NGO yang bekerjasama dengan Pertubuhan Projek Kengkawan Kuala Lumpur & Selangor untuk menyampaikan barangan kepada kumpulan yang memerlukan.
NGO yang bekerjasama dengan Pertubuhan Projek Kengkawan Kuala Lumpur & Selangor untuk menyampaikan barangan kepada kumpulan yang memerlukan.
Hafiz Ithnin

MESKIPUN hanya duduk di rumah, bukan bererti tidak dapat menyumbangkan bakti kepada negara untuk memerangi pandemik Covid-19 kerana secara tidak langsung memutuskan rantaian jangkitan.

Melihat kepada keadaan itu, Pertubuhan Projek Kengkawan Kuala Lumpur & Selangor iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut sama mengikuti arahan kerajaan supaya duduk di rumah.

Selain tidak mengabaikan tanggungjawabnya untuk membantu golongan yang memerlukan di negara ini supaya tidak terus terhimpit dengan kekangan bekalan makanan dan keperluan lain.

Sejak 20 Mac lalu, pertubuhan itu menjalankan aktiviti mengumpul dana daripada pelbagai pihak bagi membantu golongan yang memerlukan ketika dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengasas dan Pengerusinya, Norhana Osman Haron berkata, langkah tidak turun padang untuk mengagihkan bekalan makanan atau barangan keperluan dilakukan bagi mengelakkan tidak berlaku ‘kesesakan trafik’ individu NGO yang keluar bertemu orang ramai.

“Bagi kami duduk di rumah dengan menggalakkan mengadakan kempen kepada orang ramai menerusi media sosial misalnya untuk menyumbang dana bantuan kepada pihak yang memerlukan juga salah satu langkah yang boleh dilakukan.

“Selain itu, kami tidak mahu ahli pertubuhan sentiasa keluar rumah dan berjumpa orang lain dalam situasi penularan pandemik ini yang boleh memberi risiko kepada mereka dan orang lain, katanya.

Katanya, dengan langkah menggalakkan sumbangan dana kepada pihak Pertubuhan Projek Kengkawan Kuala Lumpur & Selangor dapat membantu untuk disalurkan kepada NGO lain yang turun padang bertemu mereka yang memerlukan barangan atau keperluan ketika PKP.

NGO membuat set bungkusan barangan.
NGO membuat set bungkusan barangan.

“Kami juga mempunyai rumah kebajikan yang disalurkan dana sumbangan orang ramai kepada mereka seperti Rumah Anak Yatim Al-Taqwa di Baling, Rumah Jagaan Orang Tua Mahmudah dan Buku Jalanan Chowkit.

“Selain itu, untuk menghargai golongan yang melakukan kerja pembersihan seperti Alam Flora, kami turut menghulurkan bantuan seperti penutup mulut dan hidung serta dan pensanitasi tangan kerana mereka juga adalah golongan yang sanggup berdepan risiko di luar rumah ketika situasi pandemik ini menular, katanya.

Bagi memastikan dana yang disalurkan pelbagai pihak telus dan sampai kepada entiti yang memerlukan, pertubuhan itu sentiasa memaklumkan nilai perbelanjaan dengan bukti resit dan jumlah penyerahan dana kepada NGO lain menerusi media sosial miliknya dari masa ke masa.

Antara rakan NGO yang sentiasa bekerjasama dengan pertumbuhan berkenaan ialah Puak Payong, PERMATA Putrajaya, HSNB dan WeCakna. Setakat ini, 500 penerima memperoleh manfaat daripada sumbangan yang disalurkan orang ramai menerusinya.

Pertubuhan itu juga agresif menjalankan kempen menerusi laman sosial seperti Instagram dan Facebook bagi menggalakkan orang ramai sentiasa melakukan tanggungjawab masing-masing bagi membantu negara memutuskan rantaian pandemik Covid-19.

Katanya, menerusi medium media sosial pertubuhannya sentiasa memuat naik langkah yang boleh dilakukan masyarakat bagi memastikan keadaan isi rumah sentiasa dalam keadaan selamat.

“Selain menggalakkan orang ramai menghulurkan dana, kami juga ingin mereka memastikan ahli keluarga dan orang terdekat sentiasa berada dalam keadaan selamat memandangkan dalam tempoh PKP ini mungkin ada yang kurang bernasib baik.

“Sekiranya mereka mempunyai rakan atau ahli keluarga yang kesempitan kerana tidak dapat mencari wang berikutan PKP, mereka boleh salurkan maklumat kepada NGO seperti kami atau rakan NGO yang lain, katanya.

NGO yang menerima dana menyiapkan pelbagai barangan untuk disalurkan kepada keluarga atau individu yang kurang berkemampuan.
NGO yang menerima dana menyiapkan pelbagai barangan untuk disalurkan kepada keluarga atau individu yang kurang berkemampuan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2020 @ 6:30 AM