PAMERAN Kartun dan Kita diadakan pada 8 Disember 2017 hingga 5 April depan.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Allahyarham Rejabhad atau nama sebenarnya Rejab Had adalah seorang kartunis terkenal dan digelar Penghulu Kartun Malaysia atas sumbangan besarnya dalam bidang kartun di negara ini.

Beliau antara pencetus kartun di Malaysia dan karya seperti Perwira Mat Gila, Tan Tin Tun, Mawar Oh Mawar dan Selendang Siti Rogaiyah menjadikannya begitu popular sekitar tahun 1960.

Namun, ramai tidak mengenalinya terutama generasi muda berbanding kartunis Majalah Ujang, Gila-Gila dan Apo yang popular sekitar 1990-an.

Kini anda berpeluang mengenali karya berkenaan menerusi Pameran Kartun dan Kita di Muzium Negara yang berlangsung sejak 8 Disember lalu hingga 5 April depan.

KURATOR Bahagian Komunikasi Korporat Jabatan Muzium Negara, Mohd Jamil Haron memberi penerangan berkenaan Pameran Kartun dan Kita.

Lebih menarik apabila pengunjung pameran berpeluang mengetahui sejarah perkembangan kartun dan komik di negara ini bermula pada 1925 dan mencapai zaman kegemilangannya pada 1971 hingga 1990.

Timbalan Pengarah Muzium Negara, Darniza [email protected] berkata, pameran yang sama pernah diadakan pada 1980-an tapi lebih mengetengahkan karya Datuk Lat atau nama sebenarnya Datuk Mohammad Nor Khalid.

“Tidak dinafikan Datuk Lat antara kartunis terkenal negara dan karya paling popular ialah Kampung Boy pada 1979 serta diterbitkan di beberapa negara seluruh dunia.

“Pameran itu diadakan sebagai pengiktirafan kepada jasa beliau dalam membantu memupuk keharmonian dan persefahaman sosial menerusi karya kartunnya,” katanya.

ANTARA komik yang dipamerkan.

Beliau berkata, Pameran Kartun dan Kita yang dirancang sejak tiga tahun lalu itu menghimpunkan lebih 500 karya kartun daripada lebih 200 kartunis di negara ini.

“Penganjuran kali ini kerjasama Rumah Kartun dan Komik Malaysia bagi mendapatkan karya asli dan cetak semula secara digital untuk diketengahkan.

“Terdapat empat segmen utama iaitu pengenalan kepada sejarah kartun, sejarah kartunis dan komik Malaysia, di sebalik karakter kartun dan segmen animasi.

“Segmen ini diadakan untuk mencipta kelainan supaya pameran ini menarik bagi mencuri tumpuan pengunjung terutama kanak-kanak yang sememangnya meminati kartun,” katanya.

Katanya, watak kartun memberi pengaruh kepada manusia kerana ia bukan hiburan semata-mata, malah sarat dengan unsur pendidikan, sindiran dan teguran melalui lawak jenaka.

KANAK-kanak tidak melepaskan peluang mengunjungi Pameran Kartun dan Kita.

PAMERAN KARTUN DAN KITA

• ARTIS: Lebih 200

• KARYA: Lebih 500

• TARIKH: 8 Disember 2017 hingga 5 April 2018

• MASA: 9 pagi hingga 6 petang (setiap hari)

• ALAMAT: Galeri 2, Jabatan Muzium Negara. Jalan Damansara, Kuala Lumpur.

• TELEFON: 03-2267 1000

• FACEBOOK: Jabatan Muzium Negara

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2018 @ 1:25 AM