BUKU dan pensel menjadi hadiah paling bermakna buat lebih 2.8 juta kanak-kanak pelarian Syria yang tidak bersekolah akibat peperangan.
MASA depan kanak-kanak pelarian Syria tidak dapat dipastikan kerana tidak mendapat pendidikan sempurna.
ANAK pelarian Syria di sekolah kelolaan penuntut Malaysia di bawah Malaysia Arabian Cultural Society (MACS) di Qumayn iaitu satu-satunya sekolah integrasi pelajar Syria-Jordan.
SUKARELAWAN KHOM bersama sebahagian penuntut Malaysia di Jordan selepas melawat kawasan perumahan kendalian Islamic Charity Centre Society (ICCS) iaitu Sakan Karomah, yang menempatkan pelarian Syria.
ZURINA WAJI
rencana@hmetro.com.my


Tumitnya dilihat sudahpun mulai pecah-pecah, kehitaman di sekelilingnya, tidak sepadan dengan usianya yang baru mencecah 10 tahun.

Ditanya kenapa, dia senyum lebar. “Tadi, pagi-pagi lagi sudah keluar rumah menjual tisu,” kata Aiman, anak sulung daripada lima beradik mengenai rutin hariannya semenjak dia dan keluarganya keluar daripada Zaatari.

Zaatari ialah kem pelarian yang terletak 10 kilometer di timur Mafraq, bersempadan dengan Syria.

“Setiap pagi (jual tisu) tapi tak macam dulu, sekarang sekejap saja sebab selepas itu perlu pergi sekolah,” katanya.

Aiman yang dilahirkan di Homs, Syria, sudah empat tahun menetap di Irbid, Jordan bersama keluarganya.

Dia antara sekumpulan kecil ‘budak tisu’ yang diberikan pendidikan awal di ‘sekolah jalanan’ yang ditubuhkan penuntut Malaysia, beberapa tahun lalu dan antara penerima sumbangan termasuk bagi pendidikan daripada Karisma Humanitarian Outreach Mission (KHOM) berpangkalan di Kota Bahru, Kelantan.

Di Irbid, antara daerah tumpuan pelarian Syria. Anak-anak seperti Aiman biasa dilihat berkeliaran di jalanan, daripada menjual gula-gula getah dan tisu sehinggalah meminta sedekah melewati waktu tidur.

Seperti anak-anak pelarian lain, Aiman menjadi tulang belakang keluarganya. Dia bersama dua adik lelakinya, Yamin, dan Ahmad yang masing-masing berusia tujuh dan lapan tahun mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga mencari rezeki.

Itu satu situasi yang semakin menghimpit pelarian bandar berkenaan dan mereka yang hidup di luar kem secara spesifik di kawasan bandar seperti Irbid.

Keadaan ini membuatkan bapa Aiman, Hayyan Nasr, 39, marah dan kecewa.

“Saya rasa lemah sebagai seorang bapa. Lemah, sebagai manusia kerana saya yang sepatutnya memberi wang kepada anak tapi sekarang sudah terbalik. Tidak mungkin kami kembali ke Zaatari,” katanya.

Sebulan di Zaatari, dia sekeluarga ternyata tidak boleh tinggal di kem yang ketika itu menurutnya masih dalam keadaan daif dan sentiasa berdebu sehingga menyebabkan masalah pernafasan dan memaksa mereka keluar menyewa di Irbid.

Zaatari, kem pelarian Syria yang meraikan ulang tahun kelimanya, Julai lalu, kini menjadi bandar keempat terbesar Jordan. Ia tidak ubah seperti sebuah kota kecil yang menampung lebih 83,000 pelarian Syria selain dikenali kem pelarian terbesar di dunia.

Jordan lebih dahulu membuka pintunya untuk menerima pelarian Palestin, Sudan dan Eritrea.

“Perkara paling penting bagi orang Syria untuk membayar sewa rumah,” kata Hayyan, mengakui rumah yang diduduki sejak Mac lalu juga adalah rumah sewa keenamnya sejak 2013.

