PUTRAJAYA 06 JANUARI 2020. Antara peserta yang menyertai Malaysia Tree Climbing Championship di Millennium Monument, Putrajaya. NSTP/AHMAD IRHAM MOHD NOOR.
PUTRAJAYA 06 JANUARI 2020. Antara peserta yang menyertai Malaysia Tree Climbing Championship di Millennium Monument, Putrajaya. NSTP/AHMAD IRHAM MOHD NOOR.
Nurul Husna Mahmud

MEMANJAT pokok menjelang musim buah-buahan mungkin antara nostalgia bermakna buat mereka yang tinggal dan membesar di kampung. Namun mengenai aktiviti memanjat ini sebenarnya boleh menjadi satu temasya yang dipertandingkan ke peringkat dunia.

Ini termasuk kejohanan Malaysian Tree Climber Championship 2019 (MTCC 2019) anjuran Persatuan Arborist Malaysia(PArM ) di Monumen Putrajaya, baru-baru ini.

MTCC 2019 yang turut mendapat kerjasama Perbadanan Putrajaya itu, memerlukan peserta yang lengkap dengan perkakas masing-masing melalui pemeriksaan petugas dan juri pertandingan terlebih dahulu sebelum turun ke lapangan kejohanan.

Lebih meriah bagi acara ini apabila diserikan dengan kehadiran peserta dari luar negara termasuk Sweden, Singapura dan Thailand.

Menurut Presiden PArM Roslan Yaakub, kejohanan ini sudah masuk kali kedua penganjurannya dan ia antara platform penting sebelum pemilihan peserta ke peringkat seterusnya iaitu Asia dan dunia selain Asia Pasific Tree Climbers Championship pula dijangka berlangsung di Singapura tahun ini.

WAKIL Singapura memeriksa peralatan sebelum pertandingan.
WAKIL Singapura memeriksa peralatan sebelum pertandingan.

“Umumnya penganjuran MTCC ini cukup penting iaitu sebagai landasan awal bagi peserta tempatan terutamanya sebelum kemunculan mereka ke kejohanan lebih besar pada masa depan.

“Untuk kali ini fokusnya ialah persiapan untuk menghadapi kejohanan memanjat pokok peringkat dunia yang dijadualkan berlangsung dari 1 hingga 3 Mei ini di Singapura.

“Jadi, kita berharap wakil tempatan dapat mewarnai dan memberi saingan untuk kejohanan itu setanding dengan prestasi wakil dari lain-lain negara.

“Selain itu pentingnya pada MTCC 2019, peserta tempatan dapat mempelajari teknik baru daripada pakar-pakar luar terutama peserta dari negara jiran yang berpengalaman dan banyak memenangi kejohanan di serata Asia mahupun di peringkat dunia,” katanya.

Kemuncak kejohanan ialah aksi peserta bagi kategori Master Challenges bagi dua-dua kategori lelaki dan perempuan apabila skil mereka membabitkan disiplin yang ada seperti ‘secure footlock,’ ‘ascent event,’ ‘belayed speed climb,’ ‘throwline,’ ‘aerial secure’ dan ‘work climb’ diuji.

Mengenai perjalanan PArM, ia antara persatuan yang mendapat kepercayaan badan dunia untuk penganjuran pertandingan dan sebarang aktiviti berkaitan aktiviti memanjat pokok.

Wakil tempatan Mohd Fazrul Nizam Aris, 33, berkata pentingnya kejohanan seperti ini dapat mengumpul jagoan dan pemanjat pokok membolehkan dia mempelajari sistem atau kaedah terbaru.

“Saya sudah menyertai aktiviti ini sejak 2010 lagi dan untuk MTCC dan saya rasa ia kejohanan berprestij apabila menarik penyertaan peserta antarabangsa. Jadi kemunculan mereka ini penting kerana melakukan aktiviti memanjat pokok secara profesional.

“Mereka ini akan memperkenalkan sistem dan kaedah baru. Saya dapat mempelajari dan membuat penambahbaikan daripada skil sedia ada.

“Selain itu, penyertaan dalam kejohanan seperti ini relevan dengan keperluan kerjaya apabila saya bekerja dengan syarikat peralatan keselamatan berkaitan dengan aktiviti ini.

“Bagi masyarakat luar mereka perlu tahu kelebihan selain hanya bersukan mereka boleh berkembang menjadi tenaga profesional dalam kerja pemangkasan pokok. Ini mencipta peluang pendapatan sampingan dengan pembabitan dalam aktiviti berkenaan,” katanya.

Sementara itu, peserta wanita pula Noorezkey Zulkifli tidak menolak adanya golongan tertentu akan skeptikal terhadap pembabitan kaum hawa dalam aktiviti terbabit.

“Ya, keluarga saya pada awalnya kurang senang dengan aktiviti memanjat pokok tetapi apabila saya babitkan mereka, persepsi berubah malah menjadi penyokong terhadap aktiviti ini.

“Bukannya saya panjat ‘kosong’ sebaliknya ada teknik dan dikemaskan dengan standard prosedur keselamatan yang ketat memperlihatkan betapa sukan ini begitu profesional.

“Jadi saya alu-alukan lebih ramai golongan wanita untuk menyertai sukan ini kerana bukan atas dasar menjaga kesihatan semata-mata malah ia untuk peluang skil lain serta pengetahuan berkaitan pokok boleh dipelajari,” katanya.

Bagi peserta dari Singapura Jason Ma, biarpun bertugas sebagai profesional dan arif mengenai pokok namun situasi ketika pertandingan cukup berbeza.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 11:37 AM
Digital NSTP Subscribe