ANAK kambing yang comel mampu menarik perhatian pengunjung.
Hafiz Ithnin

Lazimnya aktiviti perladangan dilihat sebagai sumber ekonomi yang diraih menerusi jualan langsung hasil tanaman atau ternakan kepada pasaran secara makro selain menjadi salah satu industri yang penting di negara ini.

Bagaimanapun, dalam tempoh sekitar lima tahun kebelakangan ini, sektor itu sudah berkembang kepada subsektor yang mampu untuk meraih pendapatan lain menerusi aktiviti pelancongan atau lebih dikenali sebagai pelancongan agro.

Pelancongan agro adalah aktiviti melancong ke kawasan pertanian atau penternakan yang memberi peluang kepada pelancong untuk turut serta dalam aktiviti yang dilakukan pengusaha.


KANAK-KANAK dapat mempelajari pelbagai jenis haiwan ternakan.

Memandangkan sektor agro begitu luas aktivitinya memberi peluang kepada pelancong untuk melakukan pelbagai kegiatan bersama pengusaha.

Ini kerana di Malaysia terdapat aktiviti agro seperti penternakan, penanaman buah-buahan, penghasilan tenusu dan pertanian pelbagai tumbuh-tumbuhan yang boleh dijadikan produk makanan.


PELBAGAI jenis kambing terdapat di taman pelancongan agro.

Sudah tentu aktiviti bersama pengusaha memberi kepuasan dan pengalaman berbeza kepada pelancong kerana dapat mempelajari dan melihat sendiri bagaimana proses penghasilan sesuatu produk makanan atau minuman yang melalui pelbagai peringkat sebelum dijual ke pasaran umum.


PERCUTIAN agro sesuai untuk keluarga.

Misalnya, jika melawat ke kawasan ladang ternakan lembu atau kambing, orang ramai diberi pendedahan berkenaan cara menternak haiwan itu dan melihat sendiri proses penyembelihan serta memerah susu.

Ada juga pengusaha yang memberi peluang kepada orang ramai untuk melakukan sendiri proses memerah susu kambing atau lembu bagi merancakkan lagi aktiviti lawatan mereka ke ladang berkenaan.


UNTA antara yang terdapat di taman pelancongan.

Di ladang buah-buahan pula, pelancong boleh melihat proses penanaman pokok dan memetik buah atau ke kilang.

Tidak ketinggalan dalam aktiviti penanaman padi misalnya, ada juga pengusaha yang memberi peluang kepada pelancong untuk membajak tanah dan menuai padi.


PELBAGAI jentera pertanian dapat dipelajari dan dilihat.

Bayangkan, ketika menuai padi pelancong akan berada di kawasan bendang yang sememangnya terdapat pelbagai aktiviti sampingan lain seperti menangkap ikan yang menghuni di kawasan tali air sekitarnya. Sudah tentu aktiviti ini sangat menyeronokkan.


RUMAH lebah madu dapat dilihat pengunjung.

Bagi warga bandar khasnya kanak-kanak, mereka dapat melihat sendiri bagaimana beras dihasilkan. Pada masa sama, pembelajaran juga dapat diterapkan.

Sebenarnya, terdapat juga pengusaha di pelancongan agro yang menyediakan kemudahan sampingan lain kepada pengunjung seperti inap desa. Ia bagi memberi peluang kepada pengunjung merasai sendiri pengalaman menjadi petani dalam tempoh beberapa hari.


TAMAN pelbagai jenis herba terdapat di taman pelancongan agro.

Sesuai dengan konsep inap desa iaitu pengunjung tinggal bersama pemilik kediaman berkenaan, pelancong berpeluang menimba pengalaman mengikuti pelbagai aktiviti pertanian atau perladangan. Lebih menarik jika kanak-kanak dapat ikut serta dalam aktiviti agro.

Terdapat juga pusat pelancongan agro tempatan yang menyediakan perkhidmatan lawatan kepada pelajar sekolah ke ladang ternakan dan dusun buah-buahan.


KEMUDAHAN tempat menginap memudahkan pelancong untuk berada di taman pelancongan agro.

Ia sering mendapat sambutan ketika cuti sekolah kerana aktiviti pelancongan agro sememangnya mempunyai kesan positif untuk pendidikan luar kelas yang berlangsung secara tidak formal.

Bagi mereka yang gemar merakam gambar, pusat pelancongan agro juga boleh dijadikan sebagai destinasi mengabadikan pelbagai sudut gambar yang menarik terutama bertemakan alam semula jadi.

Di beberapa pusat pelancongan agro di Malaysia juga menawarkan keindahan ladang bagaikan berada di negara empat musim. Ini kerana elemen kehijauan, binatang ternakan dan petani sememangnya menjadi latar unik sebaik gambar dirakam.


DAGING haiwan ternakan yang segar dimasak untuk santapan pengunjung ke kawasan pelancongan agro.

Pusat pelancongan agro popular di Malaysia:

1. MAEPS Agro Tourism Park, Serdang, Selangor.

2. Taman Botani Negara Shah Alam, (TBNSA)

3. Ladang Nipah Kipli, Kuala Sangklang Perlis

4. Taman Agro Teknologi MARDI Langkawi, Kedah

5. Chalet Terapung PPK Merbok, Kedah

6. Pusat Memproses Madu Lebah FAMA, Kuala Nerang, Kedah

7. Ladang Mempelam MOA Inc., Tobiar, Pendang, Kedah

8. Taman Agro Teknologi MARDI Cameron Highlands, Pahang

9. Pusat Penerangan dan Santuari Penyu Cherating, Pahang

10. Peladang Setiu Agrotourism & Resort, Terengganu

11. Taman Pertanian Sabah, Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mei 2018 @ 12:15 PM