PAK Aris menerangkan proses membakar arang lukisan secara tradisional.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Tatkala tiba di Kampung Sungai Mulia, Gombak pandangan lebih tertarik melihat tin biskut yang dibakar dengan kayu. Permukaan tin itu sudah berubah wajah menjadi kehitaman dan dipenuhi jelaga akibat pembakaran yang kerap.

Tanpa berlengah, penulis terus bertanya kepada lelaki yang lebih mesra disapa Pak Aris mengenai tin berkenaan dan beliau menerangkan ia proses membakar arang lukisan secara tradisional.

Jawapan diberikan Aris Aziz, 68, itu sudah membuatkan penulis teruja untuk mengetahui lebih lanjut proses membuat salah satu bahan medium seni visual berkenaan yang tidak diketahui ramai.

Kesempatan melihat proses pembuatan bahan itu adalah satu peluang keemasan yang tidak boleh dilepaskan, lebih-lebih lagi ia terhasil menerusi kajian dilakukan Aris yang turut digelar Raja Potret Malaysia.

Gelaran itu diberikan bukan saja kerana pengalamannya lebih 45 tahun dalam bidang seni tetapi kepakaran Aris melukis gambar potret dan sentuhan ‘magis’ tangannya boleh menyiapkan lukisan dalam tempoh singkat.


ARIS digelar Raja Potret Malaysia dan berpengalaman lebih 45 tahun dalam melukis.

Siapa sangka tumbuhan liar iaitu pokok kalis angin yang dianggap tidak berguna boleh dijadikan arang lukisan berkualiti tinggi.

Lebih membanggakan produk yang dihasilkan empat tahun lalu sudah menembusi pasaran antarabangsa dan digunakan pelukis di Australia serta Jerman.

Aris berkata, idea menghasilkan arang lukisan tercetus disebabkan bahan itu mendapat permintaan yang tinggi tetapi harganya agak mahal kerana diimport dari China.


ARIS menebang pokok kalis angin untuk dijadikan arang lukisan.

Beliau berkata, pokok itu dipilih untuk dijadikan arang lukisan kerana tergolong dalam jenis kayu yang lembut. Begitu juga ranting rambutan, getah dan bunga raya turut sesuai dijadikan bahan medium berkenaan.

“Kayu ini (pokok kalis angin) saya peroleh dari kawasan hutan berhampiran rumah saya dan memudahkan untuk mendapatkannya.

“Proses membuat arang lukisan ini tidak terlalu rumit tetapi menuntut kesabaran ketika membakar kayu kerana perlu sentiasa memantau api supaya tidak terlalu besar,” katanya.


MENGOPEK kulit dan membelah pokok kalis angin.

Katanya, proses membuat arang lukisan bermula dengan menebang pokok, memotong kepada ukuran kira-kira 25.4 sentimeter dan membuang kulitnya.

“Kemudian, kayu dimasukkan ke dalam tin biskut dan ditutup rapat dengan penutup yang dibuat satu lubang supaya gas kayu ini dapat dikeluarkan ketika pembakaran.

“Bakar kayu ini selama dua jam sehingga kayu bertukar menjadi arang dan sebaik-baiknya membakar guna kayu pokok kalis angin juga untuk kesan yang lebih baik,” katanya.


MEMOTONG pokok kalis angin pada ukuran bersesuaian.

Katanya, sebelum ini beliau mempelajari teknik membuat arang lukisan menerusi Internet tetapi proses itu tidak lengkap.

“Ini mendorong saya mengambil inisiatif membuat penyelidikan sendiri dan alhamdulillah hasilnya begitu memuaskan hati,” katanya yang menjadi pelukis pertama negara menghasilkan arang lukisan.


ARIS menunjukkan batang dan ranting yang sudah dikopek kulit.

Aris berkata, sebenarnya ramai tidak mengetahui negara ini mempunyai banyak sumber yang boleh digunakan untuk membuat arang lukisan berbanding Eropah.

“Kita terlalu mengagungkan produk dari luar dan jenama terkenal sedangkan pada hakikatnya negara ini mempunyai produk jauh lebih baik kualitinya.

“Bidang ini perlu diteroka lebih jauh dan sehingga kini saya masih meneruskan kajian untuk meningkatkan kualiti produk,” katanya.


DIMASUKKAN ke dalam tin.

Berkata lanjut, antara pelukis Malaysia yang pernah menggunakan arang lukisannya termasuk Raja Azhar, Suzlee Ibrahim, Foad Hassan, Shaarim Sahat dan Halim Abang Darshid.

Berkongsi sejarah awal pembabitannya dalam bidang berkenaan, Aris berkata, perjalanan dilaluinya bukan mudah seperti disangka kerana beliau turut tidak terlepas menempuh pelbagai ujian.


KAYU dibakar selama dua jam.

Memulakan kerjaya seawal usia 20 tahun, katanya, ketika itu beliau menggunakan beca arwah bapanya untuk membawa lukisannya ke Jalan Ampang, Kuala Lumpur sebagai pelukis jalanan.

“Setiap hari saya gantung lukisan di pagar tepi Jalan Ampang untuk menarik perhatian pembeli. Keadaan itu berlarutan selama tiga bulan tetapi malangnya tiada seorang pun yang membeli karyanya kerana orang lebih suka melihat,” katanya.


KAYU bertukar menjadi arang.

Katanya, tidak dinafikan pernah berasa kecewa kerana lukisannya tidak terjual tetapi akhirnya doanya dikabulkan Allah SWT apabila ada peminat seni membeli hasil karyanya.

“Ini menyuntik semula semangat saya untuk terus berkarya meskipun pelbagai ujian lain yang datang. Selepas tiga tahun berkarya di Jalan Ampang, saya dihalau dan semua lukisan dirampas oleh pihak berkuasa tempatan.

“Beberapa kali insiden sama terjadi termasuk dihalang untuk berkarya di lokasi baru menyebabkan saya kecewa kerana hilang punca pendapatan untuk menyara keluarga,” katanya dan mengakui itu antara pengalaman tidak boleh dilupakannya.


ARANG yang sudah siap dan boleh digunakan untuk melukis.

Jelasnya, beliau pernah dilabelkan sebagai pelukis pengemis apabila memilih Bukit Bintang sebagai lokasi ‘rasmi’ berkarya bersama 15 seniman lain.

“Saya menolak gelaran itu kerana kami (pelukis) berkarya untuk menjual lukisan dan bukannya meminta wang atau menagih simpati daripada orang lain,” katanya.

Tidak mendapat sebarang pendidikan formal dalam bidang seni halus dan memanfaatkan bakat semula jadinya, Aris menasihati pelukis muda supaya lebih terbuka untuk menuntut ilmu dari pelukis berpengalaman.


ARANG ini turut dijual di luar negara termasuk Australia dan Jerman.

“Ini amat penting untuk membantu mereka meningkatkan kemahiran dan terus bertahan dalam bidang ini. Dalam falsafah melukis, tidak kira menggunakan apa jenis medium kerana yang penting adalah hasilnya. Hasil yang baik datangnya menerusi kreativiti seorang pelukis,” katanya yang akan berkarya sehingga akhir hayat kerana bidang itu sudah sebati dalam dirinya.

Pengalaman Aris sebagai penggiat seni visual dibukukan dalam sebuah memoir bertajuk Aris Aziz - Seni dan Cinta Tak Akan Mati.


ARIS menunjukkan dua lukisan yang menggunakan arang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Ogos 2018 @ 2:38 PM