NORNIKMAN melihat pekerjanya menampal pelekat dengan reka bentuk khas bagi motosikal berkuasa tinggi.
NORNIKMAN melihat pekerjanya menampal pelekat dengan reka bentuk khas bagi motosikal berkuasa tinggi.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


ARMORBLAZE Enterprise (Armorblaze) bakal memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) kira-kira RM700,000 bagi memiliki bangunan sendiri menjelang tahun depan.

Pengarah Urusannya, Nornikman Mesri berkata, Armorblaze syarikat Bumiputera yang menawarkan perkhidmatan filem pelindung cat serta pelekat dengan reka bentuk khas bagi motosikal berkuasa tinggi.

Katanya, sejak ditubuhkan pada 2015, Armorblaze menerima sambutan menggalakkan daripada pemilik motosikal berkuasa tinggi bagi mendapatkan servis syarikat itu.

"Menjelang tahun depan, kami merancang menambah pekerja mahir serta ingin mempunyai bangunan sendiri dan tempat lebih besar.

"Malah, kami akan membawa masuk teknologi pencetakan dan material terkini yang boleh digunakan menghias kenderaan," katanya.

Menurutnya, sama seperti perniagaan lain, Armorblaze turut berdepan cabaran pandemik Covid-19.

"Kebanyakan pelanggan kami susah untuk datang terus ke kedai Armorblaze berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan banyak sekatan jalan raya di lokasi utama, menjadikan mereka susah untuk menghantar kenderaan masing-masing.

"Selain itu, kelambatan dalam penghantaran bahan penting untuk kerja kami dari luar negara sedikit terganggu kerana perkhidmatan kargo yang agak lambat," katanya yang menjadi pelopor paint protection film motosikal berkuasa tinggi di negara ini.

Nornikman berkata, pihaknya juga dalam proses kajian dan pembangunan (R&D) untuk memperkenalkan produk baharu pada tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 7:30 AM