PESERTA seronok menyertai maraton bersama keluarga. FOTO Fazli Hamzah
Fairul Asmaini Mohd Pilus


DEK kerana minat, Wan Suria Yusoff, 38 dan suami sanggup memandu lebih ratusan kilometer dari Raub, Pahang demi menyertai larian maraton di seluruh negara.

Lebih menarik, pasangan yang juga kakitangan kerajaan itu turut membawa anak mereka, Wan Asma yang berusia setahun bersama dalam larian berkenaan.

Wan Suria berkata, sukan yang memerlukan daya ketahanan seperti maraton atau mendaki gunung menjadi minatnya sejak 12 tahun lalu dan sebelum berkahwin, dia pernah menyertai pelbagai acara larian di seluruh negara termasuk di Sarawak.

Katanya, sebelum ini dia berlari seorang atau bersama rakan-rakan, tetapi selepas berkahwin suaminya turut terjebak sama.

“Bermula sekadar peneman, suami kini semakin menggemari larian maraton dan hampir setiap bulan kami menyertai acara yang diadakan di seluruh negara.

KELUARGA Dr Supiah yang menyertai maraton di Cyberjaya, baru-baru ini. FOTO Fazli Hamzah

“Biasanya kami memilih acara yang diadakan pada Ahad kerana boleh bertolak dari Raub pada Sabtu dan menginap di hotel berdekatan.

“Selain untuk kekal sihat, aktiviti ini juga umpama percutian keluarga pada hujung minggu dan ia turut mengeratkan hubungan kami suami isteri,” katanya pada acara Twin City Marathon di Cyberjaya, baru-baru ini.

Bagi pasangan Jamilah Abdul Kuthoos, 36, dan suaminya, Mustakim Mohd Ali, 36, pula, mereka membawa bersama anak sulung, Fayyadh Amsyar, 9, dalam acara larian maraton untuk memberi pendedahan awal kepada sukan berkenaan.

Jamilah yang juga ibu empat anak berusia dua hingga sembilan tahun mengakui pada awalnya agak sukar untuk menarik minat Fayyadh Amsyar, tetapi lama-kelamaan dia boleh menerimanya.

JAMILAH dan keluarga. FOTO Fazli Hamzah

“Sebelum ini kami terpaksa janjikan macam-macam bagi memastikan Fayyadh Amsyar meneruskan dan menghabiskan larian.

“Tetapi, kini dia sudah okay dan boleh dijadikan sebagai peneman. Sebagai ibu bapa, kami cuba menerapkan gaya hidup

sihat dalam diri anak-anak sejak mereka kecil,” katanya.

Menurut Jamilah, waktu dan lokasi juga penting kerana setiap kali menyertai maraton, mereka terpaksa meninggalkan seketika tiga lagi anak termasuk yang berusia dua tahun kepada pengasuh.

“Jadi, kami memilih untuk menyertai larian jarak pendek iaitu lima kilometer (km) dan lokasi yang menjadi pilihan adalah sekitar Putrajaya serta Cyberjaya sahaja memandangkan ia berdekatan dengan rumah kami di Sepang.

ANTARA peserta yang turut membawa anak kecil mereka menyertai larian maraton. FOTO Fazli Hamzah

“Jika larian bermula seawal jam 6.30 pagi biasanya dalam jam 8 pagi sudah selesai dan kami segera pulang ke rumah sebelum anak-anak bangun tidur,” katanya.

Sementara itu, maraton turut menjadi minat pasangan pesara kerajaan, Datuk Dr Supiah Mohd Yusof dan suami, Datuk Dr Ahmad Pauzi Mohd Yusof masing-masing 67 tahun untuk beriadah.

Dr Supiah berkata, minat itu bermula pada 2016 selepas diperkenalkan tiga anaknya yang juga penggemar sukan larian berkenaan.

Kata Dr Supiah, biasanya dia dan suami hanya menyertai kategori ‘fun run’, tetapi sebelum ini pernah menghabiskan acara larian sejauh 15km.

WAN Suria bersama suami dan anak mereka menyertai larian Twin City Marathon di cyberjaya. FOTO Fazli Hamzah

Lebih mengagumkan, mereka sekeluarga juga sanggup ‘terbang’ ke negara jiran, Thailand bagi menyertai acara yang diadakan di Bangkok tahun lalu.

“Ia aktiviti sukan yang menyeronokkan kerana selain menyihatkan badan dan minda, kami sekeluarga juga dapat menghabiskan masa bersama.

“Selain maraton, kami berdua juga mula berjinak-jinak dengan aktiviti mendaki gunung dan antara gunung yang pernah ditawan adalah Kinabalu serta Annapurna Base Camp (ABC), Nepal.

“Bagi saya, umur bukan penghalang untuk seseorang itu bersukan kerana ia banyak membantu dalam menjaga kesihatan badan dan mengekalkan tumpuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Februari 2020 @ 6:30 AM