PELBAGAI jenis sampah plastik yang dikumpul di Pantai Kelanang, Banting. FOTO Mercy Malaysia
PELBAGAI jenis sampah plastik yang dikumpul di Pantai Kelanang, Banting. FOTO Mercy Malaysia
Nurul Husna Mahmud


“PLASTIK yang terapung di laut tidak akan terurai meskipun ratusan tahun. Tetapi, lama-kelamaan menjadi komponen lebih kecil dinamakan mikro plastik.

“Ketika ini masalah serius mengenai ancaman kesihatan sejagat mula timbul apabila kajian dunia menjumpai mikro plastik ada dalam setiap hidupan laut yang selama ini menjadi sumber makanan kepada manusia.

“Jika tidak diatasi atau tiada kesedaran mengenai tindakan mengekang pembuangan termasuk sisa plastik ke laut, sumber makanan utama seperti ikan atau hidangan laut seperti sotong akan menjadi toksin,” kata Ketua Komunikasi dan Perhubungan Strategik MERCY Malaysia Chan Lin Jin mengulas objektif pihaknya melakukan aktiviti pembersihan pantai di Pantai Kelanang, Banting, Selangor, baru-baru ini.

Kata Chan, ia adalah siri kedua daripada empat program pembersihan pantai terlebih dahulu dijalankan di Pantai Jeram sebulan yang lalu oleh Pertubuhan Bantuan Perubatan Malaysia, sebagai satu daripada mandat baru iaitu menangani krisis alam sekitar.

“Modus operandi kami mungkin sedikit berbeza kerana bukan sahaja membabitkan pembersihan pantai semata-mata, kami turut mengkelaskan sampah selain mengutip data untuk diserahkan kepada satu pertubuhan dunia dikenali International Coastal Clean Up (ICC).

“Mereka ini bertanggungjawab mengutip atau merekod data aktiviti pembersihan pantai serata dunia untuk dinilai tahap kebersihan selain ancaman pencemaran termasuk plastik ke laut atau persisiran pantai.

AKTIVITI pembersihan turut disertai pelajar Universiti UCSI. FOTO Mercy Malaysia
AKTIVITI pembersihan turut disertai pelajar Universiti UCSI. FOTO Mercy Malaysia

“Daripada situ boleh melihat betapa teruknya pencemaran terutama plastik bukan sahaja mikro plastik terhadap sumber utama protein manusia, malah kesannya terhadap ekosistem dan ancaman kepada haiwan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden III Ahli Lembaga Eksekutif MERCY Malaysia Profesor Madya Dr Shalimar Abdullah yang mengetuai misi program pembersihan pantai kali ini gembira dengan penyertaan pihak luar terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi prihatin dalam kerja komuniti.

“Bukan hanya sukarelawan MERCY yang melakukan aktiviti pembersihan pantai, malah kami turut disertai dua kumpulan pelajar masing-masing dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti UCSI.

“Secara tidak langsung objektif lain dicapai iaitu meuar-uarkan kehadiran pertubuhan kami, selain usaha membantu menghubungkan komuniti dalam aktiviti kesukarelawan,” katanya.

Selain program peringkat komuniti, tahun lalu MERCY Malaysia turut menganjurkan persidangan kemanusiaan membabitkan 100 penceramah. Dua daripada enam sesi adalah mengenai krisis perubahan iklim global.

Dalam tempoh dua jam program berlangsung membabitkan 117 sukarelawan, 416 kilogram sampah terkumpul.

Bagi mereka yang berhasrat ingin menjadi sebahagian daripada sukarelawan program pembersihan pantai ini boleh melayari FB Events MERCY Malaysia untuk mengetahui lokasi pantai berikutnya.

LONGGOKAN sampah dikumpul sukarelawan. FOTO Mercy Malaysia
LONGGOKAN sampah dikumpul sukarelawan. FOTO Mercy Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2020 @ 6:30 AM
Digital NSTP Subscribe