Oleh Shahrul M Zain


BUKAN saja dikenali sebagai pulau yang rancak dengan industri minyak dan gas, Wilayah Persekutuan Labuan turut kaya dengan sumber laut sama ada untuk keperluan tempatan mahupun dieksport.

Jemputan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) membawa penulis melihat secara dekat kelebihan Labuan sebagai hab untuk industri perikanan moden dan laut dalam yang menjadi pemangkin kepada ekonomi penduduknya.

Pertemuan dengan Pengarah LKIM Labuan, Pada Anak Bijo memberi peluang kepada penulis melawat Kampung Pohon Batu untuk bertemu seorang pengusaha bubu emas berjaya, Asiran Jamal.

Di sini kami diperkenalkan kaedah menangkap ikan paling efektif dan mesra kepada ekosistem marin menggunakan bubu yang terdiri daripada tiga jenis iaitu bubu penahan, bubu perintis dan bubu emas.

Pada awalnya penulis beranggapan hasil yang diperoleh tidak sebanyak mana. Namun sangkaan itu jauh meleset apabila selepas 30 minit bersama rombongan LKIM dan nelayan bubu di samudera ia menunjukkan hasil sebaliknya.

Sama sekali penulis tidak menyangka trip pengenalan ini membuka pandangan baharu kepada kelestarian industri perikanan di Labuan yang turut bertanggungjawab dalam memastikan ekosistem marin terus terpelihara melalui kaedah bijak ini.

Mengenai nelayan bubu, Asiran bukan sahaja mempunyai pengalaman luas mengenai laut sehingga melayakkan dia digelar nelayan contoh.

Malah Asiran tidak lokek memberikan tunjuk ajar mengenai kaedah menangkap ikan lebih produktif kepada peserta bengkel atau kursus anjuran LKIM.

Penulis berkesempatan mengikuti Asiran menuai hasil laut menggunakan bot. Namun ketika bot melambung dirempuh ombak hati kecil hati terdetik sedikit rasa menyesal seandainya pulang tanpa hasil kerana perasaan masing-masing teruja untuk sampai ke lubuk yang diceritakan sebelum ini.

Sebaik bot berlabuh di koordinat yang ditetapkan menggunakan GPS, anak Asiran mula bersedia untuk menyelam dengan peralatan skuba bagi meninjau tangkapan sambil membawa bersama tali turun ke dasar laut bertujuan mengikat dan menaikkan bubu ke atas bot.


LABUAN 23 OGOS 2019. Qualified divers is a must to popular fishing method in Labuan. NSTP/SHAHRUL M ZAIN

Dalam pemerhatian penulis, tidak sampai 10 minit penyelam naik dan memaklumkan kepada rakan pembantu untuk menarik bubu perintis sepanjang 1.8 meter ke atas bot bersama hasil laut yang terperangkap di dalam bubu perintis menggunakan mesin penarik (winch).

Penulis kagum apabila menyaksikan sendiri pelbagai jenis ikan yang diperoleh seperti demuduk, kerapu bara, kerapu harimau, telinga gajah dan ikan karangan seperti kaci, delah serta dengkis.

Selama hampir sejam penulis mengira jumlah bubu perintis yang dibawa naik ke atas bot dengan jumlah tangkapan yang boleh dikatakan lumayan sehingga akhirnya hati berasa lega apabila Asiran menaikkan sauh untuk pulang ke pangkalan.

Asiran memaklumkan seawal jam 7 pagi dia akan turun bersama pembantu dengan jadual kekerapan empat kali seminggu untuk melabuhkan dan menaikkan hampir 100 bubu dengan kedudukan paling jauh kira-kira 20 batu nautika.

Ketika tiba di pantai Kampung Pohon Batu, bot ditarik ke atas treler dan ditunda menggunakan kenderaan pacuan empat roda ke pangkalan di Kampung Lubok Temiang kira-kira 5 kilometer dari pantai.

Di sini pelanggan sudah berada di kaunter sambil menunggu Asiran dan pembantunya memunggah hasil tangkapan. Masing-masing bersedia bersama bakul untuk bersaing merebut ikan pilihan.

Menariknya, segala urusan dilakukan dengan pantas, sehingga penulis menerima kejutan apabila ikan kerapu berbintik hitam yang nampak sangat kemerahan dipilih untuk dirakam gambar tapi disambar pelanggan. Penulis terpaksa memohon kerjasama mendapatkan semula ikan itu untuk dirakam gambarnya.

Suasana ini berakhir tidak sampai setengah jam apabila kaunter yang dipenuhi lambakan ikan hanya tinggal bakul kosong dan penimbang.

Timbul rasa terkilan kerana penulis gagal mengasingkan ikan terlebih dahulu untuk makan malam. Dalam temu bual bersama Pada, usaha Asiran bersama nelayan di Labuan berjaya membuktikan penangkapan ikan dengan kaedah bubu

terbukti dapat memelihara ekosistem marin dan pembiakan spesies ikan tertentu.


PEKERJA menyiang ikan yang dibeli pelanggan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 11:49 AM
HANYA penyelam berlesen dan berpengalaman boleh melakukan kerja meninjau bubu emas di dasar laut.