WAKIL SRA bersama Mohd Azizi (tengah) selepas menerima sumbangan komputer riba dan projektor LCD. FOTO Faiz Anuar
WAKIL SRA bersama Mohd Azizi (tengah) selepas menerima sumbangan komputer riba dan projektor LCD. FOTO Faiz Anuar
hmdigital

SUMBANGAN satu set komputer riba dan projektor LCD daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dilihat melancarkan kaedah mengajar secara Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc).

Bagaimanapun, bagi segelintir sekolah, penggunaan teknologi digital dalam bilik darjah agak terhad akibat bilangan kemudahan yang tidak mencukupi, selain kemudahan sedia ada masih menggunakan model lama.

Demikian dialami Sekolah Rendah Agama (SRA) Giching, Bandar Baru Salak Tinggi di Sepang, Selangor apabila alat bantu mengajar PdPC di sekolah berkenaan dikatakan tidak mampu menampung penggunaan oleh 340 murid.

Guru besar sekolah itu, Samani Surip, berkata, sekolah agama berkenaan yang dibuka sejak 1984 menawarkan dua sesi pagi dan petang dengan setiap kelas memuatkan antara 40 hingga 47 murid, manakala guru menggunakan alat bantu mengajar PdPC secara bergilir.

Katanya, penggunaan gajet elektronik dalam kelas dilihat sangat bersesuaian dalam memenuhi keperluan pelajar masa kini dan pembelajaran berasaskan peralatan digital itu juga boleh diaplikasi dalam mata pelajaran Pendidikan Islam.

“Penggunaan skrin LCD dapat memaparkan visual dan audio lebih menarik dan ini sekali gus membolehkan murid lebih fokus. Guru juga dapat menayangkan cerita sejarah Islam dan video mengaji dengan persembahan lebih menarik,” katanya.

Sebanyak 44 SRA kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di sekitar Sepang, Hulu Langat dan Kuala Langat menerima sumbangan peralatan bantu mengajar itu bernilai RM4,500 setiap satu bagi melancarkan lagi proses pembelajaran murid berasaskan teknologi digital.

Sumbangan disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain kepada Pengarah Jais, Mohd Shahzihan Ahmad sebelum diserahkan kepada wakil sekolah.

Bagi guru besar SRA Olak Lempit, Banting, Hanifiah Roslan, minat murid zaman sekarang terhadap teknologi mendorong guru menggunakan peralatan digital untuk mengajar supaya penyampaian bahan dapat meninggalkan impak yang mendalam ke atas diri murid berkenaan.

“Kami berterima kasih atas sumbangan set komputer dan projektor LCD ini kerana peralatan ini dapat membantu guru mengajar dengan lebih berkesan berikutan bilangan murid yang ramai,” katanya.

Sementara itu, Mohd Azizi berkata, pihaknya menyumbang RM198,000 daripada peruntukan wakalah tiga daripada lapan agihan zakat kepada SRA berkenaan berikutan PKNS menitikberatkan kualiti pendidikan rakyat Selangor bagi melahirkan generasi unggul serta berjaya dunia akhirat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Disember 2019 @ 9:49 AM