COOLTOPIA varian terbaharu air penyejuk badan Cap Kaki Tiga.
Oleh Aniza Zainudin


NOSTALGIA pasti terimbau apabila memegang atau melihat botol minuman berimejkan badak sumbu bersama logo, Cap Kaki Tiga yang sinonim sebagai air penyejuk badan.

Selain mencuba pelbagai rawatan moden dan tradisional, minuman penyejuk badan klasik berusia 82 tahun ini adalah alternatif yang sering disarankan ibu terutama ketika demam sejak kecil.

Dikenali dengan keberkesanannya menurunkan suhu badan akibat demam, pengambilan air penyejuk badan ini secara harian juga boleh mengurangkan masalah panas badan yang sering dialami penduduk di negara tropika seperti Malaysia.

Pengarah Perniagaan Kumpulan Wen Ken, Chris Lim Hong Eng berkata, air penyejuk badan Cap Kaki Tiga adalah produk pertama keluaran syarikat sejak 1937 hingga kini.

“Fokus utama penghasilan minuman kesihatan ini untuk membantu masyarakat yang mengalami masalah panas badan yang sering dikaitkan dengan cuaca panas.

"Namun tidak ramai yang tahu, sebenarnya masalah panas badan juga boleh berpunca daripada isu lain termasuk gaya pemakanan tidak seimbang, kurang tidur dan stres berlebihan.

“Menurut kajian klinikal moden, air yang mengandungi mineral gypsum fibrosum semula jadi ini dapat mengawal haba berlebihan dalam tubuh manusia, sekali gus mengembalikan keseimbangan suhu badan.

“Jadi, pengambilan air penyejuk badan ini dapat mengekalkan kesihatan terutama mereka yang sering mengalami masalah panas badan. Ia juga sesuai untuk semua orang bermula usia empat tahun.

“Melihat pada kematangan usia dan kepercayaan pengguna terhadap produk ini, kami sangat mementingkan dua aspek utama produk kesihatan, fungsi dan keselamatan terhadap kesihatan manusia.

“Ini terbukti dengan komitmen kami apabila semua produk mempunyai kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kilang turut mendapat pengiktirafan status Amalan Pengilangan Baik (GMP),” katanya.

Seiring dengan transformasi dan permintaan pengguna, Kumpulan Wen Ken memperkenalkan varian air penyejuk badan berperasa buahan, Cooltopia, di bawah rangkaian jenama Cap Kaki Tiga.

Cooltopia hadir dalam dua perisa, ‘Luscious Lychee’ dan 'Juicy Guava' dengan kandungan 320 mililiter.

Menurut Chris, Cooltopia mempunyai nikmat terbaik daripada dua sudut berbeza, meningkatkan kesihatan serta rasa sensasi perisa laici dan jambu batu segar tanpa bahan pengawet.

Masih mengekalkan fungsi menyejukkan badan dan menghilangkan dahaga, minuman ini menjadi pilihan tepat bagi mereka yang menginginkan air berkhasiat tetapi berperisa.

Lebih menarik, ia juga pilihan sesuai untuk membantu kanak-kanak mengurangkan suhu badan ketika demam apabila varian ini diperkenalkan sejak Ogos tahun lalu.


LOGO terbaharu Cap Kaki Tiga.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 11:05 AM