MASJID Wilayah Persekutuan dibina di atas kolam buatan menonjolkan ciri sebagai masjid terapung.
SENI khat, tema muqarnas, dan corak ‘arabesque’ pada mihrab.
SENI tradisional Melayu ditonjolkan pada pemidang hiasan kayu di ruang solat wanita.
LAMAN Hidayah di Anjung D dihiasi batu granit berwarna kelabu menambah nilai eksklusif.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my

Pembinaan Masjid Wilayah Persekutuan boleh diibaratkan sebagai monumen yang melambangkan ketinggian martabat seni bina dalam pembinaan masjid di negara ini.

Ini kerana masjid di Jalan Duta itu dibina menggunakan gabungan pelbagai unsur kesenian yang terdapat pada seni bina Islam dari seluruh dunia di samping kemajuan teknologi serta penggunaan peralatan terkini.

Pada sudut tertentu masjid itu mempunyai persamaan dengan Masjid Shah di Isfahan, Iran atau Masjid Sultan Ahmet (Masjid Biru) di Turki serta Taj Mahal di India. Ini menyerlahkan lagi keunikan seni bina Masjid Wilayah Persekutuan.

Dibina pada 1997 di atas tapak berkeluasan 33 hektar dan mula beroperasi pada 25 Oktober 2000, pembinaannya memberikan wajah baharu terhadap landskap Kuala Lumpur.

Ia dibina di atas kolam buatan manusia menampakkan cirinya sebagai masjid terapung selain dilengkapi landskap air terjun pada kolam itu.

Apa yang menarik mengenai Masjid Wilayah Persekutuan ialah pembinaannya berkonsepkan Masjid di Dalam Taman yang menerapkan elemen semula jadi seperti tumbuh-tumbuhan dan air.

Penolong Pengarah Kanan Cawangan Kebajikan dan Sosial masjid berkenaan Nor Fadhilah Zakaria berkata, konsep itu sering digunakan pada taman masjid warisan Islam.

Beliau berkata, konsep itu juga adalah gabungan dalam bentuk lima taman yang terdiri daripada sebuah Taman Hutan, Taman Palma (tiga) dan sebuah taman perubatan.

“Masjid ini terbahagi kepada empat tingkat iaitu aras pertama menempatkan bilik VIP, dewan serba guna, tabika, asrama lelaki dan perempuan serta pejabat pentadbiran asrama dan tabika.

“Aras kedua pula menempatkan kelas sekolah agama, bilik seminar, perpustakaan, dewan jamuan lelaki dan perempuan,”katanya kepada Nuansa.

Katanya, pada aras ketiga pula adalah ruang solat utama, halaman Nur-Hidayah serta pejabat pentadbiran masjid dan aras keempat menempatkan ruang solat lelaki.

Nor Fadhilah berkata, meskipun masjid itu mempunyai lima pintu, dengan adanya kemudahan papan petunjuk disediakan dapat mengelak orang ramai daripada kekeliruan.

“Antara tarikan di masjid ini ialah dataran terbuka dikenali sebagai Laman Hidayah yang dihiasi batu granit berwarna kelabu.

“Laman Hidayah ini memberi kesan menarik kepada identiti Masjid Wilayah Persekutuan selain menjadi tempat pilihan pelancong bergambar,” katanya.

Dalam pada itu katanya, kewujudan air pancut di tengah Laman Hidayah bukan hanya berfungsi sebagai landskap tetapi juga untuk mengimbangi kepanasan matahari di laman berkenaan terutama waktu tengahari.

“Di Laman Hidayah terdapat gerbang utama yang menonjolkan seni khat Islam sebagai ciri hiasan yang kebiasannya terdapat di Isfahan, Iran, Jaipur dan Makrana, India.

“Selain itu, seni tradisional Melayu turut digunakan menghiasi pintu di bahagian bawah gerbang utama. Malahan, seni tatah dari India ini dikatakan diusahakan oleh warisan turun-temurun yang menghasilkan keindahan Taj Mahal,” katanya.

Katanya, seni bina sebuah kubah lengkap, tiga kubah separa bulat dan sebuah ‘vault’ turut menjadi tumpuan kerana corak pada kubah terbabit mirip seperti Masjid Biru di Istabul, Tukri.

Jelasnya, Masjid Wilayah Persekutuan mempunyai 23 kubah dan menjadi masjid paling banyak binaan kubah di negara ini.

“Mihrab di masjid ini dihasilkan daripada kemahiran tangan sangat halus dan mengagumkan. Ciptaannya terhasil daripada kombinasi marmar terukir dan bertatah batu separa permata beraneka warna.

“Berbagai kesenian dipamerkan pada reka bentuk struktur ini yang menggabungkan seni khat, ukiran batu dalam corak geometri Islam dan seni tatah bermotifkan awan larat sebagai tema mihrab.

“Mihrab di Masjid Wilayah Persekutuan boleh diiktiraf sebagai kesenian tangan terhalus pernah dihasilkan di dunia,” katanya.

Kataya, Masjid Wilayah Persekutuan menjadi perhatian dan tumpuan dunia Islam bukan saja kerana keindahannya tetapi peranan dalam mengembangkan syariat Islam di rantau ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2017 @ 12:43 PM