LUKISAN Along dipamerkan di ruang kafe.
Nurul Husna Mahmud


Dari karya pertama Zikir Kaabah sehingga siri kelima iaitu Dalam Nano Ada Gema Jalur, pelukis yang berasal dari Serkam, Melaka, Mazlan Noor Along melihat karya yang dihasilkan adalah satu titipan dakwah kecil buat masyarakat.

Namun tidak terlihat pula sebarang subjek atau imej berunsurkan kaligrafi daripada potongan ayat suci al-Quran pada koleksi karyanya sebagaimana kebiasaan karya berunsurkan Islamik.

Insan berbakat besar yang mesra disapa Along ini mengambil pendekatan di luar kotak apabila mengetengahkan tafsiran surah dalam al-Quran kepada konsep penyampaian yang lebih universal dan kontemporari.

Ini penting kerana katanya, keindahan Islam itu perlu disampaikan dalam bentuk karya yang dapat diterima umum terutama kepada khalayak bukan Islam.

“Dalam aliran seni berinspirasikan tafsiran surah dalam kalam Allah tidak semestinya terbatas pada tulisan kaligrafi kerana perlu difikirkan bagaimana penyampaiannya meluas dan boleh sampai kepada bukan Islam.

“Tambahan pula kalau mahu gunakan kaligrafi dengan potongan al-Quran, terdapat tata tertib perlu diambil kira terutama segi baris dan tanda bacaannya apatah lagi saya tiada kepakaran itu.

“Jadi saya ambil falsafahnya dan melukis pengamatan serta kefahaman bersandarkan pembacaan selain rujukan saya mengenai tafsiran potongan ayat al-Quran berkenaan,” katanya di pameran solonya, Dalam Nano Ada Gema Jalur yang berlangsung sehingga 27 September ini di Bunga Lawang Cafe, Bandar Baru Bangi, Selangor.


PERMAINAN warna pelbagai tampak sebati

Seperti karya siri pertama iaitu Zikir Kaabah, konsep Kaabah diterangkan menerusi falsafahnya iaitu berkait dengan aritmetik, pengiraan, ketepatan dan empat penjuru alam.

Selain penceritaan kaabah iaitu peristiwa di mana Allah SWT menyuruh Rasulullah menyalut mercu kiblat itu dengan kiswah hitam sambil dihiasi ayat al-Quran seiring tafsiran dalam kitab suci itu mengenai konsep qada’ dan qadar iaitu pengamatan melihat yang hitam dulu baru datangnya cahaya.

“Karya pertama Zikir Kaabah umpamanya, saya menggunakan geometri atau penghasilan titik yang diiringi zikir untuk menyampaikan kepada umum berkenaan falsafah kaabah itu sendiri.

“Semua titik itu menggunakan pen penanda dakwat kekal selain pen untuk menghasilkan setiap titik dalam karya terbabit selain akrilik. Penggunaan warna kontras iaitu gelap kepada terang juga mengamati pada konsep sama.

“Kaedah adalah pelbagai kerana mengikut kajian subjek iaitu tafsiran ayat dipilih. Contoh pada karya terbaru iaitu membabitkan 24 lukisan pada koleksi Dalam Nano Ada Gema Jalur, boleh dilihat lukisan iaitu jalur dengan aliran lebih bebas.

“Karya terbaru ini mengenai penghayatan rahsia sains mikro sel dan tisu anatomi dipanggil ‘NANO’ disebut dalam surah al-Mukmin,” katanya.

Cetusan untuk mendapat istilah NANO itu sendiri disarankan pakar tisu dan sel anatomi dari Surabaya, Dr Rahmat Haroun yang melihat rakaman foto karya berkenaan ketika pameran lukisan di Jogjakarta.


LUKISAN NANO itu adalah jalur berwarna-warni pada trilion tisu atau sel dalam anatomi tubuh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 September 2019 @ 9:09 AM