ACARA tarik tali membabitkan penduduk.
Oleh Nurul Husna Mahmud


KARNIVAL Le Tour de Trosor (LTDT) antara pendekatan yang dilihat sarat dengan elemen perpaduan dan kemasyarakatan dilaksanakan Kelab Anak Rantau Trosor bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Trosor dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Tali Api dianjurkan serentak dengan sambutan Hari Malaysia.

Karnival yang diadakan di Kampung Trosor, Sungai Siput Utara, Perak itu adalah penganjuran kali ketiga selama tiga hari berturut-turut. Pada awalnya program itu dijalankan bertujuan mempereratkan hubungan silaturahim penduduk dengan anak rantau Trosor menerusi kegiatan riadah serta aktiviti rakyat.

Tahun ini menyaksikan pembabitan bukan penduduk dan anak rantau kampung berkenaan malah pelbagai agensi baik kerajaan mahupun swasta turut hadir memberi sokongan kepada akti

viti mempromosikan gaya hidup sihat berkenaan.

Antara agensi yang mengambil bahagian dalam LTDT kali ini ialah Pejabat Daerah dan Tanah Sungai Siput, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sungai Siput, Kementerian Kesihatan Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Unit Sungai Siput (U), Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP), Kolej Komuniti Sungai Siput, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Yayasan Perak.

Acara utama ialah berbasikal sejauh 25 kilometer pada hari terakhir karnival itu yang berjaya menarik penyertaan Imam Muda Jabbar. Dalam agenda merakyatkan komuniti terutama generasi muda setempat, sukan rakyat dianjurkan untuk menghiasi jadual karnival berkenaan.

Menurut Pengerusi LTDT Hafizuddin Mohamed Shahrehan, penganjuran kali ini antara terbesar dan paling meriah apabila menerima 2,000 kehadiran pengunjung dari kampung sekitar hingga pekan Sungai Siput.


ACARA gubahan buah mencabar kreativiti peserta.

“Kemuncak karnival iaitu pada 16 September ialah penyertaan lebih 200 peserta dalam kayuhan Fun Ride and Race Le Tour de Trosor 2019. Selain penduduk, kami mendapat penyertaan pelbagai agensi bagi merasai sendiri pemandangan sekitar kampung.

“Tidak sempurna rasanya kalau karnival LTDT tanpa pengisian sukan rakyat. Jadi acara seperti dam haji, tarik tali dan panjat tiang licin diketengahkan.

“Malah pengunjung turut terhibur dengan keletah peserta,” katanya.

Selain riadah pihaknya tidak lupa slot untuk aktiviti kemasyarakatan ataupun khidmat tanggungjawab sosial (CSR) membabitkan agensi mahupun pelajar institusi pengajian tinggi berhampiran.

“Dalam keseronokan, tidak lupa pengisian program kemasyarakatan menerusi inisiatif mahasiswa dari UniKL RCMP yang kebetulan menjalani program anak angkat di sini turut menjalankan ziarah perubatan ke rumah penduduk yang sakit dan uzur. Selain mereka pelajar Kolej Komuniti Sungai Siput turut melakukan kerja menukar minyak hitam percuma kepada 50 motosikal penduduk,”katanya.

Kata Hafizuddin selain aktiviti riadah, terdapat juga aktiviti dan pertandingan lain termasuk mini konsert Kumpulan Nasyid Nurahman Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kerian, pertandingan solo nasyid terbuka, program motivasi untuk pelajar SK Trosor, persembahan Drum Circle SMKA Kerian dan karnival jualan.

Majlis disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi Negeri Perak Hasnul Zulkarnain Abd Munaim dan Ahli Parlimen Sungai Siput Kesavan Subramaniam bagi merasmikan majlis.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 September 2019 @ 9:03 AM