Nurul Husna Mahmud


BERCERITA mengenai tinggalan kapal karam yang tertanam di dasar laut di Malaysia selama ratusan tahun memberi bayangan penulis pastinya ia penemuan ‘lumayan.’

Dipengaruhi ideologi atau penceritaan dongeng seperti kisah pengembaraan Sinbad atau Pirates of the Carribbean mengenai penemuan peti dengan timbunan emas, tidak hairanlah mengapa ia menjadi buruan sesetengah pihak yang sanggup mengambil risiko dalam pencarian khazanah itu.

Dalam mencari jawapan kepada persoalan itu membawa kepada penemuan Abdul Razak Aziz yang berkongsi pengalaman ketika menyertai misi kumpulan pengkaji dari Jabatan Muzium dan Antikuiti Malaysia menerusi Projek Ekskavasi Tapak Arkeologi Maritim .

Kata Abdul Razak, dia bersama isteri, Intan Zarinah Jailani semakin berminat mendalami sejarah apabila mendapat tawaran daripada muzium yang mahu mencari pihak bertanggungjawab dalam menguruskan koleksi dokumentasi dan hasil kajian bagi pembacaan umum dan pameran.

Memikul tanggungjawab ketika itu sebagai pengarah dokumentasi dan seni bermakna dia perlu menemu bual serta merakam setiap gerak kerja kumpulan berkenaan. Apatah lagi mengenali pengkaji Arkeologi Maritim Sweden Sten Sjostrand yang sanggup berkelana ke Asia Tenggara termasuk Malaysia dalam mencari khazanah kapal karam, membuka perspektif mengenai betapa pentingnya hasil kajian itu kepada sejarah Tanah Melayu.


PENGKAJI membawa keluar barang untuk dicuci dan diproses untuk kerja merekod.

“Saya dan isteri pada awalnya tidak begitu berminat dengan sejarah sehinggalah apabila kami menyertai kumpulan muzium yang terbabit dengan kerja ekskavasi dasar laut membabitkan tinggalan kapal karam.

“Mengenai khazanah laut, cabarannya ialah orang kita tiada kepakaran dan banyaknya pihak luar buat secara persendirian dengan melakukan aktiviti menyelam serta masuk ke kawasan perairan yang ada kapal karam lalu khazanahnya diambil tanpa kebenaran.

“Berbeza rasanya pengalaman saya bersama Sten iaitu pakar arkeologi maritim Sweden yang turut mempunyai latar belakang dalam bidang arkitek perkapalan. Dia berminat terhadap pencarian hasil kapal karam bagi menjejaki kisah atau sejarah barang terutama seramik China yang dulunya mempunyai jaringan meluas ke Barat.

“Sten bercerita mengenai perkembangan seramik China ketika zaman era ‘Ming Ban’ apabila perdagangan seramik pernah terhenti ketika peralihan Empayar China satu ketika dulu. Sten membuat kajian sehingga ke Thailand, Vietnam dan Singapura untuk mencari kapal karam khusus dari abad ke-17 yang membawa seramik dan ia terjawab menerusi projek ekskavasi kapal Wanli.


ILLUSTRASI kapal berdasarkan tinggalan atau kerangka kapal ditemui.

“Berdasarkan reka bentuk seni bina kapal dan juga jenis kayu yang digunakan untuk membina Kapal Wanli itu, ia dipercayai kapal Eropah yang kemungkinannya adalah kepunyaan pedagang Portugis. Daripada kaji selidik yang rapi, seramik dari China yang ditemui dari tapak ini mempunyai reka corak hiasan yang khusus untuk cita rasa orang Eropah. Ini mengukuhkan lagi bahawa kapal karam ini adalah dari era pemerintahan Maharaja Wanli (1573-1620),” katanya.

Bagi Abdul Razak, kerja mengekskavasi itu sendiri penting kerana ia mendedahkan mengenai punca dan kejadian sebelum ia karam.

“Daripada kajian kapal karam menerusi struktur kapal dan barang ditemui di tapak ekskavasi, termasuk keadaan serpihan di dasar laut itu, Sten serta ahli arkeologi tempatan dapat merumuskan siapa dan apa yang berlaku pada mereka.

