PELBAGAI kemudahan dan permainan trampolin ditawarkan.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Berkeluasan 37,000 kaki persegi dengan menawarkan lapan sektor pelbagai aktiviti trampolin, menjadikan taman trampolin pertama Malaysia, Jumpstreet Asia di Petaling Jaya, Selangor ini antara tumpuan peminatnya.

Dibuka pada Ogos 2014, Jumpstreet Asia itu turut mempunyai cawangan lain di Johor Bahru, Johor. Sekali gus membuktikan aktiviti itu mempunyai pengikutnya tersendiri di negara ini.

Dijangkakan secara purata sekitar 2,000 pengunjung seminggu mengunjungi taman trampolin berkenaan itu termasuk pelawat dari badan korporat dan institusi pendidikan.

Melihat kepada kepelbagaian sektor yang ditawarkan seperti arena trampolin untuk kanak-kanak, golongan profesional, sektor permainan dodgeball dan bola keranjang, tidak hairanlah mengapa premis berkenaan sering menjadi tumpuan orang ramai.

Malah bagi mereka yang kali pertama mengunjungi taman itu, anda tidak perlu risau untuk mempelajari kemahiran lompatan di atas trampolin secara asas memandangkan terdapat kru bertugas yang sentiasa bersedia membantu.

Tidak ketinggalan, taman trampolin itu turut menawarkan kelas kemahiran kepada mereka yang ingin mempelajari kemahiran lompatan seperti atlet akrobatik dengan pakej dan harga tertentu.

Memandangkan taman trampolin itu sering menjadi lokasi golongan berkeluarga untuk bersantai, terdapat juga kemudahan kafe bagi memudahkan mereka membeli makanan dan minuman.

Baru-baru ini, penulis berkesempatan meninjau taman trampolin itu dan difahamkan terdapat juga ibu bapa yang sering menghantar anak mereka untuk mengisi waktu santai sebaik saja tamat sesi persekolahan terutama petang.


SEKTOR trampolin bola keranjang yang disediakan di Jumpstreet Asia.

Tergambar keseronokan pada setiap wajah kanak-kanak yang bermain di sektor trampolin khas dan sektor taman permainan mini berkonsepkan tiub.

Begitu juga dengan pelancong asing yang menjadikan lokasi berkenaan sebagai destinasi mengasah bakat lompatan di atas trampolin dengan pelbagai gaya akrobatik.

Ini kerana bagi trampolin terdapat beberapa sektor lain yang membolehkan pemain melakukan gaya lompatan profesional dan tidak bercampur dengan sektor kanak-kanak.

Dari segi keselamatan, kelihatan kru yang bertugas sentiasa bersedia berada di beberapa bahagian sektor bagi memastikan pemain melakukan aksi selamat dan tidak melanggar peraturan ketika menggunakan perkhidmatannya.

Taman trampolin itu beroperasi setiap Isnin hingga Jumaat pada bermula jam 11 pagi hingga 9 malam.

Sementara pada hari cuti atau hujung minggu pula, ia beroperasi antara jam 10 pagi hingga 9 malam. Caj dikenakan bermula RM25 seorang bagi sejam pertama dan tambahan antara RM10 hingga 15 bagi jam berikutnya. Kadar harga bergantung mengikut hari cuti atau bekerja.


KAFE yang bersih dan menawarkan pelbagai hidangan menarik kepada pengunjung.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Mac 2018 @ 7:01 AM