PAMERAN khas untuk kanak-kanak dirasmikan Dr Hartini (dua dari kanan) diiringi Raja Zahabuddin (kiri).
Oleh Zaitie Satibi


Usaha Galeri Shah Alam dengan kerjasama Studio Kita mendekati kanak-kanak daripada pelbagai latar belakang dan mendedahkan mereka dengan seni asas visual sejak awal tahun ini membuahkan hasil apabila 229 karya si cilik dihimpun serta dipamerkan di galeri berkenaan, baru-baru ini.

Karya yang didedahkan kepada umum menerusi Pameran Seni Visual Kanak-kanak 2019 bertemakan Bicara Tuan Muda itu membabitkan 200 kanak-kanak berusia lima hingga 17 tahun dari Selangor, Perak, Johor dan Wilayah Persekutuan.

Kanak-kanak yang dibawa ke pameran ini ternyata sangat istimewa dan masing-masing mempunyai identiti tersendiri. Ada yang datang dari bandar dan kawasan pedalaman, pelbagai kaum termasuk Orang Asli, anak gelandangan, pelajar sekolah seni, penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) serta pesakit pediatrik yang dibenarkan hadir ke sekolah dalam hospital.

Walaupun pengaruh keadaan sekeliling membuatkan kehidupan setiap kanak-kanak itu berbeza, sifat asas mereka sebagai kanak-kanak tetap sama. Secara umumnya, mereka mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi, suka pada cabaran, berani mencuba sesuatu yang baharu dan gemarkan perhatian.


PESERTA pameran kanak-kanak Orang Asli dari Perpustakaan Permainan, Kampung Desa Damai, Belum-Temengor, Gerik bersama karya mereka.

Pameran dirasmikan Pengasas Bersama Yayasan Chow Kit, Dr Hartini Zainudin. Turut hadir, Pengarah Galeri Shah Alam, Profesor Datuk Raja Zahabuddin Raja Yaacob.

Mengenai tema yang dipilih, Bicara Tuan Muda secara kolektif membawa maksud penceritaan, luahan perasaan, perbualan, pendapat, fikiran seorang kanak-kanak dalam mengharung kehidupan yang penuh perasaan ingin tahu dan catatan pengalaman sebagai persediaan ke peringkat kematangan seterusnya.

Langkah pihak galeri dan Studio Seni Kreatif turun padang menemui kanak-kanak terpilih termasuk mereka yang tidak berpeluang bersekolah adalah usaha murni untuk memasyarakatkan seni dengan memperkenalkan kelas seni lukis yang mengguna pakai modul Si Kecil Melukis.

Modul yang turut memberi peluang kepada kanak-kanak yang kurang pendedahan ini amat penting kerana ia bukan saja dapat membantu guru secara langsung dalam pengajaran, malah turut membantu guru memahami proses perkembangan kognitif peringkat pembelajaran kanak-kanak dengan lebih berkesan.

Program sebegini memberi peluang kepada kanak-kanak untuk menonjolkan idea kreatif mereka berikutan segelintir daripada peserta tidak berpeluang untuk mendapatkan pendidikan formal. Oleh itu, seni adalah terapi bagi menjana minda yang kreatif dan emosi yang stabil.


LUKISAN bermotifkan rasa ingin tahu kanak-kanak.

BOTOL kitar semula jadi kanvas kanak-kanak curah rasa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 November 2019 @ 10:43 AM