PENARI memukul kayu rotan dan kaki digerakkan ikut irama.
Oleh Zaitie Satibi

DUA kayu rotan dipegang erat penari sebelum dipukul pada kayu dipegang rakan, sekali-sekala penari memukul kayu sendiri dan ke lantai mengikut rentak. Pukulan demi pukulan inilah yang memberikan tempo kepada tarian kolattam yang juga persembahan tradisi masyarakat India di negara ini.

Kolattam adalah gabungan dua perkataan Tamil iaitu ‘kol’ yang bermaksud kayu pendek dan ‘attam’ yang bermaksud tarian. Dalam tarian ini, ia biasanya dipersembahkan dalam kumpulan lapan hingga 40 orang.

Penari akan membentuk dua barisan panjang dan menghadap rakan tarian. Sebaik muzik terdiri daripada paluan gendang seperti thavil, pambai, urumi dan simbal bermula, penari akan menghayun kayu serta memukul-mukulnya.

Bunyi gendang dan pukulan kayu ditambah gerakan kaki serta tubuh secara berirama menghasilkan suatu persembahan mengasyikkan.

Tarian tradisi ini berasal dari India dan dipersembahkan wanita yang bekerja di sawah padi apabila menari untuk menghiburkan hati pada waktu lapang. Apabila padi sudah dituai dan pesta menuai atau dipanggil ‘ponggal’ diadakan mereka akan menari lagi dengan gembira.


TARIAN diajar percuma untuk tarik minat kanak-kanak dan remaja.

Secara tradisi, penari kollatam terdiri daripada wanita saja, manakala lelaki bermain alat muzik. Namun, lama-kelamaan persembahan itu turut ditarikan bersama-sama lelaki dan kanak-kanak.

Tarian ini dihidupkan dari semasa ke semasa oleh Persatuan Kebudayaan, Kesenian India Kuala Lumpur dan Selangor yang ditubuhkan sejak 30 tahun lalu dengan keahlian terkini 110 orang.

Setiausaha persatuan, Thiru G Ravi berkata, pihaknya mengadakan kelas tarian tradisional itu kepada sesiapa yang berminat tanpa mengira usia dan kaum secara percuma.

Ini bertujuan memberi pendedahan mengenai cabang seni dan budaya masyarakat India supaya terus diwarisi generasi akan datang.

“Kanak-kanak seawal usia lima tahun dan remaja mengikuti kelas kolattam yang diadakan di pekarangan kuil Arulmigu Sri Ayyappaswamy Devasthanam, Batu Caves, Gombak, Selangor setiap hari minggu.

“Mereka bukan saja diajar mengenai asas tarian ini dan beberapa tarian lain, malah turut didedahkan mengenai sejarah dan keunikan seni persembahan tradisional berkenaan.

“Kami turut mengadakan persembahan majlis keramaian, upacara keagamaan dan perayaan seperti Ponggal dan Deepavali. Selain itu, kami juga sering dijemput membuat persembahan acara kebudayaan anjuran agensi kerajaan dan pusat beli-belah,” katanya.

Katanya, pihaknya ingin ketengahkan tarian tradisional berkenaan supaya masyarakat lain dapat belajar mengetahui serba sedikit mengenai kollatam dan bekerjasama dengan Unit Perancangan Ekonomi Negeri Selangor (UPENS) menerusi program Rentak Selangor bertemakan ‘Dendang Hati, Lagu Jiwa, Irama Kita.’


PELBAGAI jenis gendang digunakan untuk tarian kollatam.

PELAJARI KOLLATAM

Sementara itu, ahli persatuan, Priya Darshini, 17, berkata, dia mempelajari tarian itu sejak setahun lalu selepas didorong ibunya yang juga penari klasik India.

“Saya meminati tarian sejak kecil dan mula mempelajari tarian klasik India Bharathanatyam pada usia 11 tahun. Selepas menguasai tarian berkenaan, ibu mengesyorkan mempelajari kollatam pula.

“Bagaimanapun, saya tertarik dengan kollatam sejak kali pertama menyaksikan persembahan tarian itu kerana terpesona dengan lenggok tarian dan solekan penari yang cantik,” katanya.

Bagi Naren Muthu, 12, dia mempelajarinya kerana tidak mahu menghabiskan masa lapang dengan kegiatan tidak berfaedah, di samping tertarik dengan keunikan tarian itu sendiri.

“Saya memasuki kelas tarian ini sejak setahun lalu, mula-mula memang susah kerana perlu ikut banyak rentak, tetapi lama-kelamaan saya dapat menguasainya dengan baik. Banyak pengalaman menarik diperoleh seperti membuat pertunjukan di khalayak ramai.

“Malah, saya juga seronok kerana dapat tunjuk keindahan seni dan budaya India kepada pelancong. Rasa rugi jika tarian ini tidak dipelajari generasi muda kerana ia warisan sejak zaman berzaman,” katanya.

Seorang lagi ahli, Jaya Brantha Jayachandran, 12, berkata, tarian berkenaan berupaya membentuk disiplin yang kuat dalam dirinya berikutan dalam latihan aspek yang ditekankan adalah menepati masa, mengikut arahan, peka dan kerjasama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 November 2019 @ 11:46 AM