X
SEKTOR PKS perlu memulakan segera aktiviti mereka supaya ekonomi negara dapat dipulihkan pada 2021.
SEKTOR PKS perlu memulakan segera aktiviti mereka supaya ekonomi negara dapat dipulihkan pada 2021.

KERAJAAN bersedia membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan mikro untuk mencergaskan semula industri mereka supaya negara kekal berada di landasan betul ke arah mencapai sasaran pemulihan ekonomi pada 2021.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, justeru, pihaknya bersama agensi lain akan memastikan industri PKS seperti makanan dan minuman, penternakan dan automotif mampu menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Beliau berkata, agensi berkenaan termasuk Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia, SIRIM Bhd serta Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia.

"Kami memerlukan sektor (PKS) ini supaya memulakan segera aktiviti mereka kerana kita mahu ekonomi negara dapat dipulihkan pada 2021.

"Ketika ini kita berada di landasan yang betul dalam memastikan sasaran pemulihan ekonomi dapat dicapai," katanya selepas bertemu usahawan Bumiputera sempena lawatan kerja tiga hari di Sabah di sini, semalam.

Beliau berkata, Bank Negara Malaysia mengunjurkan pertumbuhan ekonomi adalah lembab tahun ini.

Bagaimanapun, sekiranya Malaysia dapat segera memulihkan ekonomi pada 2021 maka ia bertepatan unjuran oleh badan antarabangsa bahawa Malaysia menjadi antara negara terawal mengalami pertumbuhan ekonomi iaitu pada kadar 6.3 hingga 7.5 peratus.

Beliau berkata, pembukaan ekonomi sejak Mei lalu juga mengurangkan jumlah pengangguran akibat kehilangan pekerjaan daripada 860,000 kepada 773,000 orang pada Jun dan angka itu dilihat sebagai satu perkembangan positif.

"Oleh itu, saya berharap PKS termasuk PKS mikro segera memulakan (aktiviti) ekonomi dan kementerian akan terus membantu melalui beberapa inisiatif yang ada untuk bergerak maju bagi meningkatkan produktiviti PKS," katanya.

Mohamed Azmin yang mengetuai delegasi MITI ke Sabah bertemu 100 peserta terdiri daripada PKS sektor makanan dan minuman, pertanian, automotif, minyak dan gas serta pelancongan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2020 @ 7:30 AM