ORANG ramai tidak melepaskan peluang untuk memancing bersama keluarga.
Hafiz Ithnin

Taman Tema Sunway Lagoon sememangnya terkenal dengan aktiviti permainan tunggangan dan hiburan berkonsepkan kekeluargaan di negara ini.

Di dalam taman tema itu, bukan sahaja terdapat pembangunan pelbagai konsep permainan air dan tunggangan, malah terdapat juga zoo butik yang menempatkan pelbagai spesies haiwan.

Pada masa sama, antara tarikan lain dalam taman tema itu adalah tasik buatan yang mempunyai pelbagai jenis hidupan air yang menghuninya lebih 26 tahun.

Memandangkan hidupan air di dalamnya terutama ikan membiak dengan baik serta mempunyai populasi begitu besar, Sunway Lagoon mengambil inisiatif memindahkan ikan berkenaan ke lokasi baru iaitu tasik buatan di taman komuniti Sunway South Quay pada 4 Ogos lalu.

Program itu dikenali sebagai Sunway Lagoon Fishing Frenzy mengajak orang ramai turut serta dalam aktiviti memancing bagi menangkap ikan di dalam tasik berkenaan. Seramai 80 pemancing menyertainya dan lebih 120 ikan dapat dipindahkan.

Pengurus Besarnya, Sean Choo berkata, di dalam tasik berkenaan terdapat pelbagai spesies ikan seperti kelah merah, kelah hijau, lampan, rohi emas, talapia, jalawat dan sebarau.

Beliau berkata, peserta dibenarkan menangkap lima ikan sahaja, dua ekor diserahkan kepada pihak Sunway Lagoon untuk dipindahkan ke taman komuniti berkenaan.

“Tiga lagi ikan boleh dibawa pulang dan bagi menghargai sumbangan peserta, kami memberikan satu tiket ke taman tema untuk dua ekor ikan yang diserahkan.

“Aktiviti ini juga sebahagian daripada aktiviti menggalakkan orang ramai datang bersama keluarga untuk memancing dan mempromosikan kepentingan melestarikan hidupan air,” katanya.

Aktiviti memancing itu juga adalah inisiatif dilaksanakan Sunway Lagoon yang terbabit dalam aktiviti Sasaran Kelestarian (SDG) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerusi inisiatif ke hidupan bawah air.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Ogos 2018 @ 8:00 AM