukan oleh orang awam sebelum mereka menghubungi pihak polis.

"Kes diserah kepada pihak polis bagi tindakan lanjut dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat," katanya.

Disiarkan pada: July 13, 2023 @ 8:37pm
d