PENGURUS Projek TRLC Merisuli Benny Banus Tuzan (kiri) dan Dr Dzaeman menunjukkan bagaimana penanaman kepada Dr Yatela dan pengunjung yang hadir.
Nurul Husna Mahmud

BANYAK spesies pokok hutan tropika di Malaysia menghadapi ancaman kepupusan disebabkan kemusnahan hutan, penerokaan tanah dan perubahan penggunaan tanah.

Merujuk kepada isu ini, Borneo antara yang mempunyai hutan terbesar dalam negara dan tidak terkecuali berdepan dengan isu kepupusan berkenaan.

Terbaru, 191 spesies pokok daripada keluarga dipterokarp dinilai dengan kerjasama Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam dan didapati kian terancam atau pupus.

Menyedari kepincangan dalam menangani permasalahan isu kepupusan spesies pokok berkenaan, Yayasan Sime Darby (YSD) dan Pusat Pemuliharaan dan Penyelidikan Hutan Hujan Tropika (TRCRC) melancarkan galeri pendidikan alam sekitar bagi tujuan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan spesies itu.

Galeri ‘hidup’ yang membabitkan kawasan hutan seluas 224 hektar itu dinamakan Koleksi Hutan Hujan tropika Merisuli itu atau (TRLC) di Lahad Datu, Sabah ini sudah ditubuhkan sejak 2012 lagi .

Menurut Pengarah Eksekutif TRCRC Dr Dzaeman Dzulkifli, menerusi TRCL orang ramai dapat melihat inisiatif pihaknya bersama agensi terbabit dalam melakukan usaha menyelamatkan spesies pokok terancam ini selain usaha memulihkan hutan Malaysia dengan benih pokok berkenaan.


AKTIVITI penanaman dan penyemaian benih dilakukan oleh komuniti tempatan.

“TRLC Merisuli adalah tapak pemuliharaan perdana TRCRC yang bertujuan untuk melindungi spesies pokok terancam Malaysia dengan mengambil tindakan di lapangan bagi menangani kehilangan biodiversiti dan memulihkan hutan hujan.

“Tapak pendidikan semula jadi ini ditubuhkan dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Sabah dan kini mempunyai lebih daripada 15,000 anak pokok dan kebanyakannya spesies pokok terancam.

“Apa yang dilakukan sukarelawan kami ialah memulakan usaha mengumpul, menyemai dan menyebarkan biji benih pokok di hutan yang terdegradasi.

“Kami mendapat sokongan kuat daripada Jabatan Perhutanan Sabah dan Yayasan Sime Darby atas komitmen pemulihan hutan di Sabah dan berharap lebih ramai pihak terutama organisasi korporat dalam menyalurkan dana bagi memulihkan hutan hujan Malaysia.

“Malah kami berharap galeri akan menjadi tumpuan untuk mendidik komuniti, sukarelawan dan pelawat mengenali pokok-pokok hutan hujan dengan harapan semua pihak yang boleh bekerjasama melindungi spesies pokok hutan yang terancam agar dinikmati generasi akan datang,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif YSD, Dr Yatela Zainal Abidin percaya galeri itu akan membantu meningkatkan kesedaran kepentingan pemuliharaan biodiversiti dan alam sekitar.


KERJA mengumpul data dan benih spesies pokok hutan yang terancam.

“YSD percaya dengan membuka pintu Galeri Pendidikan Alam Sekitar TRLC Merisuli kepada orang ramai, lebih banyak pelawat terutama golongan belia akan dapat mengetahui kepentingan memelihara hutan hujan tropika dan sedar peranan aktif diperlukan dalam kerja pemuliharaan.

“Jadi YSD memberi sokongan penuh menerusi pembiayaan dana RM2.9 juta selama tiga tahun kepada usaha TRCRC dalam kerja memelihara spesies pokok terancam, menanam benih di tapak semaian, meningkatkan kapasiti pemuliharaan dan kesedaran pihak berkepentingan.

“Pentingnya kolaborasi ini kerana impak tanggungjawab sosial korporat (CSR) turut membabitkan 16 anggota pasukan projek TRCRC yang berasal dari

pada masyarakat tempatan di Merisuli sendiri.

Kerjasama YSD sebelum ini dengan Jabatan Perhutanan Sabah merangkumi pemulihan semula kawasan seluas 5,400 hektar kawasan utara Ulu Segama-Malua.

Pada masa sama, sokongan YSD di Sabah meliputi kerjasama dengan Nestle dengan projek Rileaf untuk menanam satu juta pokok di rizab sungai di sepanjang sungai Kinabatangan bersama PONGO Alliance ke arah pembangunan landskap kesejahteraan komuniti setempat serta hidupan liar terutama orang utan.

Kolaborasi lain dengan Jabatan Perhutanan Sabah turut dalam melatih dan membiayai Pasukan Perlindungan bagi memerangi pemburuan hutan di rizab hutan Sabah dilihat memberi tumpuan kepada pembinaan kapasiti masyarakat tempatan untuk kesan positif yang lebih lama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 9:51 AM