PCP juga menyediakan ruang aktiviti mendaki untuk kanak-kanak.
PCP juga menyediakan ruang aktiviti mendaki untuk kanak-kanak.
RAMAI golongan belia menjadikan pendakian tembok ini sebagai aktiviti riadah.
RAMAI golongan belia menjadikan pendakian tembok ini sebagai aktiviti riadah.
AKTIVITI ‘bouldering’ boleh dilakukan di PCP.
AKTIVITI ‘bouldering’ boleh dilakukan di PCP.
PENDAKI melakukan aktiviti ‘lead climbing’.
PENDAKI melakukan aktiviti ‘lead climbing’.
Hafiz Ithnin


Bukan sekadar kekuatan tangan diperlukan, malah bahagian utama dalam pergerakan badan juga memainkan peranan penting bagi memastikan pendaki dapat mengawal kestabilan badan untuk sampai ke penghujung tembok tiruan.

Aktiviti mendaki tembok tiruan atau dikenali sebagai ‘indoor wall climbing’ sememangnya bukan sesuatu yang baru dalam kalangan peminat aktiviti ekstrem tempatan.

Malah, ramai siswa institusi pengajian tinggi amnya menjadikan aktiviti mendaki tembok tiruan untuk mengisi waktu terluang. Malah, ada juga antara mereka yang menjadikannya sebagai aktiviti wajib untuk dilakukan setiap hari.

Sebenarnya, aktiviti mendaki tembok tiruan sudah diiktiraf untuk dipertandingkan dalam Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun kelak kerana ia tergolong dalam satu daripada sukan baru berpotensi tinggi sehinggakan sebelum ini ramai atlet Malaysia yang berjaya menempatkan diri di peringkat dunia.

Pada masa sama, kewujudan lokasi latihannya atau gimnasium pendakian tembok tiruan bukan lagi asing di Malaysia. Ia begitu mudah didapati di kawasan bandar.

Sehingga hari ini, terdapat 10 pusat latihan memanjat tembok tiruan di seluruh Malaysia. Taman Cabaran Putrajaya (PCP), Putrajaya pula adalah pusat latihan memanjat tembok terbesar di Malaysia dengan keluasan keluasan 195 meter persegi (2,100 kaki persegi) dan dilengkapi pelbagai tahap kesukaran pendakian.

PCP juga mempunyai tembok berketinggian sehingga 20 meter atau bersamaan bangunan lima tingkat yang membolehkan pendaki melakukan pelbagai disiplin atau cabaran laluan untuk memanjat.

Sering menjadi lokasi pertandingan cabaran mendaki tembok di peringkat nasional dan antarabangsa setiap tahun, PCP turut menghimpunkan atlet sukan memanjat tembok sedunia untuk menguji penguasaan teknikal memanjat masing-masing.

Dari segi bayaran masuk yang dikenakan di PCP juga berpatutan kerana orang ramai hanya perlu membayar RM6 saja dan bagi pelajar caj kemasukan hanya RM3 seorang.

Bagi aktiviti memanjat tembok terdapat beberapa keperluan asas iaitu kasut khas untuk mendaki, abah-abah, tali dinamik dan serbuk kapur.

Malah, beberapa aktiviti yang biasa dilakukan pendaki iaitu pertama, ‘bouldering’ apabila pendaki akan menguji tahap kemampuan mereka untuk memegang pelbagai jenis batu yang terdapat pada tembok tiruan berketinggian tidak lebih lima meter.

Aktiviti ini tidak memerlukan pendaki menggunakan tali dan tilam disediakan untuk keselamatan sekiranya terjatuh.

Kedua, ‘top rope’ iaitu pendaki akan mendaki tembok mengikut laluan ditetapkan, tali untuk mendaki sedia dipasang hingga ke atas selain penyeliaan pengawal tali mendaki (belayer) di bawah membantu pendaki ketika mendaki atau turun dengan selamat.

Ketiga ‘lead climbing,’ iaitu pendaki akan membawa tali ketika mendaki dengan bantuan pengawal tali di bawah (belayer). Pada peringkat ini, pendaki perlu memasukkan tali yang dibawa ke dalam ‘quickdraw’ yang sudah dipasang pada tembok tiruan.

