mutakhir

Bapa saudara disyaki cuba bunuh budak tiga tahun, bayi ditahan polis

Oleh Muhammad Yusri Muzamir dan Siti Aminah Yusof

Georgetown: Seorang lelaki ditahan kerana disyaki cuba membunuh dua anak saudaranya di sebuah pangsapuri di Sungai Pinang di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 9.30 malam itu, suspek berusia 28 tahun dikatakan melempar anak saudaranya berusia tiga tahun dari tingkat satu pangsapuri terbabit, manakala bayi berusia 40 hari dihempas ke lantai kediaman mereka.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, suspek yang tidak bekerja dan memiliki satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah itu ditahan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Daerah Timur Laut.

"Permohonan reman ke atas suspek juga dibenarkan selama tujuh hari sehingga Rabu depan, selain dia kini ditahan di Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Mengulas mengenai kejadian, Soffian berkata, kanak-kanak berusia tiga tahun yang cedera di mulut serta patah kaki, manakala adik mangsa mengalami pendarahan otak kini dirawat di HPP dan dalam keadaan stabil.

"Ketika kejadian, suspek dalam keadaan tidak berpakaian dan bertindak mencederakan diri sendiri dengan mengelar pergelangan tangan kiri.

"Keluarga memaklumkan suspek mengalami gangguan mental sejak sebulan lalu," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut bagi membantu siasatan," katanya.

Disiarkan pada: August 3, 2023 @ 5:47pm
d