KUCING yang pernah didera dirawat hingga sihat sebelum diserahkan kepada keluarga angkat baru.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my

Mulanya dia tidak menyukai kucing dan pernah memarahi anaknya kerana membawa haiwan jalanan itu pulang ke rumah.

Namun, tanpa disedari tindakan anaknya itu melembutkan hati dan mengubahkan diri wanita ini menjadi seorang pencinta tegar haiwan berkenaan.

Disebabkan perasaan belas ihsan luar biasa dimilikinya itu, dia pernah melalui lima peristiwa si bulus mati di pangkuannya.

Semua kucing itu mempunyai sejarah hitam kerana pernah didera dan kesan daripada perbuatan kejam individu tidak bertanggungjawab menyebabkan haiwan terbabit mati dalam keadaan menyayat hati.

Dia sukarelawan aktif menjadi penjaga sementara kucing dan lebih menarik Azizah Ibrahim, 49, tinggal bersama 90 kucing jalanan di rumahnya yang diselamatkan di sekitar ibu kota.


TERDAPAT kucing jalanan yang dijaga Azizah pernah didera.

Ungkapan paling tepat diberikan kepada wanita ini adalah si pembela kucing kerana hanya individu yang mempunyai kemuliaan hati luar biasa saja sanggup melakukan tindakan sepertinya.

Azizah berkata, pengalaman kucing mati di pangkuannya tidak akan dilupakan sampai bila-bila dan peristiwa itu sangat menyentuh hatinya selain masih segar dalam ingatan hingga ke hari ini.

“Sebelum ini, keadaannya (kucing mati di pangkuan) sangat teruk dengan matanya buta, gigi patah dan koma selama dua minggu kerana didera.

“Bagaimanapun, saya merawatnya hingga sihat. Kucing itu juga bagaikan mengetahui ajalnya sudah hampir apabila bertukar menjadi terlalu manja dan mahu sentiasa berada di pangkuan.

“Saya membelainya dan tidak menyangka tidak lama selepas itu ia mati. Tidak dapat digambarkan kesedihan yang saya alami ketika itu kerana ia berlaku berulang kali,” katanya kepada Nuansa.


KUCING jalanan yang baru diselamatkan akan diasingkan selama dua minggu dalam sangkar.

Sejujurnya Azizah sudah ‘jatuh cinta’ dengan kucing begitu juga suami dan anak.

Katanya, boleh dikatakan mereka sekeluarga adalah ‘keluarga kucing.’

Menurut Azizah, disebabkan terlalu obses dengan kucing dia tidak boleh melihat haiwan itu terbiar dalam keadaan kurang sempurna di mana-mana saja.

“Kerap kali tujuan asal ke pasar untuk membeli ikan dan sayur dibatalkan hanya kerana menyelamatkan kucing jalanan yang dijumpai.

“Sekarang jika ke pasar, suami yang akan beli barangan basah (ikan dan sayur) sementara saya hanya tunggu dalam kereta bagi mengelak terjumpa kucing,” katanya.

Katanya, dia akan berasa tidak senang duduk jika tidak menyelamatkan mana-mana kucing jalanan yang dijumpainya.


AZIZAH memberi ubat kepada satu daripada 90 kucing jalanan yang tinggal di rumahnya.

“Kerap juga saya pergi semula ke tempat kucing yang dilihat untuk menyelamatkannya walaupun sudah tiba di rumah.

“Saya rasa seperti ada ‘tarikan’ antara saya dengan kucing yang menyebabkan keinginan menyelamatkan haiwan berkenaan begitu kuat,” katanya.

Ibu kepada empat anak itu berkata, sejak enam tahun lalu hampir 600 kucing jalanan berjaya diselamatkan dan kemudian dirawat hingga sihat sebelum diserahkan kepada keluarga angkat baru.

“Peluang mengambil haiwan itu untuk dipelihara secara percuma dibuka menerusi pameran diadakan bersama Kelab Kucing Malaysia dan pengumuman di laman sosial.

“Kami tidak beri kucing itu kepada sebarangan orang kerana saya terlebih dulu akan menemu duga individu berkenaan bagi memastikan mereka benar-benar mahu memelihara haiwan terbabit dengan betul.

“Saya tidak mahu kucing itu ‘dianiaya’ atau didera hingga akhirnya kembali ke tempat asal iaitu menjadi kucing jalanan,” katanya.


SEMUA kucing manja dan gemar dibelai Azizah.

Demi kasih sayangnya terhadap kucing, Azizah juga sanggup membelanjakan antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan untuk membeli keperluan haiwan itu.

“Mungkin orang melihat ia satu jumlah yang besar tapi saya berasa puas apabila dapat membuat kebajikan terhadap haiwan kesayangan Nabi Muhammad SAW itu.

“Saya rasa sedikit lega selepas bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia, Kelab Kucing Malaysia (KKM) dan beberapa syarikat pengeluar barangan kucing kerana memberi tajaan,” katanya.

Berkongsi rutin hidupnya, Azizah berkata, setiap hari pada jam 6.30 pagi hingga 9.30 pagi dia akan menguruskan kucingnya termasuk membersihkan dua sangkar daripada najis yang dibina di kediamannya di Kepong, Kuala Lumpur.

“Selepas itu saya akan membuka kedai barangan kucing hingga jam 8 malam.

“Apabila tiba di rumah saya akan memberi tumpuan semula kepada kucing hingga jam 1 pagi,” katanya.

Jelasnya, dia berasakan hidupnya tak sempurna jika tidak bersama kucing walaupun dalam tempoh yang singkat.


LINDA Aida Mohd Zaid, anak ketiga Azizah yang sering membantu menguruskan semua kucing berkenaan.

Dalam pada itu, dia gembira kerana semakin banyak cerita berkenaan kucing disiarkan dalam media massa dan elektronik, lebih-lebih lagi mangsa penderaan.

“Ini membuktikan masyarakat semakin prihatin terhadap haiwan itu yang sememangnya sentiasa mendapat tempat istimewa di hati orang ramai khususnya pencinta kucing.

“Saya nasihatkan golongan ini (pencinta kucing) walaupun sibuk dengan hobi itu, janganlah mengabaikan perkara yang boleh membuatkan jiran berasa tidak selesa dengan haiwan berkenaan,” katanya.

Katanya, perkara utama ialah memastikan najis kucing diuruskan dengan baik dan ia tidak berkeliaran secara bebas di kawasan perumahan hingga boleh mengganggu ketenteraman jiran tetangga.

Sementara itu Presiden KKM Khalid Rashid mencadangkan kerajaan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha membela haiwan berkenaan.

“Sebagai contoh, mengadakan perbincangan dengan NGO bagi mencari mekanisme mengurangkan kucing jalanan yang semakin tidak terkawal.

“Kita ada banyak idea kepada usaha itu dan berharap impian KKM untuk membuka taman kucing seperti negara luar dapat dilaksanakan kelak,” katanya.


KHALID bersama Azizah memeriksa kucing.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Mac 2018 @ 9:54 AM