PROSES mengundi tanggungjawab selepas berumur 21 tahun.
SL1M antara keprihatinan kerajaan kepada mahasiswa.
UNDIAN menentukan masa depan negara.
MAHASISWA penentu pemimpin pada masa akan datang.
Fazurawati Che Lah


Sering kali dikaitkan mahasiswa sebagai pemimpin masa depan yang bakal bakal menjadi pelapis untuk memimpin negara suatu hari nanti.

Pemimpin hari ini tiada pilihan melainkan bergantung harap kepada generasi mahasiswa semasa untuk mencorakkan wajah masa depan negara dan generasi mendatang.

Hari ini, kehidupan masyarakat berdepan pelbagai cabaran dan permasalahan sama ada politik, ekonomi mahupun sosial.

Apabila berbicara berkenaan pilihan raya, golongan mahasiswa semestinya tidak disisihkan.

Hak dan tanggungjawab mengundi apabila genap usia 21 tahun, semestinya mahasiswa tidak terkecuali.

Pastinya mahasiswa yang kebanyakannya pengundi kali pertama berdepan pengalaman berbeza.

Bagaimanapun, kesedaran dalam kalangan mahasiswa keluar mengundi atau mendaftarkan sebagai pemilih dikatakan masih rendah di negara ini.

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN) Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, berdasarkan sumber Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 3.6 juta orang muda berusia 21 tahun ke atas termasuk mahasiswa belum mendaftar sebagai pemilih.

Katanya, jumlah berkenaan mewakili 20 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi yang berdaftar.

“Selain tidak mendaftar sebagai pemilih, ramai daripada mahasiswa memilih untuk tidak turun mengundi pada hari pilihan raya umum walaupun sudah mendaftar.

“Perkara ini berlaku kerana kesedaran berpolitik agak rendah dalam kalangan mahasiswa. Rata-rata tidak menunjukkan kesedaran yang tinggi untuk mengikuti pencerahan dan perbincangan politik yang dianjurkan pihak universiti atau parti politik melainkan jika kehadiran mereka diwajibkan,” katanya.

Jelas Dr Kamarul Zaman, banyak punca yang menyebabkan keadaan ini berlaku antaranya ramai mahasiswa, mahupun parti politik tidak sedar pindaan sudah dibuat terhadap Akta Universiti Dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) pada 2012 yang kini, mengikut Seksyen 15(1), membolehkan seseorang penuntut universiti menjadi ahli mana-mana parti politik.

“Selalunya mereka yang menjadi ahli mana-mana parti politik akan lebih proaktif dalam menunaikan hak mereka untuk mengundi berbanding mereka yang tidak menjadi ahli.

“Sehubungan itu, parti politik juga didapati tidak begitu agresif di dalam mendekati mahasiswa,” katanya.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh, baru-baru ini dipetik sebagai berkata, penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) bebas menyertai kempen politik di luar kampus menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). Mahasiswa diberi kelonggaran berpolitik jika mereka berminat.

Dr Kamarul Zaman berkata, berikutan Seksyen 15(2) AUKU iaitu menjadi satu kesalahan kepada penuntut untuk terbabit dalam aktiviti parti politik di dalam kampus, keadaan itu menyebabkan aktiviti parti politik sukar dijalankan di kampus akibatnya golongan penuntut sukar didekati.

Katanya, jadual pembelajaran yang terlalu padat juga menyebabkan ramai mahasiswa tidak mempunyai masa untuk mengambil tahu perkembangan politik semasa.

“Masalah ini sekali gus menyebabkan tiada kesedaran berpolitik yang tinggi melainkan jika mereka mengambil jurusan sains politik, undang-undang atau pengajian agama,” katanya.

Berikutan ramai mahasiswa mendaftar sebagai pemilih di kampung halaman menyebabkan mereka tidak mempunyai insentif yang cukup untuk balik mengundi kerana ia membabitkan masa dan belanja yang agak tinggi.

Sehubungan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), parti politik, agensi kerajaan dan pihak universiti sendiri seharusnya mengambil peranan untuk meningkatkan kesedaran berpolitik dalam kalangan mahasiswa dengan menguar-uarkan mereka kini boleh menjadi ahli mana-mana parti politik.

“Mereka perlu mendaftar sebagai pemilih dan seharusnya menggunakan hak untuk mengundi. Ini kerana undi mereka boleh menentukan parti mana yang layak untuk membentuk kerajaan.

“Insentif dan kemudahan juga perlulah diberikan kepada mahasiswa untuk balik mengundi di kampung halaman masing-masing dengan memberikan cuti atau penyediaan kenderaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 April 2018 @ 2:18 PM