TRANSFORMASI reka bentuk berdasarkan pertukangan Bohemia. FOTO: Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Aniza Zainudin


ISTINGGAR dikategorikan senjata api ringan, sejenis bedil kecil yang boleh dibawa dan dikendali secara peribadi.

Tidak seperti senjata Melayu popular lain, kerambit, keris, pedang dan lembing, istinggar adalah warisan teknologi Portugis, espingarda iaitu sejenis senjata kuno berlaras panjang serta berhulu pendek.

Teknologi ini dikatakan berasal dari Nuremberg sekitar abad ke-15 namun transformasi reka bentuk berdasarkan pertukangan Bohemia.

Perkembangan senjata api ini disebarkan apabila Portugis meluaskan penjajahannya dan berpangkalan di Goa, India yang membawa peralihan teknologi istinggar ke Asia merangkumi alam Melayu, Korea, China dan Jepun.

Penyelidik Ilmu Persenjataan Melayu, Wan Mohd Dasuki Wan Hasbullah berkata, pembuatan istinggar di alam Melayu bermula di Sri Lanka pada pertengahan kurun ke-16 sebelum ia diimitasi dan adaptasi orang tempatan.


PENYELIDIK Senjata Melayu, Wan Mohd Dasuki.

“Istinggar satu-satunya bedil kuno menerapkan ciri Bohemia ketara terutama butang skru yang terpasang di bahagian dapur bedil betul-betul di hadapan jarum pemicu.

Senjata kuno ini mengguna pakai mekanisme pencucuh sumbu yang terdiri daripada tiga komponen utama seperti burung bedil, lubang penggalak dan tuil.

“Burung bedil dan lubang penggalak dipasang di bahagian kanan laras dengan kedudukan yang mampu dicapai tangan di pangkal istinggar.

“Fungsi burung bedil adalah mendorong hujung sumbu berbara ke permukaan lubang penggalak bagi proses pencucuhan ubat bedil.

“Tuil yang berada di bahagian dalam turut bersambung dengan jarum bedil akan menggerakkan burung bedil.

“Apabila jarum bedil ditarik menggunakan jari telunjuk kanan, tuil akan menolak burung bedil seterusnya menyentuh lubang penggalak,” katanya dalam Wacana Manuskrip Melayu Istinggar Dalam Manuskrip Melayu: Tradisi Ilmu dan Teknologi Minangkabau, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Memiliki laras yang panjang, struktur reka bentuk istinggar juga berhulu bengkok dan menggunakan tali sabut kelapa sebagai sumbu pencucuh.


PELURU istinggar.

Menurut Wan Mohd Dasuki, proses pencucuhan istinggar agak lambat kerana ia menggunakan sumbu. Malah penggunaan sumbu juga agak berisiko terutama dalam situasi cuaca lembap atau tiupan angin yang kuat.

Larasnya pula lebih ringkas tanpa alur berpilin di bahagian dalam. Ubat bedil berbentuk bulat diperbuat daripada plumbum atau timah yang berisikan pecahan tembikar, batuan kecil bahkan beras.

Oleh kerana istinggar dikategorikan jenis senapang paling awal, proses mengisi peluru ke dalam laras sangat memakan masa dan agak rumit berbanding senapang terkemudian.

Mengulas berkenaan penggunaan istinggar dalam kalangan orang Melayu, beliau berkata, istilah istinggar Minangkabau terkenal di negeri Melayu kerana bedil berciri Bohemia ini antara senjata api yang dihasilkan di Minangkabau.

Menurut Marsden (1811), orang Minangkabau memiliki kemahiran dalam penghasilan bahan logam seperti barang kemas dan senjata.


TURUT dihasilkan masyarakat Minangkabau.

Memanfaatkan kepakaran teknologi, masyarakat Minangkabau turut menghasilkan senjata berbentuk tajam, artileri dan satingga (istinggar).

“Istilah istinggar ini tidak banyak digunakan dalam teks hikayat atau sastera sejarah berbeza dengan senjata api ringan lain seperti senapang, bedil dan terakul.

“Sebaliknya ia lebih banyak dibicarakan dan disampaikan dalam sastera lisan. Antaranya Awang Sulong Merah Muda, Hikayat Seri Rama dan Bongsu Pinang Peribut.

“Penggunaan istinggar Minangkabau mempunyai syaratnya, teknik membidik sasaran menerusi pejera (alat pada hujung senapang untuk membidik) dan fokus ke arah sasaran supaya lebih jelas.

“Ini bermaksud penembak perlu fokus pada pejera bukannya muncung laras. Tembakan dilepaskan dengan fokus yang jitu dan keheningan nafas bersama keyakinan bahawa tembakan mengena,” jelasnya.

Syarat ini bermaksud penembak perlu menyedari hal ehwal dirinya yang diterjemah mengikut konsep esoterik tasawuf.

Implikasi daripada penerapan konsep itu, penembak dapat membuat kesimpulan tepat terhadap sasarannya menerusi tiga cabang dasar.

Tiga cabang dasar penggunaan istinggar adalah kerohanian, ilmu ghaib dan pengetahuan empiris.

Bagi pembuatan ubat bedil, ia dihasilkan secara umum dengan komposisi standard merangkumi campuran sendawa (bahan kimia), arang dan belerang sebagai asas adunan.

Meskipun terdapat resipi ubat bedil Belanda, Inggeris, Portugis dan Jepun, kedudukan dan pengaruh teknologi Minangkabau masih menebal dalam kalangan orang Melayu di negeri Melayu pada abad ke-19.

Dijangkakan orang Minangkabau mempunyai ketetapan sendiri dalam penyediaan ubat bedil yang dipercayai diubah suai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 5:30 AM