Bola Sepak

Perak FC tidak mahu angkat bendera putih bertemu JDT

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Pengendali Perak FC, Yusri Che Lah tidak mahu terus mengangkat bendera putih apabila berdepan 'raja' bola sepak Asean iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.

Walaupun, di atas kertas kelebihan memihak kepada juara sembilan kali Liga Super itu, namun Yusri mengharapkan barisan anak buahnya mampu memberikan tentangan sengit dalam usaha memperoleh keputusan positif.

"Saya harapkan sesuatu daripada pemain dan jangan buang peluang yang ada. Kita perlu realistik dengan keputusan.

"Sehingga kini, kita lihat semua pasukan tidak menang lagi (dengan JDT), jadi kita perlu menilai dan ukur baju di badan sendiri.

"Bukan kita mengangkat bendera putih tetapi kita akan mencuba sebaik mungkin," katanya.

Mengikut rekod, 'The Bos Gaurus' ketika ini sedang berada pada prestasi terbaik mereka khususnya dalam empat aksi terakhir.

Mereka menang tiga aksi terakhir dalam semua pertandingan yang diharungi dan hanya tewas tipis 1-0 di tangan Sri Pahang FC.

Prestasi memberangsangkan itu membolehkan mereka menghuni tangga ke-11 Liga Super dan memiliki kelebihan lapan mata mengatasi pasukan di tangga ke-13, Kelantan FC.

Disiarkan pada: August 12, 2023 @ 2:10pm
d