PELAJAR kulinari MTVAB menunjukkan bakat memasak.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my


Mereka baru berusia lingkungan 15 hingga 17 tahun, tetapi ketangkasan di dapur menyiapkan makanan boleh memukau sesiapa saja yang melihatnya.

Langsung tidak kekok ‘bermain’ dengan senduk, periuk dan kuali menyerlahkan lagi gaya mereka seperti seorang cef berpengalaman.

Mengagumkan apabila air tangan mereka begitu enak seperti hidangan di hotel selain boleh menyediakan pelbagai jenis masakan walaupun usia masih belasan tahun.

Lebih menarik, penampilan remaja terbabit berniqab serta memakai pakaian Muslimah apabila beraksi di dapur atau ketika menyediakan perkhidmatan katering sentiasa mencuri tumpuan ramai.


PELAJAR kulinari MTVAB menunjukkan bakat memasak hidangan kerutuk daging.

Hakikatnya, mereka adalah pelajar Maahad Tahfiz Vokasional Aman Bistari (MTVAB) yang diberikan latihan kemahiran kulinari dan pada masa sama diwajibkan menghafal al-Quran sepanjang belajar di maahad berkenaan.

Selain kulinari, kira-kira 40 pelajar di maahad terbabit turut didedahkan kemahiran lain seperti jahitan, seni khat, automotif, motosikal, animasi dan basikal.

Semua itu adalah hasil cetusan idea pengerusi maahad berkenaan, Mohd Asri Yunus yang melakukan transformasi terhadap sistem maahad tahfiz di negara ini dengan dilaksanakan di MTVAB.


SEBAHAGIAN daripada pelajar katering MTVAB yang menguruskan perkhidmatan katering.

Beroperasi di Kampung Seri Aman, Puchong sejak 2009, MTVAB adalah maahad tahfiz pertama di negara ini yang memberikan penekanan latihan kemahiran dan menghafal al-Quran kepada pelajarnya.

Mohd Asri berkata, MTVAB sudah mempunyai tujuh cawangan di seluruh negara yang dibantu 15 tenaga pengajar kemahiran dengan kepakaran dalam bidang masing-masing termasuk dua cef selebirit terkenal negara.

Beliau berkata, kulinari adalah bidang kemahiran yang berjaya di maahad berkenaan apabila 20 pelajarnya sudah mampu mengendalikan makanan dengan baik dan MTVAB mempunyai perniagaan katering yang diuruskan oleh pelajar.


BATRISYA Uzma menunjukkan hidangan kerutuk daging yang siap dimasak.

“Sejak Ramadan lalu, kami menerima banyak tempahan untuk acara seperti seminar dan berbuka puasa serta majlis perkahwinan termasuk daripada syarikat korporat.

“Kualiti makanan terlebih dahulu akan dipantau oleh cef selebriti terbabit sebelum makanan dihantar kepada pelanggan atau perkhidmatan katering dilaksanakan,” katanya kepada Nuansa.

Katanya, pelajar MTVAB didedahkan kemahiran seawal usia 11 tahun. Pada peringkat awal, mereka diwajibkan mempelajari semua kemahiran dan kemudian ditentukan berdasarkan pencapaian.

“Sepanjang empat tahun pengajian, setiap pelajar perlu menguasai dua kemahiran iaitu bagi pelajar perempuan ialah jahitan dan kulinari atau khat serta animasi.

“Manakala pelajar lelaki pula seperti kulinari atau automotif atau mana-mana yang mereka minat,” katanya.


PElAJAR turut diberikan latihan jahitan.

Menurutnya, setiap pelajar disyaratkan menjalani latihan dalam kerja (on job training) setiap tahun selama dua bulan bagi memantapkan kemahiran yang mereka pelajari sebagai persediaan menempuh alam pekerjaan kelak.

Katanya, maahad berkenaan berteraskan al-Quran diwajibkan dan kemahiran diutamakan. Beliau berharap pelajar MTVAB menjadi usahawan berjaya dan pada masa sama menghafal al-quran (penghafal al-Quran berkemahiran).

Pelajar kulinari, Batrisya Uzma Abdul Halid, 16, berkata, sebelum ini dia belajar di sebuah sekolah agama di Temerloh, Pahang tetapi berpindah ke MTVAM kerana mahu mempelajari bidang masakan sejak setahun lalu.


PELAJAR mengikuti kelas menghafal al-Quran setiap hari Isnin hingga Jumaat, manakala hujung minggu latihan kemahiran.

“Ibu bapa sangat memahami minat saya dan mereka tidak keberatan memindahkan saya ke sekolah ini.

“Saya sangat seronok belajar di sini, lebih-lebih lagi dapat belajar pelbagai jenis masakan daripada cef selebriti terkenal.

“Dulu saya hanya berpeluang melihat ibu masak dan menonton rancangan masakan dalam televisyen bagi memenuhi hobi,” katanya.

Batrisya Uzma berkata, dia gemar memasak makanan Melayu dan gembira diberi kepercayaan memasak bersama rakan lain bagi tempahan katering.

“Masih banyak lagi yang perlu saya belajar dan berhasrat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam bidang ini (kulinari).

“Saya bercita-cita menjadi cef dan pada masa sama berhasrat menyumbangkan ilmu masakan kepada orang lain kelak,”katanya.

Difahamkan, pihak pengurusan dalam perancangan membina bangunan MTVAB bernilai RM9.5 juta di Kuala Sungai Baru, Puchong bagi menampung kemasukan pelajar baharu pada masa akan datang.

Selari dengan itu, beberapa kursus kemahiran baharu akan diperkenalkan seperti kejuruteraan mekanikal, mekanikal elektrik, perhotelan serta minyak dan gas (O&G).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2017 @ 1:58 PM