Hakikatnya, aktiviti memanjat tembok ini antara tarikan kehadiran pelancong ke Malaysia kerana hasil tinjauan penulis sendiri di beberapa laman web pelancongan mendapati, ramai pelancong asing memuji kemudahan aktiviti memanjat tembok di Malaysia.

Di samping itu, pendaki bukan hanya perlu melawan rasa gayat, malah mengenal pasti bentuk batu tiruan yang dipasang kerana mempunyai nama tertentu seperti crimper, jug, slopper, edge dan pinch.

Biasanya dalam kalangan pendaki tembok baru, mereka juga diperkenalkan dengan laluan tertentu untuk mendaki mengikut warna batu yang sudah siap dipasang. Di sinilah pendaki perlu mempunyai kemahiran untuk mendaki.

Syarikat penyedia perkhidmatan mendaki, Crossmove Adventure melihat aktiviti mendaki tembok tiruan ketika ini semakin mendapat sambutan orang ramai terutama golongan muda.

Tidak ketinggalan, kemudahan gimnasium mendaki tembok tiruan di Malaysia juga semakin bertambah dari masa ke masa kerana mendapat sambutan menggalakkan.

Pengurusnya, Muhd Tarmizi Jaafar juga atlet dan jurulatih dalam sukan memanjat tembok itu berkata, melihat perkembangan aktiviti berkenaan sebenarnya mendorong Malaysia melahirkan lebih ramai atlet dalam bidang itu untuk bertanding di peringkat antarabangsa.

Katanya, aktiviti memanjat tembok juga bukan satu sukan yang ‘mahal’ kerana orang ramai boleh membeli kelengkapan berkenaan dengan harga yang mampu milik serta ia boleh digunakan pada satu jangka masa lama.

“Di Malaysia, kita mempunyai pusat latihan mendaki tembok yang besar dan lengkap seperti di PCP untuk orang ramai.

“Bagi atlet pula, terdapat kemudahan untuk menjalankan latihan di sini yang boleh dikatakan lengkap. Cuma, sebagai atlet ada kalanya memerlukan cabaran laluan atau batu yang lebih mencabar untuk pertandingan,” katanya yang mula terbabit dalam aktiviti berkenaan sejak 1999.

Katanya, Malaysia juga berpotensi menjadi hab pendaki tembok di rantau Asia memandangkan terdapat kemudahan yang dibangunkan pihak kerajaan dan swasta untuk melahirkan bakat dalam sukan berkenaan.

“Saya juga bersetuju aktiviti memanjat tembok tiruan di Malaysia sememangnya mampu menjadi lokasi pilihan atlet asing untuk berlatih jika terdapat lebih banyak kemudahan yang mengikut standard pertandingan antarabangsa.

“Secara tidak langsung, aktiviti ini dapat menarik kehadiran pelancong asing ke Malaysia dan ia mampu menjadi produk pelancongan kepada negara pada masa akan datang,” katanya.

Bagi mereka yang serius melakukan aktiviti mendaki tembok sebenarnya terdapat latihan khas yang perlu dijalankan untuk membolehkan mereka mendapat lesen melakukan aktiviti berkenaan.

Kebanyakan lokasi mendaki tembok memerlukan lesen berkenaan bagi memastikan pendaki dan pengawal tali mempunyai kemahiran untuk mengendalikan aktiviti berkenaan, sekali gus sebagai langkah keselamatan kepada orang ramai.

INFO:

Lokasi mendaki tembok dalaman di Malaysia:

1. Taman Cabaran Putrajaya (PCP), Putrajaya.

2. Camp5 Climbing Gym, Petaling Jaya, Selangor.

3. Sabah Indoor Climbing Centre, Kota Kinabalu, Sabah.

4. Bolder Ventures Climbing Gym, Subang Jaya, Selangor.

5. Rockworld, Skudai, Johor.

6. Petit Climbing Center / Petit Outdoor, Johor Bahru, Johor.

7. Climb Asend, Kuching, Sarawak.

8. Madmonkeyz Climbing Gym, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2018 @ 1:35 PM