KANAK-Kanak ceria bersama sukarelawan.
Nurul Husna Mahmud

MENYERTAI Misi Kembara Amal Chenan Perah 2019 anjuran Charity Adventure Team (CAT) baru-baru ini memberi gambaran kesungguhan sekumpulan pendaki yang bertindak sebagai sukarelawan dalam menyantuni komuniti Orang Asli.

Kumpulan sukarelawan seramai 10 orang itu memulakan perjalanan dengan menaiki tiga pacuan empat roda seawal jam 12 malam dari Musolla Tawfiq Sungai Penchala Kuala Lumpur, kemudian berhenti seketika untuk menunaikan solat Subuh di Masjid Tanah Rata Cameron Highlands sebelum masuk ke pedalaman.

Mengenai Chenan Cerah, kampung orang asli berkenaan tiada jalan boleh dilalui kenderaan, sebaliknya merentasi trek hutan belukar dan sungai dari kampung Orang Asli Lemoi.

Sukarelawan turut dibantu penduduk kampung Lemoi yang sanggup menjadi ‘porter’ barang keperluan untuk aktiviti bersama penduduk Chenan Cerah.

Menurut Ketua Misi Ahmad Fairuz Ramli, pihaknya memilih menganjurkan program Kembara Amal Chenan Cerah di kampung Orang Asli Chenan Cerah kerana kedudukan kampung berkenaan terletak jauh di pedalaman dan tidak boleh sampai dengan kenderaan biasa.

‘PORTER’ Orang Asli Lemoi setia menemani sukarelawan.

“Objektif penganjuran program ini mudah iaitu selain mengumpul individu yang berminat beriadah, aktiviti ini turut menerapkan nilai murni apabila mengajak kumpulan individu sukakan aktiviti luar turut sama beramal dan mengenali kehidupan Orang Asli di pendalaman.

“Apatah lagi perkampungan Orang Asli Chenan Cerah jauh ke dalam dan perlu menempuh perjalanan dengan berjalan kaki lebih kurang tiga jam sebelum sampai. Kesimpulannya ia satu pengalaman yang mengujakan buat mereka sukakan cabaran.

“Bukan trek biasa, sukarelawan terpaksa menempuh laluan mendaki, hutan buluh serta merentasi beberapa sungai sebelum sampai ke kampung terbabit. Apabila sampai, pemandangan kampung termasuk air terjun berhampiran kampung Chenan Cerah sesuatu yang berbaloi untuk sukarelawan jelajahi.

“Oleh kerana kedudukannya ceruk di dalam hutan, itu juga antara sebab kampung terbabit jarang dikunjungi orang luar disebabkan trek mencabar dan jauh ke dalam bagi individu biasa. Jadi sukarelawan berhati kental saja sanggup mengusung beban tidak kurang 10 kilogram (kg) untuk sampai ke kampung ini.

AGIHAN barang kepada keluarga Orang Asli.

“Saya sendiri terpanggil untuk mengetuai program ini berasakan penting dalam menyokong sukarelawan menyantuni penduduk kampung. Dalam program ini pelbagai bentuk pengisian disediakan terutama kanak-kanak menerusi aktiviti seperti mengenal huruf, mewarna dan juga mengagihkan barangan sumbangan perseorangan berupa pakaian terpakai dan permainan,”katanya.

Selain kampung Chenan Cerah, kampung sebelumnya seperti Lemoi dan Telimau turut menerima manfaat apabila menerima sumbangan iaitu barangan dapur antaranya beras dan gula untuk kelangsungan hidup.

Kata Fairuz lagi, pihaknya turut berkolaborasi dengan Pertubuhan Al Tawfiq selaku penyumbang kepada barangan asas dapur selain ada sumbangan iaitu wang zakat pemberian individu perseorangan bagi keluarga mualaf.

Program berkenaan turut mendapat sokongan Jabatan Orang Asli Cameron Highlands dilihat penting dalam membantu perkembangan sosio dan pendidikan mereka baik kanak-kanak sehinggalah ke peringkat belia.

“Ketika ini CAT masih bergerak dalam komuniti dan berharap kehadiran

lebih ramai golongan terutama belia untuk turun padang membantu kami terus menyantuni masyarakat orang Asli. Jadi kami tiada prejudis dan terus mengalu-alukan penyertaan semua pihak baik mahu menjadi sukarelawan dalam kembara amal kami laksanakan atau menyumbang wang atau bentuk barangan,”katanya.

BESAR beg dikendong sukarelawan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2019 @ 10:44 AM