PREMIS ini menjadi ‘pentas’ untuk beraksi sebagai tukang jahit.
PREMIS ini menjadi ‘pentas’ untuk beraksi sebagai tukang jahit.
Oleh Helmy Abd Rahman


SEAKAN menyaksikan pertunjukan seni tatkala melihat ketangkasan lelaki ini ‘bermain’ dengan peralatan jahitan. Tambah menakjubkan, Mohd Alamin Jais, 48, dilahirkan cacat kedua-dua tangan dan hanya memiliki jari yang tidak sempurna.

Menjadikan premis bernombor A 41 di tingkat atas Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu

(MBKT) sebagai ‘pentas’ untuk beraksi, Mohd Alamin kelihatan santai dan bersahaja menyempurnakan pekerjaannya sebagai tukang jahit sehingga ada yang menggelarnya ‘Si Tangan Emas.’

“Sudah lama saya berkecimpung dalam dunia jahitan iaitu sejak sekolah rendah lagi, tapi ketika itu hanya sekadar hobi.

“Minat menjahit muncul apabila sering melihat arwah emak yang selalu terima tempahan menjahit baju daripada orang kampung terutama pada musim perayaan.

“Lama-kelamaan, saya terfikir kenapa tidak jadikan minat ini sebagai kerjaya dan daripada situ saya mengambil keputusan untuk mengikuti kursus jahitan di Bengkel Pemulihan Kebajikan Masyarakat, Pulau Kerengga, Marang, hampir 30 tahun lalu,” ujar bapa kepada lima anak berusia tiga hingga 15 tahun ini.

Menurut Mohd Alamin, selepas tamat latihan, dia memberanikan diri membuka kedai jahitan di Pusat Penerangan Pelancongan Kuala Terengganu.

“Kira-kira 15 tahun lalu, dengan berbekalkan duit simpanan sendiri tanpa bantuan daripada mana-mana pihak, saya berpindah dan membuka kedai jahitan di hentian bas ini.

“Alhamdulillah, berkat ketekunan dan kesabaran, kerjaya ini amat mudah untuk dilaksanakan dan sudah sebati dengan saya. Hasil pekerjaan ini membolehkan saya menanggung makan minum anak isteri,” tambahnya yang berasal dan menetap di Kampung Belukar Sukai, Kepong, Kuala Terengganu.

MOHD Alamin melayani pelanggan di kedainya.
MOHD Alamin melayani pelanggan di kedainya.

Jelasnya, dia mengkhususkan kepada jahitan jeans dan biasanya pelanggan datang untuk membaiki jean, sama ada untuk mengecil, memotong atau menampal seluar masing-masing.

“Untuk membaiki jean, saya tak perlukan masa lama... biasanya hanya antara lima hingga 10 minit. Dalam sehari biasanya saya dapat lima tempahan.

“Saya juga boleh menjahit pakaian tradisional seperti baju Melayu dan baju kurung tetapi tidaklah selalu kerana biasanya ia hanya ditempah pada bulan Ramadan,” katanya.

Mengambil inspirasi daripada pepatah ‘di mana ada kemahuan, di situ ada jalan,’ Mohd Alamin tidak pernah menganggap status orang kurang upaya (OKU) sebagai penghalang untuk dia berdikari.

Malah baginya, menjadi OKU membuatkan dirinya lebih bersemangat dan sentiasa berazam melakukan bukan saja setaraf, tapi lebih baik berbanding tukang jahit biasa.

“Saya sentiasa yakin setiap insan yang berusaha bersungguh-sungguh pasti mengecap kejayaan. Apa yang saya banggakan, sepanjang menjadi tukang jahit, belum pernah saya mengalami kemalangan atau mendapat aduan daripada pelanggan yang tidak berpuas hati.

“Saya pastikan kualiti kerja berada tahap terbaik kerana paling puas dalam pekerjaan ini apabila melihat pelanggan gembira dengan hasil tangan saya,” katanya yang saban hari berulang-alik hampir 10 kilometer menggunakan motosikal dari rumahnya ke hentian bas itu.

Rakan karib Mohd Alamin, Mohd Shahider Ali, 36, berkata dia senang berkawan dengan lelaki berkenaan yang tidak lokek ilmu dan sangat baik.

MOHD Alamin langsung tidak kekok menggunakan gunting.
MOHD Alamin langsung tidak kekok menggunakan gunting.

“Bagi sesetengah OKU, mereka malu dengan kekurangan mereka dan sensitif tetapi Mohd Alamin tidak langsung berperangai seperti itu. Dia juga tidak lokek ilmu dan selalu juga suruh pelanggan datang ke kedai saya serta rakan lain jika dia kesuntukan masa,” katanya yang juga berkerjaya sebagai tukang jahit.

Sementara itu, pelanggan tetap Nadia Hasshim, 20, berkata dia sering menghantar jeans untuk dibaiki Mohd Alamin, bukan kerana kasihan, sebaliknya amat puas hati dengan hasil tangannya.

“Memang keluarga saya sejak dulu selalu menghantar jean untuk dibaiki di sini kerana hasil kerjanya bukan saja berkualiti, malah cepat siap dan harga berpatutan.

“Bayangkan dalam tempoh tidak sampai 15 minit sudah siap jean yang saya hantar untuk dibaiki dan dia tak buat kerja sambil lewa tetapi amat teliti.

“Bagi saya, kualiti kerjanya jauh lebih baik kalau nak dibandingkan dengan kebanyakan tukang jahit lain yang normal walaupun dia OKU.

“Mulanya saya hanya mengikut kakak saya menghantar jean untuk dibaiki tetapi apabila melihat kualiti kerja yang amat memuaskan, saya pula menjadi pelanggan,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 January 2020 @ 6:05 AM