“Kapal karam di perairan kita selalunya disebabkan empat faktor iaitu kelalaian nakhoda atau orang mengendalikan kapal, alam semula jadi seperti ribut atau ombak, peperangan mahupun kebakaran kerana dulunya kapal menggunakan penunu atau api hidup ketika malam.

“Dijangka terdapat lebih 170 kapal karam direkodkan di pengairan negara kita dan hanya sebahagian kecil dikaji kerana nilai penting kepada sejarah serta warisan. Kapal karam paling tua pernah ditemui Jabatan Muzium dan Antikuiti Malaysia ialah kapal Pontian yang ditemui di Sungai Pontian.

“Kapal itu dipercayai berasal dari Arab kerana ikatan terdapat pada kayunya. Usianya dijangka 2,000 tahun berdasarkan ujian karbon dilakukan pada pigmen kayu pada kapal berkenaan,” katanya.

Satu demi satu penemuan dan pelbagai kisah membuatkan minat Abdul Razak terhadap tinggalan sejarah itu subur apatah lagi pengalaman dan menyelam sendiri di lokasi memberi perspektif sebenar mengenai kajian terhadap khazanah kapal selam.


TURUT menyelami keadaan dalam kapal karam.

“Setiap kali saya menyelam dan berada dalam tapak tertentu perasaannya berbeza. Mungkin perasaan ada kaitan dengan orang yang meninggal.

“Ketika saya menyelam di tapak Desaru dan Wanli umpamanya, saya rasa sangat tenang dan hanya mahu menikmati pemandangan tanpa menyentuh apa-apa yang ada di situ. Tetapi sudah namanya ekskavasi jadi pengkaji seperti pasukan muzium kena bawa keluar.

“Berlainan pula perasaan menyelam di kawasan kubur memorial bawah laut membabitkan kapal karam Amerika Syarikat USS Salute yang di bom sehingga patah dua dan menyebabkan kematian enam kelasi dan tiga lagi dilaporkan hilang, antara auranya cukup berbeza.

“Barang yang ditemui di situ antaranya peluru hidup selain barang peribadi milik tentera terkorban termasuk butang dan barangan peribadi seperti sudu serta pisau cukur bersama ukiran nama mereka. Barang itu biasanya akan ditinggalkan,” katanya.

Pengalaman lain, dalam projek itu, Abdul Razak berkata, dia belajar mengenai kaedah dilakukan pasukan arkeologi dalam mencari tinggalan sejarah maritim termasuk seawal mengenal pasti tapak.

Kata Abdul Razak, tapak kapal karam biasanya dikesan bermula dengan khabar angin orang tempatan iaitu biasanya nelayan yang menangkap ikan di kawasan kapal karam.

“Tapak itu ditemui biasanya bermula dengan khabar angin dan pengkaji seperti Sten akan cari rekod atau dokumen yang sepadan dengan lokasi atau kapal dagang.

“Kemudian kerja mengesan tapak menggunakan peralatan yang dilengkapi dengan pengesan sonar akan diletakkan di sisi kapal. Apabila alat bertindak balas dan kawasan dikenal pasti, urusan permohonan kebenaran atau permit daripada Kementerian Kesenian dan Warisan dan Kementerian Kewangan akan dilakukan.

“Setelah dapat kebenaran barulah kerja mencari dan membawa keluar bersama pihak bertanggungjawab ketika itu Jabatan Muzium dan Antikuiti Malaysia akan dimulakan.

“Perlu difahami kapal karam yang ditemui mempunyai rekod daftar keluar masuk kebanyakannya adalah kapal dagang seperti Desaru dan Wanli. Jadi hendak kata ia harta karun seperti adanya peti emas rasanya kurang tepat kerana kapal ini seperti lori kargo yang mengangkat barang dagang seperti seramik, ikan kering dan sebagainya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 10:18 AM
RAZAK bersama isterinya, Intan Zarinah turut menyelam di tapak kapal karam.