Dengan sewa yang boleh mencecah JOD150 (RM960) sebulan bagi apartmen dua bilik, tambahnya, ia adalah cabaran terbesar bagi pelarian Syria.

Jelasnya, pelarian Syria sentiasa berhadapan masalah menjelaskan sewa rumah kerana di Jordan segala-galanya mahal. Rakyat Jordan pula seperti tiada belas kasihan terhadap mereka kerana sering mengenakan sewa paling tinggi berbanding rakyat Jordan atau negara lain.

“Saya bawa keluarga meninggalkan bumi Syria selepas perang meletus dan rejim Bashar (al-Assad) memberi tekanan hebat ke atas Homs, kubu kuat pemberontak ketika itu termasuk menyekat bekalan makanan.

“Saya sangat bersyukur kerana masih hidup dan tidak menyangka kehidupan di Jordan sangat susah,” katanya.

Jordan bakal mengalami musim sejuk seawal November ini apabila cuaca boleh menjadi ‘kejam’ dengan suhu mencecah bawah paras beku yang menyebabkan sebahagian daerahnya bersalji.

Peralihan musim membuatkan pelarian runsing memikirkan pertambahan perbelanjaan untuk membeli alat pemanas dan kenaikan bil elektrik yang ketara pada musim berkenaan.

Hayyan mendakwa, dia mementingkan pendidikan untuk anak-anaknya walaupun tidak gembira dengan sistem pendidikan sedia ada untuk anak-anak pelarian Syria di Jordan. Sebagai bapa, menyuruh anak-anak yang masih kecil mencari nafkah mencalar maruahnya tapi dia tiada pilihan.

“Ini kerana pelarian seperti saya tidak dibenarkan bekerja kecuali dengan permit yang bukan saja mahal, malah biasanya terhad bagi sektor seperti pembinaan dan perladangan yang menyukarkan lagi keadaannya yang mengalami masalah tulang belakang (slipped disc).

“Nak bekerja secara haram, bimbang ditangkap dan dihantar pulang ke Syria. Di Jordan pun susah untuk hidup, apatah lagi di Syria.

“Selama di Jordan, inilah pengalaman paling pahit dalam seumur hidup saya apabila terpaksa menyuruh anak-anak keluar menjual tisu demi kelangsungan hidup. Apa lagi yang lebih teruk daripada itu?” katanya.

Pelarian Syria berdaftar yang hidup di luar kem hanya menerima bantuan bulanan berupa kupon makanan bernilai JOD20 (RM128) sekepala daripada Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR).

Tanpa sumber pendapatan, hanya bergantung pada sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), jika ada, pelarian menjual semula sebahagian makanan bagi mendapatkan tunai.

Ogos lalu, pusat pekerjaan pertama bagi pelarian Syria dibuka di kem Zaatari oleh Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO) dan UNCHR. Dibiayai Kesatuan Eropah (EU) dengan koordinasi kerajaan Jordan, ia membolehkan pelarian Syria di kem meraih peluang pekerjaan.

Perangkaan UNCHR pada 2016 bagaimanapun menunjukkan daripada 670,000 pelarian Syria berdaftar, 85 peratus tinggal di luar kem iaitu kira-kira 28 peratus di Amman manakala baki kebanyakannya di Irbid dan Mafraq, berdekatan sempadan Syria. Ini bermakna, mereka tidak menerima manfaat seperti di kem, antaranya persekolahan, pengangkutan dan perubatan.

Data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan tiga perempat daripada pelarian Syria berhutang pada purata AS$1,038 atau kira-kira RM4,432 manakala 93 peratus hidup dengan pendapatan kurang daripada RM375 sebulan, seorang. Separuh didapati berhutang untuk membeli makanan dengan sepertiga lagi gagal membayar sewa rumah dengan risiko dihalau keluar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2017 @ 11:26 AM