KAKITANGAN KPJ Selangor  dan sukarelawan MYCB bergambar kenangan sebelum memulakan aktiviti membersihkan pantai.
KAKITANGAN KPJ Selangor dan sukarelawan MYCB bergambar kenangan sebelum memulakan aktiviti membersihkan pantai.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

Lebih 60 kakitangan KPJ Selangor Specialist Hospital (KPJ Selangor) dan 10 sukarelawan My Clean Beach (MYCB) menyertai aktiviti amal, membersihkan sisa pepejal di Pantai Remis, Selangor, baru-baru ini.

Aktiviti yang bertemakan Bersihkan Pantai Kita itu tertumpu di sekitar kawasan Pantai Remis sepanjang kira-kira dua kilometer (km).

Dalam masa tiga jam, sebanyak 523.1 kilogram (kg) sampah berjaya dikumpulkan dan 35 peratus daripadanya terdiri daripada plastik.

Aktiviti anjuran Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar KPJ Selangor itu turut mendapat kerjasama MYCB.

Inisiatif itu bertujuan untuk memberi kesedaran dan mengekalkan kebersihan kawasan pantai dalam usaha memastikan ia kekal bersih selain pada masa sama, menjadi tumpuan pelancong sekali gus mewujudkan ekonomi maritim.

Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Selangor, Farahiyah Badri berkata, program membersihkan kawasan pantai itu adalah kerjasama daripada pelbagai pihak dan ia selaras dengan inisiatif #BebasPlastik bagi mendidik serta meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai impak masalah sampah di kawasan pantai.

Kata Farahiyah, pihaknya bangga dapat berkolaborasi bersama MYCB, Majlis Perbandaran Kuala Selangor dan Ahli Majlis Daerah Kuala Selangor melalui usaha untuk menyatukan komuniti setempat dengan tujuan membebaskan kawasan pantai daripada sampah.

Katanya, meskipun masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), orang ramai tetap mengunjungi dan menjalankan aktiviti di kawasan pantai.

FARAHIYAH ( kanan) turut menyertai aktiviti amal membersihkan kawasan Pantai Remis.
FARAHIYAH ( kanan) turut menyertai aktiviti amal membersihkan kawasan Pantai Remis.

"Sangat menyedihkan apabila melihat tempat pelancongan kita dicemari dengan plastik, styrofoam, botol kaca, lampin pakai buang, puntung rokok dan sebagainya.

"Sampah yang tertinggal seperti topeng muka misalnya akan memberikan kesan kepada saluran air dan mengancam hidupan lautan.

"Jadi, menerusi aktiviti pembersihan sebegini, kami mendapat peluang untuk memberi sumbangan kepada masyarakat sambil menikmati pemandangan, udara segar dan keindahan alam semula jadi," katanya.

Sementara itu, pencemaran daripada bungkusan pakai buang dan bekas makanan turut menyebabkan pertambahan sampah-sarap yang ketara di kawasan pantai itu dan bertambah buruk dari semasa ke semasa.

Justeru, Farahiyah berkata, pihak hospital juga berhasrat menyumbangkan tong kitar semula di kawasan Pantai Remis bagi memastikan kebersihan pantai terjaga untuk dinikmati semua.

"Kami berharap dengan inisiatif meletakkan tong sampah tambahan akan mendidik pengunjung pantai dan masyarakat sekitar untuk menjaga kebersihan sekali gus melindungi keselamatan serta kesihatan persekitaran ," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2020 @ 6:30 AM