PAKAIAN tradisional Sudan.
PAKAIAN tradisional Sudan.
Aniza Zainudin


BUDAYA perkahwinan Sudan bukan saja meraikan pasangan raja sehari, sebaliknya ia turut mengangkat silaturahim yang terjalin antara dua keluarga.

Kegembiraan ini dibuktikan menerusi pemilihan warna terang yang sememangnya sinonim dengan perkahwinan masyarakat Sudan, rona emas dan merah.

Difahamkan upacara perkahwinan masyarakat Sudan selalunya mengambil masa sekurang-kurangnya enam hari merangkumi pelbagai upacara tradisional.

Menjelang hari perkahwinan, keluarga pengantin lelaki akan membawa hadiah dipanggil ‘sheala’ selalunya mengandungi pakaian tradisional, produk penjagaan diri, haruman tradisional dan barang kemas.

Kemudian dua hari sebelum majlis perkahwinan, keluarga akan mengadakan majlis berinai untuk pengantin lelaki.

Uniknya, upacara itu akan dilakukan saudara pengantin perempuan kepada pengantin lelaki di bahagian tangan dan kaki.

Berbeza pula bagi pengantin perempuan yang akan mendapatkan perkhidmatan dekorasi inai di salun kecantikan.

Sejurus tamat majlis akad perkahwinan, majlis perkahwinan tradisional dimeriahkan dengan budaya pemakaian busana tradisional pasangan raja sehari.

Ini antara tarikan demonstrasi yang disajikan sempena penganjuran program Hari Kebudayaan Antarabangsa 2019 (IDC 2019) oleh Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH) dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) International, baru-baru ini.

Program sehari yang berlangsung di Dewan Tan Sri Ainuddin Wahid, UTM Kampus Kuala Lumpur pada Oktober lalu bertujuan mengukuhkan kepelbagaian budaya.

Selain itu, ia juga dijangka mampu mengeratkan usaha sama dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

Pelajar Ijazah Kedoktoran (PhD) Polisi UTM yang juga warga Sudan, Zariyah Ibrahim Mohamed Zein, mengakui penyertaannya kerana ingin memperkenalkan budaya, fesyen, makanan, kosmetik dan kraf tangan masyarakat negara itu.

“Saya menetap di Malaysia sejak 26 tahun lalu kerana mengikut bapa bekerja di Malaysia.

“Malah saya melihat penganjuran program ini sangat wajar untuk mempromosikan idea pertukaran budaya dan saling menghargai keunikan tersendiri.

“Selain memperkenalkan produk tempatan, kami ingin mempertontonkan upacara perkahwinan tradisional masyarakat Sudan yang sememangnya unik kepada rakyat Malaysia,” kata pelajar berusia 30 tahun ini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pengerusi IDC 2019, Prof Madya Dr Norhayati Abdullah berkata, penganjuran program ini berjaya membuka ruang silang budaya antara pelajar tempatan dan antarabangsa.

Terbuka kepada umum, Norhayati berkata ia berjaya menarik kunjungan 300 orang termasuk kakitangan, pelajar dan orang awam.

“Penganjuran IDC 2019 ini dilihat sejajar dengan hasrat Kementerian Pendidikan supaya negara kita menjadi pilihan utama sebagai destinasi pengajian dalam kalangan pelajar asing.

“Program julung kali diadakan ini turut menampilkan kebudayaan lapan negara, termasuk Malaysia, Sudan, Jepun, Sri Lanka, Iraq, Indonesia, Nigeria dan Turki.

“Selain menyelitkan elemen budaya seperti tarian, tulisan kaligrafi, nyanyian medley dan permainan drum, keistimewaan IDC 2019 juga terletak pada idea pakaian kebangsaan negara sekali gus memeriahkan program,” katanya ketika ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Disember 2019 @ 10:08 AM