ANTARA lukisan yang dihasilkan Amira Daniea.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my

Di sebalik kekurangan diri pasti ada kelebihan menjadikan seseorang itu istimewa berbanding yang lain.

Apatah lagi jika dilahirkan sebagai seorang yang mengalami gangguan spektrum autisme (ASD) tapi memiliki bakat melukis melebihi kebolehan rakan seusianya yang normal.

Kunjungan penulis ke rumah remaja ini di Setiawangsa, Kuala Lumpur disambut dengan pelbagai lukisan.

Terbukti sentuhan ‘magis’ Amira Daniea Saiful Amri, 13, menjadikan lukisan itu begitu sempurna, menarik dan boleh memukau sesiapa saja yang melihatnya.

Amira Daniea dilahirkan di Dublin, Ireland dikesan mengalami ASD pada usia dua tahun tiga bulan. Dia kemudian menerima terapi awal intervensi di negara terbabit sebaik disahkan mengalami ASD.


AMIRA Daniea ketika berusia empat tahun.

Murid Sekolah Kebangsaan Setapak itu juga ahli Koir Persatuan Autisme Kebangsaan Malaysia (NASOM), Maestro dan kerap menerima undangan membuat persembahan.

Kebolehan yang ditonjolkan Amira Daniea hasil kesungguhan ibunya, Dr Azlina Masdar, 44, yang tidak pernah jemu berusaha mencungkil bakat anak bongsunya dalam bidang seni lukis.

Dr Azlina berkata, beliau menggunakan pelbagai pendekatan untuk mengenal pasti ‘kekuatan’ anaknya termasuk menghantarnya ke kelas piano sebelum ini tapi Amira Daniea lebih cenderung kepada melukis.

“Anak saya mula menunjukkan bakat itu pada usia empat tahun dan gemar melukis karakter kartun Hello Kitty dan Little Miss Sunshine.

“Pada masa itu, dia (anak) dengan papan magnet yang digunakan untuk melukis seperti ‘rakan karib’ kerana sentiasa dibawa bersama-sama ke mana saja.

“Kebanyakan lukisan yang dihasilkan Amira Daniea mempunyai tarikan tersendiri walaupun baru berusia empat tahun,” katanya kepada Nuansa.


AMIRA Daniea menunjukkan bakat melukis pada usia empat tahun.

Katanya, pada usia Amira Daniea 10 tahun beliau menghantar anak mengikuti kelas lukisan bagi mempelajari teknik di samping meningkatkan kemahiran melukis.

“Bermula dengan melukis menggunakan cat air dan sejak dua tahun lalu Amira Daniea melukis menggunakan cat akrilik atas kanvas.

“Penggunaan medium ini (cat akrilik atas kanvas) menjadikan bakat dan kreativitinya lebih menyerlah,” Dr Azlina.

Beliau yang bertugas sebagai Pakar Anestesiologi dan Pensyarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz berkata, Amira Daniea mengikuti kelas lukisan selama dua jam setiap Sabtu yang diajar seorang guru peribadi.

Katanya, sebelum ini anaknya begitu gemar melukis apa saja perkara berkaitan Jepun seperti makanan, pemandangan dan watak anime popular dari negara matahari terbit itu.


AMIRA Daniea berada di dalam bilik melukisnya yang penuh dengan tampalan lukisan.

“Kini saya ‘alihkan’ minatnya kepada menghasilkan pelbagai lukisan bunga bagi mengelak dia berasa bosan selain menjadikan kemahirannya lebih pelbagai.

“Lebih 50 karya lukisan sudah dihasilkan Amira Daniea dan dalam rumah ini dihiasi dengan pelbagai hasil seninya,” katanya.

Dr Azlina berkata, minat anaknya terhadap lukisan begitu mendalam hinggakan Amira Daniea boleh melukis dalam tempoh lama.

“Saya lihat aktiviti melukis ini umpama terapi kepadanya kerana setiap kali dia membuat kerja sekolah pasti akan menghasilkan banyak lukisan.

“Kertas putih bersaiz A4 dan pensel warna sentiasa ada di sebelahnya ketika menyiapkan tugasan itu.

“Amira Daniea seorang yang tekun dan pasti akan menyiapkan lukisan termasuk mewarna sebelum membuat perkara lain,” katanya.


AMIRA Daniea gembira dapat menampal lukisannya.

Menurutnya, ba­nyak hasil seni anaknya dipamerkan dan terjual dalam beberapa pameran lukisan.

Agak membanggakan beliau sebagai ibu apabila satu daripada lukisan Amira Daniea terpilih untuk dihadiahkan kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu persidangan antarabangsa di ibu negara dua tahun lalu.

“Sekarang saya melakukan transformasi menerusi lukisannya yang dijadikan selendang untuk dijual sama ada dalam pameran atau dalam talian.

“Saya juga turut menerima cadangan lukisan berkenaan dijadikan sarung kusyen supaya lebih komersial untuk dipasarkan,” katanya.

Katanya, beliau gembira kerana bakat anaknya dapat dikembangkan dan berharap bidang itu akan menjadi kerjayanya pada masa hadapan.


AMIRA Daniea menyiapkan lukisan di kelas melukis yang diajar guru peribadi.

Dr Azlina yang turut aktif dengan NASOM sering memberikan galakan kepada ibu bapa lain yang mempunyai anak autisme supaya mencungkil apa saja bakat dimiliki anak mereka untuk diketengahkan.

“Anak ini (autisme) perlu diberi peluang yang sama seperti anak biasa dan tidak seharusnya berasa malu dengan kekurangan mereka.

“Dedahkan mereka kepada masyarakat umum dan beri peluang bergaul dengan rakan sebaya yang bukan autisme,” katanya.

Berkongsi sedikit pengalamannya dikurniakan anak autisme, Dr Azlina berkata, beliau seperti ibu bapa lain yang pernah berasa sedih pada peringkat awal apabila mengetahui anaknya mengalami gangguan berkenaan.


DR Azlina menunjukkan lukisan Amira Daniea yang dijadikan corak selendang.

“Tapi saya cepat bangkit untuk melupakan kesedihan itu dan terus mencari kekuatan Amira Daniea.

“Saya tidak menafikan membesarkan anak autisme sememangnya mencabar dan memerlukan kesabaran tinggi kerana karakter mereka berbeza dengan kanak-kanak lain.

“Bagaimanapun, memiliki anak syurga ini adalah hikmah terbesar dalam hidup saya kerana memberikan banyak perkara positif bukan saja terhadap diri saya sendiri tetapi juga keluarga,” katanya.

Dr Azlina sebelum ini menetap di Dublin selama tujuh tahun, yang pada awalnya mengikut suaminya, Dr Saiful Amri Mazlan, 44, menyambung pengajian peringkat doktor falsafah (PhD). Seterusnya beliau sendiri menyambung pengajian dalam bidang kepakaran anestesiologi dan rawatan intensif.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 April 2018 @ 1:39 PM