PELAJAR kusyuk mendengar taklimat.
HM Digital

Seramai 80 pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Kudin, Raub, Pahang mengikuti Program Jati Diri Say Something Nice.

Ia anjuran gabungan penuntut Sarjana Muda Komunikasi, Pengurusan Awam Universiti dan Pentadbiran Perniagaan sesi 2017/2018 Universiti Utara Malaysia, Kuala Lumpur.

Program yang bertujuan meningkatkan jati diri pelajar sebagai rakyat Malaysia seiring dengan pembangunan teknologi dan ketamadunan negara itu diadakan sehari.

Ketua Penyelaras, Mohd Shahrizan Amiludin berkata, program itu memfokuskan kepada amalan menghormati, menghargai nilai budaya dan adat resam setiap kaum yang ada di Malaysia demi menjaga kesejahteraan serta keharmonian.

Katanya, pembangunan jati diri melalui silang budaya perlu dimulakan sejak awal perkembangan pelajar dan menjadi amalan yang perlu diwarisi turun-temurun.

“Konsep penerimaan adat resam dan budaya masyarakat lain yang diamalkan mampu mengekalkan keharmonian sekali gus membina daya saing lebih sihat antara individu daripada pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.

Program turut dipenuhi sesi ceramah motivasi dan tiga modul yang meliputi budaya dan adat resam, kenegaraan dan moral serta sivik.

Mohd Shahrizan berkata, program yang memberikan tumpuan kepada elemen perpaduan dan silang budaya itu turut menekankan amalan prinsip Rukun Negara yang ke lima iaitu kesopanan dan kesusilaan terutamanya dari aspek komunikasi.

Pengetua SMK Tengku Kudin, Lukman Yatimi Ahmad berterima kasih kepada Gabungan pelajar UUMKL kerana memilih sekolah itu dalam penganjuran program.

“Kekuatan spiritual dan mental dalam menghadapi elemen luar yang datang bertalu-talu secara drastik perlu wujud dalam diri setiap pelajar,” katanya dalam ucapan perasmian penutup program.

Beliau berharap program yang dianjurkan itu sedikit sebanyak membuka minda peserta terdiri daripada pelajar untuk membina ketahanan diri dari terpengaruh dengan elemen negatif.

Kumpulan Gabungan Pelajar UUMKL itu turut menaja 25 pelajar sekolah itu untuk menghadiri sesi motivasi bersama Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor yang diadakan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Raub.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 April 2018 @ 2:04 PM