X
MOHD Fadhli dekat dengan masyarakat Sabah dan Sarawak.
MOHD Fadhli dekat dengan masyarakat Sabah dan Sarawak.
Nurul Husna Mahmud

DALAM semua masih menikmati keselesaan hidup meskipun berdepan pandemik Covid-19, bagi segelintir individu terutama yang bergantung mata pencarian secara harian cukup terkesan apabila hilang 100 peratus pendapatan.

Tidak terkecuali bekas buruh yang kini beralih menjadi nelayan sepenuh masa Hamid Ginawalan, 45, terpaksa bergelut dengan situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan masa sama mencari sesuap nasi untuk keperluan keluarga.

"Saya bekerja dengan ipar sendiri. Jadi hanyalah nelayan kecil-kecilan dan boleh dikatakan ketika awal dahulu memang terkesan disebabkan tidak boleh turun ke laut. Mujurlah ada simpanan sedikit buat menampung keperluan keluarga besar.

"Anak-anak juga bekerja di kedai makan dan sebagai buruh juga menghadapi ancaman kehilangan pekerjaan. Mahu tidak mahu kami terpaksa jual barang kemas kerana tidak mahu anak yang sudah memiliki keluarga sendiri turut kebulur.

CABARAN Hamid dalam menghadapi getir Covid-19 dengan tanggungan ramai.
CABARAN Hamid dalam menghadapi getir Covid-19 dengan tanggungan ramai.

"Mungkin selepas ini saya perlu fikirkan perancangan untuk jual sendiri dan tidak bergantung dengan ipar yang meraih hasil ikan untuk dijual di pasar tamu," katanya yang turut menerima bantuan sara diri daripada Persatuan Untuk Anak Kita atau Puak Payong.

Menurut sukarelawan atau wakil pertubuhan itu yang bertanggungjawab menyalurkan bantuan bagi golongan memerlukan di Sabah dan Sarawak Mohd Fadhli Ab Salam atau lebih dikenali sebagai Cikgu Fadli, ramai golongan terkesan ketika penularan Covid-19 adalah pekerja harian.

"Saya kini berkhidmat di bawah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Puak Payong yang diasaskan Syed Azmi bersama kawannya sejak Mac 2018 menyasarkan membantu kanak-kanak yang berusia 18 tahun ke bawah menikmati peluang untuk pendidikan.

"Namun ada juga inisiatif diwujudkan berdasarkan keperluan semasa sebagai contoh golongan asnaf yang terkesan di Sabah dan Sarawak kerana saya bertugas di Sarawak sejak 2013 lagi.

"Pendek kata komuniti di dua negeri sebelah barat Malaysia ini terutama pedalaman Sabah dan Sarawak begitu dekat dengan saya. Jadi saya faham kesusahan mereka apatah lagi menghadapi krisis ekonomi impak daripada Covid-19 baru-baru ini," katanya.

Merujuk kepada golongan paling sering dibantu ketika ini, Mohd Fadhli yang pernah mengajar di Sekolah Kebangsaan Long Sepiling, Sarawak berkata biasanya keluarga dengan jumlah tanggungan ramai paling terkesan.

HAMID mahu jual hasil tangkapan sendiri di pasar tamu.
HAMID mahu jual hasil tangkapan sendiri di pasar tamu.

"Pengalaman saya membantu penduduk di Sabah dan Sarawak mendapati golongan terjejas kebanyakan mereka yang berusia 30-an ke atas dan yang mempunyai tanggungan yang ramai.

"Kebanyakan mereka ini bekerja di kedai makan, dobi dan sebagainya kehilangan punca pendapatan akibat Covid-19. Lebih memburukkan keadaan apabila mereka bukan warganegara dan tidak layak untuk mendapat Bantuan Prihatin Nasional," katanya.

Menceritakan pengalaman paling meninggalkan kesan di hati sepanjang membantu golongan memerlukan bantuan di dua negeri itu, kata Mohd Fadhli, ada satu ketika kesusahan mereka ini sehingga tahap berkongsi makan mi segera dalam satu besen untuk seisi keluarga.

"Pengalaman paling tidak lupa ketika Ramadan dalam tempoh PKP baru-baru ini yang saya saksikan sendiri satu keluarga hanya menikmati mi segera. Sedangkan bagi keluarga biasa sedang enak menikmati pelbagai juadah selesa bersama-sama.

MOHD Fadhli bersama Syed Azmi tekad membantu pihak memerlukan.
MOHD Fadhli bersama Syed Azmi tekad membantu pihak memerlukan.

"Anak kecil pula hanya menyusu air kosong dan susu pekat sahaja akibat kesempitan kewangan. Ada juga terputus bekalan makanan selama tiga hari dan sebagainya. Sebagai seorang bapa saya dapat rasakan tekanan keluarga mereka apabila berada di dalam situasi berkenaan," katanya.

Justeru pihaknya terus berharap rakyat Malaysia terus bermurah hati menyumbang kepada NGO yang berkaitan selain menyertakan penghargaan kepada penyumbang dan keprihatinan rakyat Malaysia tidak berbelah bahagi membantu usaha pihaknya. Justeru dia menyertakan tanda pagar #kecilbagikitabesarbagimereka dan #rakyatjagarakyat sebagai dorongan untuk pengguna media sosial mengenai tanggungjawab menjaga kebajikan sosial masyarakat atau komuniti bersama.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2020 @ 6:45 AM