NURSERI di UCF Resource Center mengetengahkan pelbagai jenis tanaman hutan selain mengembangkan beberapa spesies komersial yang sesuai dalam kawasan urban.
NURSERI di UCF Resource Center mengetengahkan pelbagai jenis tanaman hutan selain mengembangkan beberapa spesies komersial yang sesuai dalam kawasan urban.
KEBUN sayuran untuk kanak-kanak menjalankan aktiviti bercucuk tanam bagi mendekatkan diri dengan alam semula jadi.
KEBUN sayuran untuk kanak-kanak menjalankan aktiviti bercucuk tanam bagi mendekatkan diri dengan alam semula jadi.
PENGUNJUNG juga berpeluang menikmati keindahan alam mahupun membuat kunjungan sambil belajar ke Bukit Persekutuan.
PENGUNJUNG juga berpeluang menikmati keindahan alam mahupun membuat kunjungan sambil belajar ke Bukit Persekutuan.
Nor Hanisah Kamaruzaman


Malaysian Nature Society (MNS) dengan kerjasama Think City dan BirdLife International mengambil inisiatif pelihara dan pulihara Bukit Persekutuan di bawah program Urban Community Forest (UCF).

Menerusi usaha itu, MNS turut memperkenalkan pelbagai aktiviti dan kemudahan kepada orang awam khususnya komuniti kota.

Salah satu kemudahan utama diketengahkan adalah UCF Resource Center dan nurseri di Jalan Kelantan, Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur.

Pusat dan nurseri berkenaan menjadi pusat sumber yang menyimpan koleksi spesies flora dan fauna direkodkan sekitar Bukit Persekutuan.

Nurseri itu turut menjadi tempat pembiakan pelbagai spesies tumbuhan selain menyokong program penanaman pokok dalam kawasan hutan.

UCF turut mengalu-alukan pelbagai pihak untuk terbabit dalam program penanaman pokok sebagai sebahagian kerja sukarela, khidmat masyarakat dan tanggungjawab sosial.

Pengurus UCF Resource Center dan penyelaras nurseri, Shahril Kamarulzaman berkata, tapak nurseri itu mula dikembangkan pada penghujung 2015.

“Pada penghujung 2015 saya mula membersihkan kawasan ini dan spesies pertama yang saya biak dan perkenalkan adalah pokok merbau sungai.

“Spesies berkenaan adalah tumbuhan yang sinonim dengan ekosistem hutan dan habitatnya di kawasan tebing sungai kerana ia berfungsi untuk mencengkam.

“Saya mula menanam tumbuhan ini daripada biji benih dari Pahang dan Kelantan. Saya sentiasa cuba untuk dapatkan sumber dari tempat lain dan spesies lain juga,” katanya.

Kata Shahril, nurseri itu turut mengembangkan spesies pokok hutan lain seperti pokok kapur, meranti dan cengal pasir.

“Saya juga sering bereksperimen dengan tanaman yang boleh hidup dalam kawasan hutan sekunder atau kawasan urban seperti Bukit Persekutuan ini.

“Selain pokok hutan, saya turut bereksperimen dengan pokok komersial seperti gaharu. Hanya sebahagian dapat hidup, namun kami tidak pernah putus asa meneroka jenis tanaman lain yang sesuai dan dapat serasi dengan suasana urban,” katanya.

UCF turut menyambut kedatangan pengunjung bagi menyertai komuniti ‘Friends of Bukit Persekutuan’ dengan menjalankan kerja sukarelawan.

“Kami turut mengalu-alukan individu yang berminat untuk kerja sukarela seperti penanaman benih di nurseri atau membantu kerja pembersihan dan banyak lagi,” katanya.

Menariknya, laman di sekitar bangunan MNS yang bersebelahan UCF Resource Center turut menempatkan kebun sayuran untuk kanak-kanak.

“Kanak-kanak juga boleh datang ke sini dan tanam sayur. Mereka tidak semestinya datang sekali saja, malah ada antaranya yang jadikan aktiviti di kebun ini secara mingguan,” katanya.

Bukit Persekutuan turut menawarkan empat laluan denai iaitu Heritage Trail, Cempedak Trail, Pulai Trail dan Jungle Fowl Trail untuk tujuan rekreasi dan lawatan sambil belajar mengenai flora serta fauna.

Kunjungi UCF Resource Center bersebelahan bangunan MNS di JKR641, Jalan Kelantan, Bukit Persekutuan Kuala Lumpur atau layari www.bukitpersekutuan.wordpress.com untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2017 @ 12:27 PM
Digital NSTP Subscribe