MOHD Adli (empat dari kiri) dan anaknya (enam dari kiri) bersama kakitangan Courts serta anggota Autism Cafe Project ketika sambutan Hari Malaysia, baru-baru ini.
HM Digital

Sempena Hari Malaysia ke-54 tahun ini, Courts Malaysia (Courts) bekerjasama dengan ‘Austism Cafe Project’ bagi meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pembabitan mereka dalam masyarakat.

Sambutan yang dijalankan pada 16 dan 17 September lalu itu memberi peluang kepada individu istimewa dari Austism Cafe Project menyediakan hidangan tempatan kepada pelanggan Courts.

Ratusan hidangan mi goreng dan teh tarik dihidangkan sepanjang acara dua hari itu di cawangan Courts Megastore Sri Damansara serta Courts Setapak.

Ketua Pegawai Eksekutif Courts Malaysia, Dolf Posthumus berkata, pihaknya sentiasa komited untuk terus berbakti dan berhubung dengan komuniti tempatan.

“Saya mengucapkan Selamat Hari Malaysia kepada semua rakyat Malaysia. Kami di Courts sentiasa komited untuk berbakti dan berhubung kepada masyarakat setempat.

“Kami mahu sambut hari penyatuan Malaysia ini dengan menyebarkan mesej pembabitan individu istimewa ini serta menzahirkan sokongan kepada mereka.

“Tahun ini, kami berkolaborasi dengan Autism Cafe Project yang menghidangkan hidangan tempatan kepada pelanggan setia kami,” katanya.

Terhad kepada 100 pelanggan setiap hari, Courts Malaysia menghidangkan mi goreng dan teh tarik kepada pelanggan terawal di bermula jam 11 pagi hingga 12.30 tengah hari.

Selain menghidangkan menu istimewa berkenaan, Courts turut menjalankan pelbagai aktiviti dan promosi istimewa di kedua-dua cawangan berkenaan.

Courts aktif menyokong dan menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan komitmen berterusan untuk membantu serta menyumbang kepada golongan memerlukan demi kehidupan yang lebih baik.

Sempena acara itu, Courts turut menyampaikan sumbangan dua unit mesin pembuat kopi dan penapis air bernilai RM2,200 bagi membantu keperluan Autism Cafe Project.

Pengasas Austism Cafe Project Mohd Adli Yahya berkata, pihaknya teruja kerana dapat membabitkan diri dengan inisiatif dianjurkan Courts.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Courts Malaysia kerana membabitkan Austism Cafe Project untuk inisiatif ini.

“Kami mahu meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai komuniti autisme dan mengajak orang ramai menyokong pembabitan golongan ini dalam masyarakat sebagai sebahagian identiti negara,” katanya.

Diinspirasi daripada anak lelakinya, Mohd Adli yang juga bekas Pengarah Eksekutif Yayasan Standard Chartered mewujudkan Autism Cafe Project pada Ogos tahun lalu.

Idea itu tercetus selepas anaknya disahkan autisme dan beliau memikirkan masa hadapannya sama ada mampukah anaknya hidup berdikari.

Inisiatif itu bermula di iM4U Sentral di Puchong dengan objektif utama penubuhan untuk membantu dan membimbing anak muda autisme berdikari serta memperoleh pendapatan selain membina kerjaya untuk diri mereka sendiri.

Courts sering terbabit dengan program CSR dan turut bekerjasama dengan iM4U iaitu sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan untuk memupuk serta menyemai semangat sukarelawan dalam kalangan anak muda.

Pelbagai aktiviti dijalankan termasuk program bina negara yang mampu memanfaatkan komuniti tempatan dan kumpulan sosial. - Nor Hanisah Kamaruzaman

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2017 @ 10:03 AM