YAP bergambar bersama peserta FLEE.
YAP bergambar bersama peserta FLEE.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


MASYARAKAT Orang Asli sering kali dikaitkan dengan kemiskinan dan dikatakan enggan keluar dari zon selesa mereka di kawasan pedalaman.

Justeru, bagi memperkasakan lagi komuniti berkenaan TUNE Protect Group Berhad (Tune Protect) tampil mengadakan program menarik Literasi Kewangan, Pemerkasaan dan Keusahawanan (FLEE) khusus untuk membantu belia Orang Asli dalam meneroka bidang keusahawanan, sekali gus keluar dari belenggu kemiskinan.

Ketua Rakyat dan Budaya Tune Protect, Yap Hsu Yi berkata, program berkenaan bermula sejak 2018 dan sehingga kini, ia memberi manfaat kepada komuniti lima suku Orang Asli dari negeri berbeza.

Kata Yap, menerusi FLEE, kem latihan khas turut diadakan dengan kerjasama Majlis Belia Orang Asli (MBOA) dan pengalaman serta ilmu yang diperoleh diharapkan dapat memberi manfaat kepada peserta untuk dikongsikan apabila pulang ke kampung masing-masing.

Katanya, sepanjang kem berkenaan, peserta didedahkan dengan bagaimana cara untuk menjana idea bersama jurulatih dan fasilitator dalam perbincangan kumpulan, perkongsian pengalaman serta kisah cabaran yang mereka hadapi.

“Mereka turut didedahkan kepada empat konsep praktikal yang merangkumi EARNING (memperoleh pendapatan) melalui keusahawanan, SAVING (menyimpan) untuk mengembangkan perniagaan dan waktu yang memerlukan, SPENDING (berbelanja) untuk keperluan dan PROTECTION (perlindungan) daripada perkara yang tidak diingini.

PESERTA mendengar penerangan daripada fasilitator.
PESERTA mendengar penerangan daripada fasilitator.

“Ramai belia Orang Asli berhenti sekolah untuk membantu menyara keluarga atau hanya tamat sekolah menengah. Keadaan itu menyebabkan peluang pekerjaan mereka menjadi terhad.

“Menerusi program terbabit, kami menyasarkan untuk memberi bantuan praktikal dan interaktif apabila pembelajaran mereka terhenti selain itu, ia juga membuktikan kepada komuniti Orang Asli bahawa mereka tidak dilupakan selain akan dibantu untuk menjadi usahawan yang berdikari,” katanya.

Dalam pada itu, tiga perniagaan Orang Asli berjaya didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) ketika fasa kedua kem berkenaan.

Ia adalah Orang Asli Bamboo Straw Enterprise oleh usahawan Semelai dari Negeri Sembilan, Orang Asli Beauty oleh Jahut Entrepreneurs dari Pahang dan Orang Asli Zara Enterprise oleh Semai Entrepreneurs dari Perak.

Mengulas lanjut, Yap berkata, pihaknya turut bercadang untuk menjalankan kem latihan fasa ketiga dan terakhir untuk Program FLEE Orang Asli.

Ia membabitkan penajaan komputer riba baharu, latihan suite produktiviti, kemahiran asas perakaunan, perkongsian idea pemasaran serta sebagainya bagi membantu mereka menguruskan perniagaan mahu pun kewangan dengan efektif.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Februari 2020 @ 6:00 AM