mutakhir

Pakai jaket PAS tanda sokongan pada PN sahaja - Afiq Amani

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim dan Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ketereh, Afiq Amani Annuar menjelaskan tindakannya yang memakai jaket PAS pada majlis ceramah yang dihadirinya malam tadi adalah sebagai tanda sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN).

Anak kepada Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa itu berkata, setakat ini dia belum memikirkan hala tuju politik.

"Saya tahu ramai orang tertanya-tanya bila saya dipakaikan jaket PAS, tiada apa-apa itu sekadar sokong PN.

"Bantu jentera PN atau tidak saya belum memikirkan perkara itu," katanya ketika ditemui selepas Ceramah Umum Pakat Pertahan Parlimen Ketereh, malam tadi.

Yang turut hadir, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Terdahulu, Afiq Annuar dan beberapa pimpinan lain yang mengumumkan peletakan jawatan dan keluar dari UMNO dijemput naik ke pentas untuk memakai jaket PAS yang disarungkan oleh Abdul Hadi.

Semalam, Afiq Annuar menyifatkan tindakannya keluar daripada UMNO kerana parti itu sudah tidak selari dengan perjuangan asal dan tindakannya itu tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

Disiarkan pada: August 5, 2023 @ 8:34am
d