Oleh Nurul Husna Mahmud


Keletah seorang pengunjung Festival Permainan Malaysia (FPM), Nur Shafika Idayu Ali yang cuba mengimbang diri ketika bermain permainan kaki hantu di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur baru-baru ini benar-benar mencuit hati.

Meskipun mengenakan busana tradisi, namun ia tidak menghalang gadis berusia 30 tahun itu bermain alat permainan yang dibuat menyerupai topang kayu berukuran lebih dua meter itu.

Nur Shafika sanggup menyinsing kain sarung yang dipakainya bagi membolehkannya bermain ‘kaki hantu’ berkenaan.

“Bermain kaki hantu di FPM ini adalah pertama kali buat saya dan ia memang susah kerana kena pandai imbangkan badan. Gerak kaki dan tangan perlu serentak.

“Untuk dapatkan satu dua langkah menggunakan ‘kaki’ berkenaan memang mencabar dan banyak kali saya jatuh. Mujur ada kawan yang sedia sambut dan beri sokongan ketika berdiri menggunakan permainan itu,” katanya.

Mengenai kaki hantu, permainan rakyat ini sebenarnya turut terkenal di beberapa negara, cuma istilahnya berbeza. Di Indonesia permainan ini dipanggil egrang, sementara sebelah Riau pula menggelarnya tongkah.


PERMAINAN tradisi turut menarik minat kanak-kanak.

Di Malaysia, ia antara permainan rakyat popular dalam kalangan anak-anak kampung sehingga lewat 90-an. Kemudian permainan itu mulai ‘hilang’ sedikit demi sedikit apabila permainan moden seperti video game mula mengambil alih.

Dalam penyediaan alat permainan kaki hantu dan beberapa permainan tradisi lain, Guligeng antara komuniti yang bertanggungjawab dalam penyediaan sebahagian peralatan permainan dalam

temasya tahunan itu.

Kata Pengasasnya Abd Rahman Haris, daripada permainan mudah iaitu tuju selipar sehingga penyediaan lebih rumit seperti terompah gergasi dan kaki hantu dilakukan sendiri pihaknya.

Dia yang meminati permainan rakyat atau tradisi itu mengambil inisiatif memperkenalkan permainan dan membuat sendiri (custom) alat permainan berkenaan kerana mahu generasi yang tidak berpeluang merasai keseronokannya.

“Saya dan isteri, Norhayati Mat Nordin, 43, mula lakukan ‘kemunculan semula’ peralatan mahupun permainan ini kerana memikirkan tiada lagi usaha bagi mengetengahkan permainan tradisi ini di awal penubuhan komuniti ini pada 2013.

“Jadi saya bermula dengan anak sendiri, kemudian ajak anak kawan-kawan kemudian ‘merebak’ kepada pengunjung taman tempat kami bermain.

“Kami mulakan dengan baling selipar sebab ia paling mudah dan murah, kemudian tin serta lompat getah. Daripada tiga permainan itu kami kembangkan kepada permainan lain apabila menyedari ia mempunyai peminatnya.

“Kemudian kami bergerak kepada sekolah dan organisasi iaitu majlis korporat, seterusnya kepada acara termasuk bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) selain agensi lain,” katanya.

Pencapaian terbaik Guligeng termasuk pernah memenangi pertandingan inovasi bagi zon sentral menerusi set permainan baling tin.

“Saya cuba ketengahkan dan berharap pihak berkenaan boleh merealisasikan hasrat komuniti sukan itu agar memiliki hub khusus untuk permainan alat tradisi. Mungkin pihak berkuasa tempatan, JKKN atau peringkat kementerian sendiri boleh melihat ia penting bukan sahaja sebagai pemeliharaan warisan, malah sebagai medium menyatukan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Kebudayaan (JKKN) Wilayah Persekutuan Mohd Amran Haris berkata, JKKN sentiasa mengambil berusaha mengangkat martabat permainan tradisional di Malaysia.

“Bagi penganjuran sudah masuk tahun kelima, kami terus dengan agenda untuk mengangkat kembali martabat permainan tradisional dalam kalangan masyarakat Malaysia.

“Untuk makluman di bawah daftar Warisan Kebangsaan, terdapat 21 permainan tradisional didaftarkan dan sebahagiannya iaitu sekitar 15 permainan dipertontonkan dan dipertandingkan dalam FPM.


MANIS gadis yang bersimpuh bermain congkak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 September 2019 @ 9:28 AM
ACARA tarik tali turut dipertandingkan bagi penyertaan kategori wanita.