ROHANA ketika memberi taklimat mengenai peralatan muzik gamelan.
Aniza Zainudin


PEMERHATIAN mendalam dan gemar mengkaji alam sekitar menjadi satu dorongan kepada masyarakat terdahulu dalam menjalani kehidupan yang lebih baik dari satu fasa ke fasa berbeza.

Bermula dengan penghasilan peralatan pertanian mahupun ritual perawatan entiti misteri, generasi terdahulu mengambil inspirasi alam hingga membentuk alat muzik yang diperbuat daripada sumber alam di persekitaran mereka.

Pengarah Muzium Muzik, Rohana Husin berkata, pada zaman prasejarah, alat muzik bukanlah berfungsi semata-mata menghiburkan hati yang lara atau meraikan pesta keramaian, sebaliknya ia satu cara hidup berkait rapat dengan masyarakat dan budaya.

Jelasnya, cara hidup ini merangkumi sistem kepercayaan, hubungan, struktur sosial dan aktiviti ekonomi.

Ini terbukti dengan gaya hidup komuniti Orang Asli di Semenanjung Malaysia apabila menjadikan muzik sebahagian daripada aktiviti masyarakat seperti menuai, meraikan musim buah dan perkahwinan.


BEDUK kayu diukir dan diwarnakan. FOTO Nik Harif Hassan

“Mereka juga menggunakan muzik sebagai kaedah perubatan dan menghalau semangat jahat yang mengganggu anak cucu.

“Masyarakat Orang Asli juga sinonim dengan muzik ritual perubatan dinamakan sewang. Muzik ini membabitkan nyanyian solo dan beramai-ramai diiringi tarian dikaitkan kehadiran roh.

“Alat muzik yang digunakan termasuk centong buluh, pensol (seruling hidup), rebana, kereb, gong dan genggong.

“Jika diperhatikan boleh dikatakan hampir semua alat muzik yang dihasilkan Orang Asli berasaskan buluh, kayu dan kulit ikan buntal.

“Umpamanya rebab yang diperbuat daripada kayu bersama kulit ikan buntal dan tempurung yang dibeli sekitar 1970-an.

“Namun pada masa kini, rebab tradisional seperti ini jarang dihasilkan lagi,” katanya.

Penciptaan awal alat muzik diinspirasikan daripada pemerhatian manusia terhadap alam, seterusnya menggunakan sumber alam seperti buluh, kayu, daun dan kulit binatang untuk menghasilkan bunyian.


KULIT ular sawa dan biawak menjadi keunikan gambus Sabah. FOTO Nik Harif Hassan

Pembuatan sompoton yang juga satu daripada alat muzik popular Sabah daripada sumbiling (buluh) dan labu kering berfungsi seperti organ mulut.

Mulanya Sompoton yang seakan-akan himpunan seruling disusun menegak bersama labu kering ini dimainkan pada acara keagamaan sebelum ia mula tersebar dalam majlis perkahwinan dan keramaian.

Alat muzik pepuling pula menyerupai seruling cuma perbezaannya terletak pada material digunakan selain bentuknya yang unik.

Menurut Rohana, terdapat dua jenis pepuling dipamerkan di Muzium Muzik berkenaan iaitu berbentuk burung dan ikan.

“Pepuling ini diperoleh sekitar 1970-an daripada pemilik di Negeri Sembilan. Dipercayai pepuling yang memiliki memiliki dua lubang ini adalah alat muzik digunakan era prasejarah

“Fungsi pepuling ini seakan-akan seruling dan ia diperbuat daripada tanah liat yang dikeraskan seperti pembuatan tembikar.


REBANA gergasi pernah digunakan ketika majlis perasmian Sukan Konmawel 1998. FOTO Nik Harif Hassan

“Antara alat muzik tradisional unik lain adalah tetuang yang diperbuat daripada tanduk kerbau dan lembu.

“Kebanyakan tetuang ini ditemui di persisiran pantai terutama di Pahang, Kelantan dan Terengganu kerana fungsi utamanya adalah memanggil awak-awak turun ke laut mencari ikan.

“Ia diibaratkan semboyan buat nelayan dan alat ini juga digunakan bagi tujuan kecemasan,” jelasnya.

Mengulas berkenaan Muzium Muzik, Rohana berkata ia ditubuhkan sejak 2015 sebelum berpindah ke Muzium Negara pada 2017.


PEPULING menyerupai fungsi seruling. FOTO Nik Harif Hassan

Memiliki kira-kira 1,100 instrumen muzik tradisional dan moden berasal dari Malaysia dan negara Asia lain, beliau mengakui kebanyakan koleksi sedia ada adalah pembelian awal sekitar 1970-an dan koleksi peribadi individu.

Pameran yang diadakan secara tetap ini berjaya menerima kunjungan seramai 11,300 pengunjung dalam tempoh tiga bulan.

Ini terbukti muzik tempatan mendapat perhatian ramai seiring dengan pengiktirafan dunia yang diterima seperti makyung sebagai satu Karya Agung Warisan Tidak Ketara Kemanusiaan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (UNESCO) pada 2005, di Paris.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Ogos 2019 @ 10:49 AM