SAMIAN (kiri) bersama Zaiton menunjukkan trofi yang dimenangi pada Anugerah Mega Takaful IKHLAS Tahun Kewangan 2018/20.
Oleh Amran Yahya


Bidang perundingan insurans antara kerjaya menarik kerana perlu berjumpa dengan pelbagai peringkat usia dan latar belakang individu serta paling penting, mampu menjana pendapatan lumayan.

Jika sebelum ini Zaiton Osman, 53, mencari rezeki dengan menulis dokumen untuk pelanggan yang ingin membuat urusan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), di Shah Alam, Selangor kini dia meneruskan perjuangan arwah suami mengendalikan khidmat rundingan insurans sejak 12 tahun lalu.

Zaiton kini mampu berbangga apabila berjaya membangunkan syarikat keluarga dengan semangat dan usaha gigih hingga memiliki 14 cawangan syarikat insurans di seluruh negara.

Ditemui ketika sesi bersama pemenang Anugerah Mega Takaful IKHLAS Tahun Kewangan 2018/20 baru-baru ini, ibu lima anak ini mencatat kenangan manis apabila menerima anugerah Mega Takaful Ikhlas General Berhad untuk dua tahun berturut-turut.

Zaiton membuktikan mampu menggalas tanggungjawab meneruskan perjuangan arwah suami yang gigih membangunkan syarikat pengurusan insurans dengan penuh keazaman untuk membantu mereka sekeluarga keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Selepas kematiannya, saya meneruskan usahanya mengendalikan pelanggan sedia ada dan yang baharu. Pelbagai halangan dilalui dan ini menguatkan semangat meneruskan legasi suami.

“Semua anak-anak juga bekerja sebagai ejen insurans sepenuh masa. Alhamdulillah, kami sama-sama membangunkan syarikat keluarga ini hingga memiliki 14 cawangan syarikat insurans di seluruh negara,” katanya.

Perasaan sama dikongsi penerima Anugerah Mega Takaful Ikhlas Family Berhad, Samian Senin dengan anugerah tertinggi organisasi berkenaan buat kali kelima tahun ini.

Samian akui laluan dijalani bukan mudah dan pernah mengalami zaman kejatuhan apabila 14 perunding yang dilatih selama setahun, berpindah mengikuti syarikat lain selepas segala ilmu dan kelebihan dimiliki dikongsi.

Bagaimanapun katanya, dia kembali bangkit dan tidak pernah menjangka menjadi pemimpin di sebuah syarikat insurans dengan 170 perunding

di bawahnya.

“Saya bermula sebagai pekerja di sebuah bank dan pendapatan ketika itu baik. Pada mulanya tidak ada minat menjadi ejen insurans. Namun memandangkan isteri majikan juga ejen, dia memaksa saya menyertai program kendaliannya,” kata Samian.

Anugerah Mega Takaful Ikhlas diperkenalkan sejak penubuhannya pada 2005 bagi memberi pengiktirafan kepada setiap ahlinya yang berusaha membangunkan perniagaan sendiri dengan sokongan mereka.

Penganjuran majlis ini juga sebagai suntikan semangat kepada seluruh ejen Takaful Ikhlas supaya terus berusaha dengan lebih gigih dan konsisten bagi meningkatkan lagi prestasi sumbangan dan pencapaian masing-masing terutama dalam mencapai matlamat perniagaan pada masa akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Oktober 2019 @ 10:44 AM