Kuala Lumpur: Perjuangan pemain badminton negara di Terbuka Jepun berakhir apabila jaguh beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik gagal melepasi pusingan suku akhir hari ini selepas tumpas kepada wakil tuan rumah, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi sebentar tadi.
Selepas bermula dengan meyakinkan pada set pertama, pasangan nombor satu negara itu yang juga sandaran terakhir Malaysia akur dengan kebangkitan Hoki-Kobayashi apabila kalah 21-10, 15-21, 16-21.
Kekalahan dalam aksi yang berlangsung lebih sejam di Gimnasium Nasional Yoyogi, Tokyo menyaksikan rekod Aaron-Wooi Yik ke atas pasangan nombor lima dunia itu terus merosot kepada 2-6.
Tahun lalu pasangan keempat dunia itu menarik diri daripada menyertai kejohanan berkenaan kerana Aaron mengalami kecederaan selepas mereka merangkul gelaran dunia.
Aaron-Wooi Yik selepas ini akan meneruskan aksi di Terbuka Australia yang berlangsung dari 1 hingga 6 Ogos depan.