mutakhir

Hospital Dungun bakal beroperasi tahun depan

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Hospital Dungun yang diklasifikasi sebagai projek sakit dijangka beroperasi mulai tahun depan.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, projek yang dibina di atas tapak seluas 6.13 hektar kini sudah siap 99 peratus.

Beliau berkata, projek yang bermula Februari 2016 itu bakal memberi manfaat besar kepada warga setempat apabila beroperasi kelak.

"Kita sudah tahu apa masalahnya, sedikit terbengkalai tetapi insya-Allah, tinggal satu peratus sahaja dan kita jangka akan siap pada akhir tahun ini dan pada tahun depan ia akan beroperasi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Klinik Kesihatan Manir, di sini, hari ini.

Untuk rekod, Hospital Dungun yang baharu itu bakal menjadi hospital pakar ketiga di Terengganu selepas Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan Hospital Kemaman.

Ia mampu mencapai kapasiti 110 katil dengan sebanyak 10 kepakaran disediakan antaranya kecemasan, perubatan, pediatrik, obstetrik dan ginekologi, anestesiologi, ortopedik, psikiatri, pergigian dan patologi membabitkan kos RM125 juta

Hospital Dungun yang dibina pada 2016 itu sepatutnya siap pada 2019, namun tertangguh disebabkan beberapa faktor termasuk perubahan reka bentuk bagi menepati spesifikasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Kelewatan pembinaan turut berpunca akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan faktor kegagalan kontraktor menyebabkan ia mengambil masa untuk disambung semula dan dijangka siap pada April 2022.

Disiarkan pada: August 6, 2023 @ 1:52pm
d