Fazurawati Che Lah

Zaman sudah berubah. Cabaran dalam kerjaya pensyarah juga berbeza antara dahulu dan sekarang termasuk cara layanan pensyarah terhadap mahasiswa di bilik kuliah.

Suasana dalam bilik kuliah juga menuntut perubahan fizikal yang memenuhi aspirasi generasi hari ini. Generasi muda hari ini mementingkan audio dan visual dalam pembelajaran yang memberi implikasi terhadap kaedah dan pendekatan dalam pedagogi pensyarah.

Mungkin fenomena ini memberikan perasaan kurang selesa buat pensyarah terdahulu. Namun, hakikatnya itulah realiti dalam senario pembelajaran kini.

Tidak dapat tidak, pensyarah dahulu yang berada pada zaman ini, perlu juga mengikuti perkembangan zaman.

Tidak boleh menolak meskipun kurang selesa dengan pelbagai aplikasi perisian dan peralatan teknologi yang canggih dan kelihatan seperti sukar dipelajari.

Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr Ghazali Din berkata, meskipun perkembangan pendekatan pengajaran semakin interaktif, ia bukanlah bermakna kaedah konvensional atau konsep syarahan tidak lagi perlu.

“Kaedah konvensional mungkin boleh diberikan nafas segar dengan memasukkan elemen kreatif terutama dalam aspek pembelajaran berpusatkan pelajar yang menggalakkan mahasiswa berfikir dan kreatif.

“Pensyarah boleh menjadi pemudah cara dan membimbing agar persembahan serta aktiviti mahasiswa tidak tersasar daripada rangka instruksional yang ditetapkan,” katanya.

PROSES pembelajaran menarik akan membuatkan pelajar mudah faham.
PROSES pembelajaran menarik akan membuatkan pelajar mudah faham.

Katanya, pembawaan pensyarah hari ini dan zaman dahulu pastinya jauh berbeza kerana zaman sudah berubah.

Katanya, bagi pensyarah muda yang lahir dalam zaman serba-serbi berasaskan teknologi dan maklumat di hujung jari, ia bukan masalah kerana ini memang zaman mereka. Bagi pensyarah muda dari golongan Generasi Y, tentulah penguasaan teknologi mereka lebih baik.

“Mereka mampu mempelbagaikan aplikasi perisian untuk digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran berjalan tanpa sebarang masalah. Ia juga berupaya mencorakkan gaya pengajaran secara kreatif dan inovatif. Hal ini penting kerana aplikasi teknologi boleh merangsang pembelajaran mahasiswa di universiti.

“Dalam persembahan tugasan umpamanya, mungkin dahulu menggunakan projektor dan filem, namun kini pelbagai perisian dicipta yang menimbulkan keunikan dalam persembahan ketika pembentangan atau pengajaran. Mahasiswa sekarang akrab dengan pelbagai teknologi atau perisian.

“Bagaimanapun, kaedah didik hibur yang pernah diterapkan sebelum ini oleh pensyarah dahulu masih relevan, tetapi boleh disesuaikan dengan penggunaan teknologi yang lebih menyeronokkan,” katanya.

Katanya, sama ada pensyarah dahulu mahupun sekarang, ia sangat bergantung sejauh mana kreativiti dan komitmen mereka.

“Ada pensyarah yang tidak hebat dalam penguasaan teknologi canggih dan terkini, tetapi mungkin hebat dari segi pemikiran dan idea menarik yang boleh menyumbang kepada masyarakat umum.

“Itu juga satu kelebihan pensyarah dahulu yang tahap keilmuan dan pembacaannya mendapat pengiktirafan tinggi,” katanya.

HUBUNGAN antara penuntut dengan pensyarah juga harus baik.
HUBUNGAN antara penuntut dengan pensyarah juga harus baik.

Katanya, ia terbukti melalui langkah kerajaan mewujudkan Anugerah Tokoh Akademik Negara saban tahun sebagai pengiktirafan kepada pensyarah dahulu atau sekarang yang menjayakan inovatif dalam pengajaran.

Namun katanya, harus difikirkan pensyarah dahulu atau sekarang masing-masing memiliki kelebihan, kekuatan dan keistimewaan sebagai insan pencurah ilmu pada zaman masing-masing.

“Kita tidak boleh mengesampingkan gaya pensyarah dahulu dalam keterujaan terhadap gaya pensyarah sekarang yang segalanya pantas dan mengagumkan mata memandang.

“Apa yang penting, mahasiswa dapat menghayati suasana pembelajaran dengan penuh kasih sayang, seronok dan kondusif kemudahan pembelajarannya,” katanya.

Sementara itu, Penolong Naib Canselor (Perancangan Strategik dan Perhubungan Korporat) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Prof Madya Dr Afandi Ahmad, berkata mengambil kira perkembangan industri, pensyarah hari ini tidak boleh duduk dalam kepompong universiti semata-mata.

Beliau berkata, menyokong gaya pembelajaran terkini pelajar merangkumi heutagogy, paragogy dan cybergogy menyebabkan pensyarah hari ini juga perlu memecut seiring dengan perkembangan.

“Jika ada pensyarah yang barangkali masih dengan kaedah penyampaian konvensional satu hala, berdiri di rostrum dengan tangan sebelah di dalam poket, melontar suara menerusi sistem audio di dewan kuliah dan sekali-sekala menconteng papan putih dengan teori dan formula, kita bimbang proses pemindahan ilmu tidak berlaku.

“Penggunaan buku elektronik banyak mengambil tempat hingga peranan perpustakaan dalam menyediakan perkhidmatan peminjaman buku fizikal perlu diperhalusi. Tidak cukup dengan itu, penggunaan pembelajaran menerusi pelbagai video juga semakin mendapat tempat.

“Lantaran itu, pensyarah hari ini perlu bergerak seiring menerusi kursus terbuka besar-besaran secara dalam talian (massive open online courses, MOOC) ke arah membolehkan proses pembelajaran dan pengajaran berlaku tanpa sempadan,” katanya.

KECEMERLANGAN mahasiswa banyak dibantu pensyarah
KECEMERLANGAN mahasiswa banyak dibantu pensyarah

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Mac 2018 @ 1:05 AM
Digital NSTP Subscribe