mutakhir

KPDN siasat aktiviti penjualan air minuman kumpulan jenama Si Hulk

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menjalankan siasatan terhadap aktiviti penjualan air minuman 'Si Hulk' secara dalam talian yang didakwa boleh mengubati pelbagai penyakit.

Timbalan Menteri KPDN Senator Fuziah Salleh berkata, setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang aduan berkaitan aktiviti penjualan namun akan meminta siasatan dijalankan.

Beliau berkata, siasatan akan tertumpu daripada sudut penggunaan iklan yang mengelirukan dan palsu di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

Katanya, KPDN baharu saja menandatangani perjanjian dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) bagi mengekang sebarang bentuk penjualan produk secara dalam talian yang tidak mendapat kelulusan atau tidak sah.

"Kalau kita lihat itu (iklan) sebagai satu 'scam' (penipuan) dan dia perlu buat laporan polis sebab kita boleh ambil tindakan ke atas iklan yang mengelirukan atau palsu.

"Jadi orang ramai yang ada maklumat lebih lanjut, diminta menyalurkan kepada kami di KPDN untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Program Jelajah Jualan Rahmah Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2023 di tapak pasar malam Tok Adis, Kuala Ibai di sini hari ini.

Fuziah berkata, mana-mana individu atau syarikat yang mahu memasarkan sesuatu produk perlu mendaftarkan syarikat dan mendapatkan kelulusan daripada kementerian berkaitan sebelum memasarkan produk termasuk secara dalam talian.

"Ada dua perkara yang perlu dibuat apabila seseorang mahu memasarkan sesuatu produk , dia perlu berdaftar sebagai syarikat (dan) yang kedua apabila dia memasarkan sesuatu produk yang menjanjikan sesuatu, maka dia juga perlu ada kajian saintifik dan kelulusan.

"(Sebagai contoh) kalau dia kata boleh membawa kesan positif terhadap kesihatan, ia perlu (dirujuk) kepada KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) atau kelulusan daripada kementerian-kementerian berkaitan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan aktiviti perniagaan membabitkan kilang air minuman yang dijalankan kumpulan Si Hulk di Johor ditutup selepas sijil halal ditarik balik kerana gagal mematuhi piawaian ditetapkan pada 3 Jun 2021.

Disiarkan pada: August 5, 2023 @ 4:12pm
d