X
RUMAH Ronald McDonald di HCTM-UKM.
RUMAH Ronald McDonald di HCTM-UKM.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


PERSATUAN Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia) dan Kelab Lions Antarabangsa menandatangani satu perjanjian persefahaman (MoU) bagi inisiatif kesedaran kanser kanak-kanak, baru-baru ini.

Jalinan kerjasama strategik itu membolehkan kedua-dua pihak berganding bahu memenuhi keperluan pesakit kanser kanak-kanak di Malaysia.

Inisiatif dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terbesar di Malaysia itu bakal memberi manfaat kepada keluarga pesakit pediatrik yang menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM-UKM), Kuala Lumpur.

Gabenor Daerah, Kelab Lions Antarabangsa Daerah 308B1 Malaysia, Datuk Javern Lim Chong Hee berkata, menerusi kerjasama strategik itu, pihaknya menyumbang dana lebih RM150,000 bagi menaik taraf Rumah Ronald McDonald di HCTM-UKM.

Kata beliau, dana itu adalah hasil sumbangan pelbagai pihak sejak Oktober tahun lalu khusus bagi inisiatif berkenaan.

AZMIR dan Lim pada majlis MoU di Rumah McDonald Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM-UKM), Kuala Lumpur, baru-baru ini.
AZMIR dan Lim pada majlis MoU di Rumah McDonald Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM-UKM), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Lim berkata, pihaknya sentiasa mencari peluang untuk menjalin kerjasama strategik dengan pelbagai pihak ke arah meningkatkan kehidupan pesakit kanser kanak-kanak dan keluarga mereka.

“Kami amat memahami saat-saat sukar yang perlu dihadapi mereka dan besarlah harapan kami supaya jalinan kerjasama dengan RMHC Malaysia secara langsung membuka mata ramai pihak di luar sana mengenai kanser dalam kalangan kanak-kanak.” katanya.

Presiden, RMHC Malaysia, Azmir Jaafar pula berkata, pihaknya komited mewujudkan impak positif kepada golongan kanak-kanak yang memerlukan di Malaysia melalui pelbagai program utama yang dilaksanakan.

Kata Azmir, kerjasama strategik dengan Kelab Lions Antarabangsa contohnya mampu memberi manfaat lebih baik kepada mereka yang menggunakan kemudahan Rumah Ronald McDonald di HCTM-UKM.

Katanya, sebagai sebuah hospital pengajar yang mempunyai kepakaran perubatan pediatrik, HCTM-UKM menerima lebih 20,000 kes pediatrik setiap tahun, sama ada pesakit dalam atau pesakit luar.

“Rumah Ronald McDonald di HCTM-UKM adalah salah satu program teras RMHC Malaysia yang menyediakan kemudahan penginapan sementara kepada keluarga pesakit pediatrik di hospital berkenaan.

“Semoga kerjasama ini secara langsung memupuk semangat prihatin rakyat Malaysia untuk terus menyokong usaha badan bukan kerajaan seperti kami,” katanya.

Dalam pada itu, beberapa kerja menaik taraf sudah dilakukan di rumah itu sejak awal tahun ini termasuk membaiki bumbung dan longkang air hujan serta menambah baik kawasan aktiviti luar.

Selain itu, landskap taman permainan kanak-kanak turut diperindahkan dan jumlah alat permainan juga ditambah serta diperbaharui.

ANTARA kemudahan yang disediakan.
ANTARA kemudahan yang disediakan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2020 @ 6:30 AM