MENCABAR ketangkasan peserta.
Md Fuzi Abd Lateh


SEMANGAT berjuang secara berpasukan dengan mengamalkan kemahiran asas kebombaan padu menjulang kontinjen Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang sebagai juara keseluruhan pertandingan Firefighters and Rescue Challenge (FAREX) 2019, baru-baru ini.

Ternyata kontinjen ini mampu memperlihatkan kesungguhan dan komitmen mantap menewaskan 15 kontinjen lain yang berentap selama dua hari di padang Stadium Taman Millenium, Kuala Kubu Bharu itu.

FAREX edisi tahun ini menyaksikan pertandingan berkonsep baharu cukup menguji kehebatan 176 pegawai bomba dengan penampilan empat acara individu iaitu ‘ultimate challenge,’ ‘rescue challenge,’ ‘confine space challenge’ dan ‘warrior challenge.’

Dua acara berpasukan adalah ‘relay warrior challenge’ dan ‘rapid challenge.’ Majlis perasmian pembukaan pertandingan ini disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JBPM, Datuk Soiman Jahid.

Sementara penutupan pula oleh Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid. Penganjuran program itu juga turut memberi manfaat kepada anggota bomba dan komuniti Hulu Selangor.

Acara sampingan yang diadakan termasuk pengiktirafan enam pasukan bomba komuniti terbaik, pameran kebombaan, pertandingan mewarna kanak-kanak, kuiz kebombaan, pertunjukan Unit Pengesan K9 dan Helikopter Agusta 139 milik Unit Udara JBPM.

KEMAHIRAN meredah halangan secara individu

Mohammad Hamdan berkata, buat julung kalinya peserta pertandingan perlu menterjemahkan kehebatan masing-masing melalui elemen kepantasan dan kecekapan ketika mengharungi cabaran yang cukup hebat itu.

Katanya, pertandingan tahun ini menampilkan bilangan peserta yang kecil bagi memberi ruang mereka mempamerkan ketangkasan sebenar sebelum dinobatkan sebagai juara acara individu dan berpasukan.

“Peserta tahun ini mampu mencatat masa lebih pantas mengatasi cabaran yang dilalui peserta lain dalam pertandingan sama peringkat antarabangsa iaitu Jepun dan Hong Kong.

“Kali ini peserta tidak lagi diuji dalam Pertandingan Kawad Kecekapan (PKK) seperti amalan biasa terdahulu. Mereka perlu menunjukkan kompetensi dan kecekapan diri dalam bidang operasi lasak cabaran kebombaan membabitkan aktiviti menyelamat mangsa,” katanya.

Juara acara’ warrior challenge,’ Penguasa Bomba Steven J Roland dari kontinjen Pulau Pinang turut menyifatkan pertandingan kali ini cukup menarik dan mencabar ketangkasan peserta.

Katanya, dengan menampilkan semangat berpasukan merentas cabaran getir dan halangan ternyata kontinjen mereka mampu meraih lima kemenangan dalam pelbagai acara yang dipertandingkan.

KONTINJEN daripada 16 pasukan siap sedia berentap.

“Selain dapat mengukuhkan pembangunan aspek fizikal melalui platform ujian yang diadakan, pertandingan sebegini dapat menilai semangat keberanian anggota bomba ketika operasi menyelamat sebenar,” katanya.

Beliau berkata, kontinjen mereka mampu berbangga apabila meraih johan berkumpulan acara ‘rapid challenge’ dan naib johan ‘relay warrior challenge.’

Sementara itu, bagi acara individu pula, rakannya, Penguasa Bomba Mohamad Syafik Mohamad meraih naib johan ‘rescue challenge’ dan Penguasa Bomba Azril Che Mad pula naib johan ‘confine space challenge’.

Bagi acara individu ‘ultimate challenge’ pula diraih Penguasa Bomba Amindra Lapis Man (Kuala Lumpur).

Tempat kedua dan ketiga dimenangi Penguasa Bomba Mohamad Afiq Razali (Negeri Sembilan) dan Penguasa Bomba Elvin Elvista (Selangor). Acara rescue challenge dijuarai Penguasa Bomba Mohamad Sazuan Samsuddin (Perak).

Bagi ‘confine challenge’ diraih Penguasa Bomba Izatul Ikmal Taib (Kuala Lumpur). Bagi acara berkumpulan pula, kontinjen Perak menjuarai untuk ‘relay warrior challenge,’ naib johan (Pulau Pinang) dan ketiga, Negeri Sembilan.

Sementara untuk ‘rapid challenge’ dimenangi Pulau Pinang dan diikuti Selangor dan Kuala Lumpur untuk kedua serta ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Disember 2019 @ 9:37 AM